Oleh: 

Dr. Jakaria Dasan

Pengarah Pusat Komunikasi Korporat

Universiti Malaysia Sabah (UMS)

Ph.D in HRM Pensyarah Kursus HRM, MBA.

Ts. Mohd Rafizi Rahmad

Timbalan Pendaftar Kanan

Institut Kepimpinan & Pembangunan (ILD) UiTM

Adalah juga:

Naib Presiden 1, Institut Pengurusan Sumber

Manusia Malaysia (MIHRM)

 

Universiti adalah menara gading yang mempersada ketinggian warga, khususnya para mahasiswa yang kelak menjadi kumpulan alumni yang berbakti kepada masyarakat. Dengan kata lain, universiti adalah gedung ilmu. Selain itu, fungsi dan peranan universiti sebagai rujukan penyelidikan dan agen pembangunan masyarakat turut menjadikan institusi ini sebagai bitara ilmu yang penting dalam pembangunan negeri dan negara. Universiti yang responsif kepada perkembangan semasa khususnya perubahan teknologi berupaya menarik minat pelajar dan ahli akademik terkemuka dari luar negara untuk sama-sama menyertai universiti tersebut. Secara langsung hal ini akan memugarkan lagi kecemerlangan yang terbit dari menara gading ini.

 

Umum tahu pengurusan sumber manusia menjadi suatu bidang pengurusan yang sering menarik perhatian ramai sama ada di sektor awam atau swasta. Pengurusan sumber manusia menjadi suatu bidang yang menarik perhatian ramai kerana kontroversi dalam pengurusan melibatkan karenah manusia yang pelbagai. Namun begitu kecanggihan teknologi dan perkembangan evolusi pengurusan sumber manusia mampu melahirkan pengamal sumber manusia yang profesional.

 

Menyedari peri-pentingnya peranan sumber manusia itu, mungkin sudah tiba masanya untuk iai diangkat secara total dengan cara memposisikan semula kedudukan pengurusan sumber manusia di kaca mata umum. Kendatipun, alangkah baiknya jika semua pihak termasuk kepimpinan universiti meletakkan semula kedudukan sumber manusia itu di tingkat teratas sekali. Dalam hubungan ini, elok benarla jika tujuan keberadaan manusia di muka bumi ini dapat disorot kembali.

 

Bagi orang Islam, dua jenis hubungan yang perlu dipelihara ialah hubungan ubudiyyah iaitu hubungan dengan Allah (hablum minallah) dan hubungan sesama manusia, (hablum minnas). Pengamal sumber manusia di universiti harus sedar bahawa menguruskan sebuah universiti tidak sama dengan menguruskan sesebuah organisasi lain. Seorang pengamal sumber manusia harus menjadi pengurus sumber manusia profesional dalam erti kata sebenar dan bukan ‘menguruskan pentadbiran’ semata-mata. Usaha memperkasakan fungsi pengurusan sumber manusia harus bermula dari proses perancangan sumber manusia berdasarkan kepada hala tuju universiti tersebut. Perancangan strategik universiti dan aspirasi negara perlu dijadikan asas dalam merancang sumber manusia universiti supaya mendapat calon bakat yang terbaik dalam membawa agenda pendidikan tinggi negara ke peringkat dunia.

 

Itu hanya akan berlaku sekiranya proses pengambilan dan pemilihan dilaksanakan berasaskan kompetensi. Calon bakat harus melalui proses saringan dan pemilihan yang mampu mengukur pengetahuan, kemahiran dan sikap untuk bekerja. Kelulusan akademik cemerlang semata-mata tidak boleh menjadi sandaran bahawa calon bakat tersebut akan menjadi tenaga kerja yang efisien sekiranya kemahiran dan sikap tidak menepati keperluan universiti. Proses pembangunan sumber manusia melalui program latihan berkualiti dan berasaskan kompetensi harus menjadi pilihan warga pentadbir universiti. Program latihan harus dirangka bagi merapatkan kesenjangan kompetensi yang wujud di kalangan warga kerja. Tidak sesuai lagi melaksanakan program-program latihan sekadar untuk mencukupkan jam latihan. Program latihan yang dilaksanakan juga harus dinilai keberkesanan dan impak kepada organisasi melalui kaedah-kaedah yang objektif dan telus. Ini penting bagi memastikan bajet latihan universiti dibelanjakan mengikut keperluan sebenar latihan dan pembangunan staf.

 

Proses penilaian kepada prosedur kerja dan pengoperasian sedia ada juga harus melihat kepada aspek amalan terbaik dan berasaskan bukti. Ini penting bagi memastikan pengoperasian universiti dan sumber manusia universiti digunakan sepenuhnya untuk memperkasakan universiti. Pemerkasaan urusan sumber manusia juga tidak lengkap sekiranya aspek kebajikan dan kesihatan warga kerja tidak diberi perhatian. Pengurus sumber manusia profesional perlu mahir dalam punca kuasa dan rujukan termasuk dalam urusan melibatkan perundangan. Ini sekali gus menjadikan universiti sebagai tempat kerja yang selamat dan bebas dari sebarang ancaman yang boleh mengganggu fokus terhadap pengurusan dan perjalanan universiti secara keseluruhan.

 

Banyak masalah sumber manusia dalam organisasi berlaku kerana ketidakcekapan pengurusan dan pegawai sumber manusia yang kurang mahir dalam memberi khidmat nasihat atau membuat keputusan berasaskan empati dengan mengambil kira fungsi mereka sebagai pengamal sumber manusia profesional. Kompetensi seorang pegawai sumber manusia universiti profesional harus diperkasakan melalui program pertukaran pegawai, pensijilan profesional dan penempatan di agensi awam atau swasta yang mempunyai amalan pengurusan sumber manusia berprestasi tinggi.

 

Universiti mampu mengorak langkah mendahului sektor awam atau swasta dalam mempamerkan kecekapan dan profesionalisme sebenar dalam urusan pengurusan dan pembangunan sumber manusia. Bertitik tolak dari kepimpinan yang berkarisma dan mahukan universiti menjadi rujukan industri, wargakerja harus bersama mengorak langkah dan sederap dalam merealisasikan hasrat untuk meneruskan tradisi kecemerlangan universiti sebagai sebuah pusat rujukan masyarakat.

 

Disiarkan di Malaysian Daily News -  https://malaysiandailynews.com/memperkasa-fungsi-sumber-manusia-profesional-di-universiti/

  

 

Oleh Talib Abdullah Shani, Ketua Pentadbiran FPSK UMS

 

Misi dan visi Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK), Universiti Malaysia Sabah (UMS) adalah untuk menjadi pusat asimilasi dan penyebaran pengetahuan, penemuan dan inovasi dalam bidang perubatan dan sains kesihatan melalui aktiviti pengajaran, pembelajaran, penyelidikan dan perkhidmatan kesihatan kepada komuniti.

Kini, FPSK telah menelusuri 20 tahun pelaksanaan misi dan visi tersebut, khususnya di Negeri Sabah. Naratif kewujudan dan kecemerlangan FPSK selama 20 tahun tersebut telah dipersembahkan dan disempurnakan pelancarannya oleh Naib Canselor UMS, YBhg. Prof. Datuk Dr. Kasim Hj. Mansor sempena Majlis Faculty Appreciation Night 2023 (FAN 2023) di Sabah International Convention Centre (SICC), Kota Kinabalu, Sabah pada 17 Jun 2023.

FAN 2023 merupakan acara tahunan sebagai platform mengiktiraf dan menghargai pencapaian warga Fakulti sepanjang tahun 2022 di samping mengeratkan lagi silaturahim antara pelajar dan kakitangan Fakulti. Majlis tahunan ini membawa tema “Tradisi Memperkukuh Institusi”.

Naib Canselor UMS dalam ucapan perasmiannya menzahirkan rasa gembira beliau melihat perkembangan dan impak kewujudan FPSK kepada Universiti dan masyarakat di Negeri Sabah khasnya. Menurutnya, FPSK telah mampu melaksanakan misi dan visi penubuhannya melalui pelbagai pencapaian sejak tahun 2003.

“Sepanjang 20 tahun lalu, Fakulti ini telah mampu mencapai pelbagai kemajuan yang ketara, khususnya melalui penghasilan graduan perubatan dan sains kesihatan yang kini berjumlah 1,733 orang. Mereka yang bergelar alumni ini telah bertebaran menabur khidmat kepada masyakarat dan negara, malah ada yang berkhidmat di luar negara”.

Tambah beliau lagi, FPSK turut menjuarai program community engagement khususnya di luar bandar yang telah terlaksana sejak tahun 2006 lagi, iaitu melalui program extra kurikulumnya yang dikenali sebagai PUPUK atau Perkongsian Universiti Keluarga Dalam Kesejahteraan Komuniti, CMP (Community Medicine Posting) dan Program Promosi Kesihatan.

Sehingga Jun 2023, seramai 2,438 komuniti dan 54 perkampungan luar bandar Sabah telah menerima manfaat melalui kedua-dua program tersebut. Pengisian utama program tersebut adalah memberikan khidmat pemeriksaan kesihatan percuma di samping program motivasi pendidikan melibatkan mahasisiwa Fakulti dengan anak-anak kampung yang terlibat.

“Sesungguhnya pencapaian ini amatlah signifikan kepada aspirasi Kerajaan Negeri Sabah pada masa kini, iaitu membangun modal insan dan kesejahteraan rakyat melalui Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ),” katanya.

Selain aspek kecemerlangan khidmat komuniti, FPSK juga telah membuktikan pencapaian cemerlang dalam bidang penyelidikan, di mana sebanyak 305 penyelidikan telah dihasilkan oleh pensyarah FPSK sejak tahun 2003 yang telah mendapat pelbagai anugerah dan pengiktirafan sama ada di peringkat Universiti, kebangsaan hinggalah antarabangsa. Lanjutan daripada hasil penyelidikan tersebut, sejumlah 770 telah dibukukan melalui penerbitan terindeks dalam Scopus. Sumbangan dan pencapaian penyelidikan ini telah memberi impak kepada perkembangan ilmu perubatan dan sains kesihatan di rantau ini amnya dan Negeri Sabah khasnya.

Jumlah kakitangan akademik dan pakar perubatan dan sains kesihatan juga telah mengalami peningkatan yang dinamik. Sehingga Jun 2023, seramai 141 kakitangan akademik di mana 76 daripadanya adalah pensyarah pakar perubatan dan sains kesihatan. Manakala, untuk kakitangan pentadbiran dan sokongan, juga telah bertambah kepada 60 orang. Melalui kekuatan sumber manusia tersebut, FPSK telah berjaya menjalin kerjasama strategik dengan pelbagai agensi berkepentingan dalam bidang perubatan dan sains kesihatan, termasuk dari luar negara.

Pencapaian terbaru fakulti dari aspek kepakaran perubatan adalah pada 12 Januari 2023, di mana seorang pakar perubatan bius otak iaitu Dr. Yeap Boon Tat telah bersama pasukan doktor pakar dari Hospital Queen Elizabeth2 (HQE2) dan Hospital Sungai Buloh, Selangor berjaya buat julung kalinya melaksanakan pembedahan otak pesakit dalam keadaan sedar penuh atau dikenali sebagai “awake craniotomy” di Sabah.

Naib Canselor UMS juga mengucapkan syabas dan tahniah kepada pelajar FPSK yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik, tetapi juga bukan akademik seperti aktiviti extra curicullum, kemasyarakatan, kepimpinan organisasi pelajar, sukan dan lain-lain lagi. Pencapaian pelajar dalam kedua - dua bidang akademik dan bukan akademik tersebut telah diraikan dalam majlis tersebut di atas.

Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan UMS akan terus mengorak langkah mempastikan misi dan visi penubuhannya terus memberi impak yang signifikan dalam pembangunan Universiti dan negara, khususnya untuk masyarakat di Negeri Sabah. Untuk itu, Prof. Dr. Mohammad Saffree Jeffree, Dekan Fakulti dalam ucapan aluannya di majlis tersebut telah menggariskan beberapa strategi bagi menyahut saranan Perdana Menteri Malaysia semasa program Temu Anwar di Dewan Canselor UMS pada 31 Mei 2023 agar UMS menjadi ‘champion’ membantu membangunkan komuniti di Negeri Sabah, iaitu:

(1) Memperluaskan khidmat kepakaran klinikal di kalangan pensyarah perubatan Fakulti melalui program outreach komuniti di kampung-kampung sekitar UMS dan seluruh Sabah.

(2) Mempergiatkan aktiviti penyelidikan dengan skop kajian difokuskan kepada permasalahan kesihatan masyarakat di Sabah. Contohnya kajian berkaitan isu kesihatan yang lazim berlaku seperti penyakit berjangkit, obesiti, diabetes atau hipertensi. Kajian ini boleh memberikan perspektif berguna tentang cara menangani masalah kesihatan dalam komuniti.

(3) Meningkatkan program pendidikan perubatan dan kesihatan khususnya kepada komuniti tentang cara mencegah penyakit, mengurus penyakit kronik dan mengamalkan amalan cara hidup sihat.

(4) Merancakkan kerjasama dengan organisasi tempatan yang berorientasikan komuniti, NGO dan agensi Kerajaan seperti Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) untuk menangani jurang kesihatan dalam komuniti. Kerjasama ini boleh membawa kepada pembangunan program kesihatan masyarakat, inisiatif outreach dan aktiviti lain yang berkaitan dengan kesihatan.

(5) Memperkasa kepimpinan dan advokasi kepada komuniti dengan mempromosikan dasar kesihatan, melibatkan diri sebagai ahli komuniti, dan menyokong pembaharuan penjagaan kesihatan selari Kertas Putih Kesihatan Malaysia.

Selain itu, dari segi akses pendidikan tinggi dalam bidang perubatan dan sains kesihatan khususnya kepada pelajar luar bandar Sabah kategori B40, FPSK dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Sabah, Bahagian Biasiswa Negeri Sabah dan agensi lain di dalam dan luar Universiti sedang giat melaksanakan gerak kerja untuk melaksanakan suatu lagi projek bersifat CSR (Community Social Responsibility) iaitu Program Sejahtera Masyarakat Melalui Pendidikan Profesional atau ringkasnya PROSPEK.

Misi PROSPEK adalah untuk menjadikan setiap keluarga B40 mempunyai seorang anak yang berprofesion dalam bidang perubatan dan sains kesihatan, sesuai dengan slogan projek ini iaitu ‘Merobah Destini Famili’. Pilot project untuk program ini akan dilancarkan pada bulan Oktober 2023 akan datang.

Selamat menyambut ulang tahun ke-20, 20 Tahun FPSK mengasimilasi pendidikan perubatan dan sains kesihatan kepada komuniti. Semoga terus Bertekad Cemerlang, Memandu Bangsa Memaju Negara.

 

Oleh Dr Jakaria Dasan, Pensyarah Kanan Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Perakaunan

 

Fungsi pengurusan sumber manusia dalam sesebuah organisasi sangat kritikal dalam mempastikan mereka yang diambil bekerja adalah yang memenuhi ciri-ciri atau kriteria yang diperlukan oleh organisasi. Di samping itu, pekerja baharu seharusnya dapat merangsang semangat bekerja, meningkatkan produktiviti, dan menjana keuntungan organisasi. Namun, jangkaan seperti ini hanya akan berlaku jika pengurusan sumber manusia meneliti dengan cekap proses-proses pengambilan pekerja dari peringkat awal lagi iaitu sebelum proses temuduga dijalankan.

Sebarang tindakan yang tidak menitikberatkan aspek ini akan mengundang risiko kepada organisasi. Ini termasuklah kecuaian menyemak latar belakang seseorang pemohon kerja. Kerisauan yang berlaku ialah pemohon mungkin mempunya rekod jenayah masa lampau dan mungkin akan mengulangi tingkah laku yang sama. Jika hal ini berlaku, kebiasaannya pihak majikan akan berhadapan dengan dakwaan dari pihak pelanggan dan menanggung kerugian yang besar. Ini disebabkan pihak majikan didapati melakukan kecuaian dalam pengambilan pekerja di mana pemeriksaan latar belakang pekerja tidak dibuat dengan teliti.

Rencana ini cuba merungkai sejauh manakah pihak majikan harus dipersalahkan dengan kesalahan yang berlaku sedangkan majikan mungkin telah membuat semakan yang wajar dan berkemungkinan juga wujud kecenderungan untuk majikan memberi peluang kepada pekerja yang mempunyai rekod kesalahan atau jenayah masa lampau memulakan hidup baharu.

 

Pemeriksaan Latar Belakang Pekerja

Hakikatnya, majikan perlu berhati-hati menggaji pekerja dengan rekod jenayah masa lampau kerana dikhuatiri berlakunya kes jenayah berulang di tempat kerja baharu. Dalam masa yang sama, hak bekas pelaku kesalahan untuk menerima keadilan dalam pengambilan sebagai pekerja tidak boleh diabaikan. Persoalan yang rumit tercetus bilamana pelangganlah yang kelak akan menjadi taruhannya. Bagi menangani isu ini, teori keputusan pengambilan pekerja dari bekas pesalah boleh digunapakai. Teori ini memberi kebebasan kepada pengurus sumber manusia mewakili majikan menggunakan persepsi kemesraan dan kecekapan dalam menimbang keputusan untuk merekrut bekas pesalah.

Teori ini dipengaruhi oleh tiga kriteria kesalahan. Pertama, tahap keseriusan kesalahan. Jika kesalahan yang dilakukan adalah tidak serius persepsi majikan untuk mengambil bekerja adalah cerah. Kedua, jarak masa kesalahan dahulu dilakukan atau keterkinian kesalahan. Kesalahan jenayah yang masih baharu dilakukan memungkinkan seseorang itu akan terjebak kembali mengulangi semula kesalahan serupa disebabkan kesalahan lepas masih agak baharu dilakukan. Persepsi ini memungkinkan orang yang baharu bebas sukar untuk mendapat peluang bekerja. Ketiga ialah jenis kesalahan. Jenis kesalahan yang dimaksudkan adalah jenayah berdasarkan kolar putih atau kolar biru. Ironinya, jenayah kolar putih mempunyai peluang yang lebih cerah untuk diambil bekerja berbanding dengan kolar biru. Ini disebabkan jenayah kolar putih ditakrifkan sebagai jenayah tanpa kekerasan di mana motifnya hanyalah berkaitan dengan keuntungan kewangan.

Sehubungan itu, keputusan mengambil pekerja baharu yang pernah melakukan kesalahan menuntut kecekapan dan kewarasan yang tinggi seorang pengurus sumber manusia. Tanpa perasaan berat sebelah, pengurus sumber manusia bertindak bagi pihak majikan memastikan bekas pelaku kesalahan itu benar-benar yakin bahawa mereka yang diambil bekerja bukan sahaja memenuhi syarat yang diperlukan mengikut garis panduan sumber manusia bahkan juga tidak akan mengulangi kesalahan atau jenayah masa lampau mereka.

Memang agak sukar untuk mempastikan bahawa seseorang yang pernah terlibat dalam kesalahan atau jenayah di masa lalu tidak akan mengulangi perbuatannya. Ini adalah stigma yang perlu ditangani dengan bijak dan pada masa yang sama memberi keadilan kepada mereka yang telah bebas hukuman dan benar-benar insaf serta ingin memperbaiki kehidupan mereka dalam masyarakat.

 

Tanggungjawab Majikan

Persoalannya, sejauhmanakah majikan akan dipertanggungjawabkan? Beberapa perkara perlu diketahui sebelum meletakkan kesalahan di pihak majikan.

Pertama, menjadi tanggungjawab majikan untuk menyediakan persekitaran kerja yang selesa dan selamat bukan sahaja kepada pekerja tetapi juga pelanggannya. Ini adalah ciri-ciri organisasi yang beretika yang berteraskan kejujuran, integriti dan ketelusan.

Kedua, majikan sedar bahawa mereka tidak sepatutnya mempunyai orang yang tidak jujur bekerja dengan mereka. Dengan kata lain, pekerja itu sendiri menyedari bahawa menyembunyikan identiti sebenar mereka seperti pernah melakukan kesalahan jenayah sebelum ini adalah suatu perbuatan yang menyalahi prosedur pengambilan bekerja..

Ketiga, majikan menggunapakai kaedah standard dalam mengenalpasti kompetensi dan integriti seseorang pekerja. Kos pengambilan pekerja adalah tinggi memandangkan ianya akan melibatkan pembangunan kerjaya pekerja tersebut dari mula bekerja sehinggalah hari terakhir perkhidmatannya. Oleh yang demikian, sesuai benar jika kaedah ujian dan pemilihan pekerja dibuat dengan teliti dan rapi bagi mengelak kesilapan mengambil pekerja.

Keempat, dasar dan undang-undang pengambilan pekerja yang semakin bersikap adil kepada semua memungkinkan bekas pelaku jenayah menembusi proses pemilihan pekerja yang tidak ketat. Oleh hal yang demikian, sukar bagi pihak majikan untuk tidak merekrut pekerja yang mempunyai latar belakang sedemikian.

Kelima, majikan harus menjalankan prosedur ujian dan semakan latar belakang yang sewajarnya untuk memastikan pekerja yang diambil bekerja sesuai dengan pekerjaan yang ditawarkan dan tidak mempunyai isu personaliti yang boleh merumitkan majikan pada masa hadapan. Hal ini demikian kerana majikan di Malaysia dibenarkan untuk menjalankan pemeriksaan latar belakang mereka selagi tidak melanggar Akta perlindungan Data Peribadi Malaysia 2010. Ini adalah merupakan langkah saringan proses pra-pekerjaan bagi mengelak dari pengambilan dan penggajian yang cuai (Blumstein & Nakamura, 2009). Dengan kata lain, majikan boleh dipertanggungjawabkan jika pekerjanya mendatangkan bahaya kepada pihak ketiga apabila majikan sepatutnya mengetahui risiko itu melalui pemeriksaan latar belakang yang munasabah.

Keenam, pengambilan pekerja harus berdasarkan merit. Tinjauan yang dilakukan oleh Persatuan Pengurusan Sumber Manusia (SHRM) dan Institut Charles Koch melaporkan bahawa kualiti pekerja yang mempunyai rekod jenayah adalah sama baik dan kadangkala lebih baik daripada yang tidak mempunyai rekod. Justeru, keinginan untuk mengambil bekerja calon terbaik adalah berdasarkan merit berkenaan. Justeru, jika dilihat dari perspektif ini, majikan sebenarnya tidak boleh sebarangan disabitkan dengan kesalahan sebagai kecuaian menggaji pekerja yang mempunyai rekod kesalahan masa lampau memandangkan pencapaian keputusan merit yang baik.

 

Realiti dan Cabaran

Ringkasnya, kegagalan majikan menggunakan alat ujian dan kaedah pemilihan yang sesuai semasa proses pengambilan pekerja menyebabkan kecuaian pengambilan pekerja berlaku. Di samping itu, majikan mungkin tidak serius dalam mengguna pakai peraturan yang menyatakan bahawa pemohon tidak mempunyai rekod jenayah terdahulu di mana sekiranya permohonan mereka diterima, mereka akan melalui proses pemeriksaan latar belakang yang ketat. Ini mungkin salah satu daripada lompang yang membolehkan pelaku salah tegar berpeluang mendapat pekerjaan. Selain

itu terdapat kajian yang melaporkan bahawa hanya 73 peratus majikan yang akan memeriksa secara teliti latar belakang seseorang calon pekerja yang pernah melakukan jenayah sebelum ini. Ini memberi indikasi bahawa ancaman kepada pelanggan hanya disasarkan kepada pekerja yang mempunyai rekod jenayah lalu sahaja. Secara realitinya, tidak mustahil pekerja baharu yang bersih turut memberi ancaman yang sama.

 

Biodata Penulis:

DR. JAKARIA DASAN

Doktor Falsafah dalam Pengurusan Sumber Manusia

Pensyarah Kanan di Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Perakaunan, UMS

 

Oleh Dr. Jakaria Dasan, Pengarah Pusat Komunikasi Korporat Universiti Malaysia Sabah

 

Beberapa dapatan menunjukkan bahawa tidak ramai alumni mendekatkan diri mereka dengan universiti selepas bergraduat. Kebiasaannya hal ini disebabkan oleh dua faktor; komitmen kerja atau kehidupan peribadi yang membataskan hubungan, dan lokasi tempat tinggal atau tempat bekerja yang jauh dari universiti. Akibatnya, rasa kecintaan yang berterusan kepada universiti semakin jauh dari jiwa alumni.

Namun begitu, tidak mustahil jika kerenggangan hubungan ini turut disebabkan oleh kurangnya aktiviti atau peristiwa yang harmonis yang menggamit kenangan manis semasa belajar dahulu. Faktor inilah yang akan difokuskan oleh rencana ini.

Majalah Forbes pernah melaporkan bahawa salah satu daripada perkara yang membezakan universiti terkemuka dengan universiti lainnya adalah disebabkan wujudnya kumpulan ahli akademik yang tersohor kepakaran mereka dalam pengajaran dan penyelidikan. Pensyarah berbakat, dan penyelidik produktif, serta persekitaran yang kondusif menghasilkan pelajar yang berfikiran matang, konstruktif, dan kritis. Sekaligus, membina graduan universiti yang kompetitif di pasaran kerja kelak.

Pendekkata, alumni yang mengecap kemajuan dalam kerjaya dan kehidupan inilah yang akan menyumbang kepada ketersohoran alma maternya. Dengan kata lain, apa yang menyebabkan alumni ingat kepada universiti mereka adalah disebabkan oleh ilmu dan pengalaman yang diperolehi dari universiti itu sendiri yang telah meningkatkan nilai diri mereka sehingga membantu mereka mendapat kerjaya yang baik atau berkecimpung sebagai usahawan yang berdaya tahan dan berjaya. Justeru itulah, amat penting buat sesebuah universiti itu agar sentiasa memastikan sistem pembelajaran dan prasarana kehidupan dalam kampus khasnya sentiasa dijaga dengan baik.

Pastinya, para alumni ini tidak akan lupa kenangan mereka melayari kehidupan di kampus dan interaksi mencabar minda yang positif dalam bilik kuliah dan di lapangan. Dengan sendirinya mereka akan terdorong untuk kembali ke universiti sebagai alumni yang akan menyumbang sama kepada pembangunan universiti mereka.

Isu air yang dihadapi oleh mahasiswa mahasiswi UMS umpamanya bakal menjadi salah satu kenangan yang sukar dilupakan setelah bergelar alumni kelak. Hendaknya bukan pengalaman ketiadaan air secara kerap yang diingati oleh para pelajar kelak. Akan tetapi usaha dan semangat warga universiti dalam menangani isu air itu yang perlu difokuskan.

Isu yang dihadapi oleh semua warga Kota Kinabalu itu sentiasa menjadi keutamaan pihak pengurusan universiti dan kemuncak kepada keprihatinan yang tinggi itu telah mendapat perhatian Yang Amat Berhormat Perdana Menteri sendiri dengan kelulusan dana RM 3 juta bagi usaha segera menangani isu air dalam kampus UMS. Sehingga rencana ini ditulis, penggerudian air bawah tanah dalam kampus UMS sudah pun terbukti berjaya yang bakal mengurangkan kebergantungan sepenuhnya kepada bekalan air dari Jabatan Air Sabah.

Ini adalah sebahagian pengalaman hidup para pelajar UMS dalam mendepani cabaran sewaktu bergelar mahasiswa mahasiswi lagi. Kenangan ini mahal harganya. Keprihatinan dan usaha berterusan pihak pengurusan universiti dalam mengusai masalah air juga perlu diingati oleh mereka kelak. Apabila hal ini difahami secara saksama barulah wujud rasa cinta yang tak kunjung padam antara alumni dan alma maternya.

Ringkasnya, universiti perlu berusaha meningkatkan pembelajaran yang menambah nilai dan peka serta prihatin kepada usaha menyediakan persekitaran kampus yang kondusif. Barulah alumni itu kelak akan sentiasa ingin kembali ke universiti dengan membawa sama kelebihan yang mereka ada untuk membangun bersama universiti yang mereka rindui. Sesungguhnya, universiti dan alumni berpisah tiada.

 

(Malaysia Gazette, 15 Jun 2023)

Pendidikan individu bermula dari dalam rahim ibu sehingga ke liang lahad. Ibu bapa dituntut melakukan amalan baik agar anak dalam kandungan mengikutinya kelak, manakala talkin dibacakan di majlis pengkebumian untuk memberi peringatan kepada yang masih hidup, walaupun seolah-olah pesanan itu adalah ditujukan kepada simati.

Begitulah kitaran hidup manusia yang tidak terpisah dari proses pembelajaran. Dalam konteks moden, pendidikan dikaitkan dengan kelestarian, survival, daya saing, pembangunan dan kemajuan. Dari perspektif kelestarian tamadun manusia pula pendidikan dilihat sebagai proses berterusan pembangunan minda manusia, masyarakat dan negara supaya lebih progresif dan terus relevan.

Dari perspektif yang lebih holistik, pendidikan merupakan pelantar membangun manusia dan kemanusiaan, melalui pengembangan potensi diri sesuai dengan keperluan masyarakat, negara bangsa dan alam sejagat, menepati fitrah manusia sebagai khalifah yang terpilih untuk mengimarahkan muka bumi. Hal ini juga bertepatan dengan alami manusia untuk beribadah kepada penciptanya.

Oleh yang demikian ekosistem pendidikan telah disediakan di negara ini oleh para pemuka masyarakat masa lampau. Mereka berpandangan jauh dan perihatin dengan potensi fitrah individu dan keperluan masyarakat, serta sedar akan tanggungjawab terhadap bangsa, agama dan negara. Maka wujudlah struktur dan sistem pendidikan dengan prasarana, dasar serta polisi. Penggubalan Dasar Pendidikan Kebangsaan melalui Ordinan Pelajaran 1957 menunjukkan kepentingan pandangan jauh pemimpin terdahulu terhadap keperluan pendidian di negara ini.

Seiring dengan perubahan persekitaran dan peredaran masa, perlaksanaan dasar ini mengalami perubahan pesat, tetapi masih kekal berpaksikan matlamat asal, iaitu keperluan pembangunan potensi insan dan masyarakat, membina negara bangsa serta memenuhi tuntutan fitrah manusia dan alam sejagat. Untuk kekal relevan kerajaan terus memperbaharui spektrum perlaksanaan dasar ini dengan memperkenalkan pelbagai inisiatif operasi untuk dilaksanakan di peringkat institusi dan organisasi.

Perlaksanaan Dasar Pendidikan Kebangsaan menjadi semakin mencabar kebelakangan ini. Hambatan ekonomi, kekangan kapasiti, perkembangan teknologi, perubahan demografi, persaingan industri dan peningkatan jangkaan masyarakat menjadikan pengurusan pendidikan di negara ini semakin rumit. Di peringkat polisi dan dasar, kepentingan pendidikan tidak pernah dikesampingkan. Namun ketangkasan kerangka perancangan serta perlaksanaan polisi dan dasar menangani cabaran merupakan persoalan penting. Pemegang taruh dan pelaksana, seperti para ibubapa dan golongan pendidik, membangkitkan isu kesesuaian operasi. Umpamanya beban pengajaran dan pembelajaran, kapasiti pembiayaan, kemudahan fizikal, sistem sokongan untuk para pendidik dan program kemenjadian murid itu sendiri. Natijahnya dizahirkan dalam perdebatan berpanjangan mengenai bebanan guru dan murid, kemudahan usang, jurang teknologi, kesesuaian sukatan pelajaran, kewajaran sistem kualiti, kebitaraan sutuktur pentaksiran dan seumpamanya.

Rangkaian isu yang berlanjutan ini jika tidak ditangani akan menjejaskan lanskap pendidikan di negara ini. Dampak negatifnya bukan setakat pencapaian matlamat operasi, tetapi jauh menular membarah dalam usaha strategik membangun negara bangsa dalam jangka panjang. Keyakinan pemegang taruh kepada kredibiliti sistem dan struktur pendidikan ini akan menyusut. Justeru, ia perlu dilihat secara holistik, ditanggapi secara menyeluruh, supaya langkah konkrit dapat diambil, bukan bersifat sementara atau bermusim sahaja. Sikap lepas tangan, saling menuding jari, seperti lagu bangau oh bangau akan merugikan semua pihak, seolah-olah memperjudikan nasib generasi muda dan masa hadapan negara.

Memperkasa sistem pendidikan negara bukan retorik semata-mata. Pelaburan jangka panjang untuk ekuiti negara dan aset bangsa merupakan tuntutan agama, adalah menjadi tanggungjawab semua. Apatah lagi dengan agihan peruntukan belanjawan tahunan yang sangat signifikan. Ia bukan urusan mudah dan sambil lewa. Justeru Langkah bersepadu diperlukan di peringkat institusi untuk menangani keperluan ekosistem dan tuntutan strategik. Di peringkat institusi, isu ini perlu ditangani dengan melihat melalui sudut pandang pengurusan organisasi. Ada beberapa lapisan struktur perlu disantuni, bukan setakat usaha bersifat adhoc, hit-and-run, bermusim, dan baling batu sembunyi tangan.

Struktur ekosistem

Lapisan pertama adalah sub-sistem yang bersifat fizikal, yang merupakan struktur paling asas, paling ringkas dan mudah difahami. Komponen dalam struktur ini boleh dilihat dan boleh disentuh. Umpamanya bangunan, peralatan, dokumen, kakitangan, pelajar dan seumpamanya, yang merupakan komponen asas dalam struktur dan ekosistem. Selalunya banyak usaha, masa dan sumber kewangan diperuntukkan untuk menyedia, mengukuh dan membangunnya. Peruntukan belanjawan tahunan negara ini yang tinggi untuk sektor pedidikan sebahagian besarnya untuk maksud keperluan komponen ini.

 

Lapisan kedua adalah rekabentuk unggul. Ia merupakan struktur yang lebih abstrak sifatnya, boleh dilihat tetapi tidak boleh disentuh kerana tidak wujud dalam bentuk fizikal. Upamanya peraturan, perundangan, SOP, struktur dan carta organisasi, hirarki dan proses kerja. Lapisan ini disedari dan dirasai kewujudannya, tetapi bukan dalam bentuk fizikal. Dalam sektor pendidikan ia boleh dilihat dalam bentuk Akta Pendidikan, sistem pentaksiran murid, sistem kenaikan pangkat guru, peraturan sekolah, struktur glosari, carta organisasi sekolah atau jabatan dan seumpamanya.

Lapisan ketiga adalah budaya. Ia merupakan struktur yang lebih abstrak berbanding dua lapisan sebelumnya. Adanya boleh dirasa tetapi tidak boleh dilihat atau disentuh. Ia sering diterima dalam bentuk sambal lewa (taken for granted) berasimiliasi dengan pencirian individu, kelompok dan masyarakat. Umpamnya adab, amalan, adat-istiadat dan pantang larang yang sinonim dengan kaum tertentu. Di peringkat institusi dan organisasi usaha membudayakan amalan kerja dan seumpamanya agak mencabar disebabkan budaya terbentuk bukan dalam tempoh yang singkat, proses alami yang rumit, serta sokongan dua lapisan sebelumnya. Struktur ini lebih lestari sifatnya, tidak berubah sekerap dan semudah dua struktur sebelum ini. Dalam sektor pendidikan budaya membaca, cintakan ilmu, hormatkan guru, integrasi kaum dan sumpamanya antara yang biasa dikedepankan. Dalam Jabatan pendidikan pula struktur hirarki, jurang kuasa, formaliti dan senioriti sangat berbeza dengan organisasi lain.  

Lapisan keempat adalah misi dan kepercayaan. Struktur ini lebih abstrak dari tiga lapisan sebelumnya. Struktur in bukan sahaja tidak boleh dipegang, dilihat dan lebih sukar untuk dirasai tetapi juga sangat abstrak sehingga individu dan kelompok jarang mempersoalkannya. Ia dianggap sebati dalam struktur institusi atau organisasi. Umpamanya kaum Melayu yang sinonim dengan agama Islam, kaum Cina dengan perniagaan, universiti dengan pendidikan tinggi, politik dengan kuasa, dan seumpamanya. Struktur ini lebih rumit dan sukar untuk dibangunkan, lebih kukuh dan sukar untuk berubah berbanding tiga struktur sebelumnya. Dalam sektor pendidikan misi memertabatkan ilmu dan kepercayaan bahawa ilmu itu suatu kemestian sangat sukar ditanam ke akar umbi. Malah ia sering singgah sementara sebagai slogan, retorik dan lambang semata-mata, diangkat sekali-sekala semasa perayaan, majlis atau acara tertentu, hari guru, pembentangan belanjawan, dan kempen. Namun jika ia sudah bertapak dan sebati, akan menjadi sumber kelebihan dan kekuatan organisasi kerana ia lebih mapan berbanding lapsian sebelumnya. 

Lapisan terakhir merupakan sturutur paling abstrak dan alami dalam struktur organiasi, yang dinamakan peraturan meta (metarules). Istilah paradigma, ideologi, dan metafora juga diguna untuk menggambarkan komponen lapisan ini yang berfungsi sebagai DNA institusi dan organisasi. Ia terdiri daripada komponen yang mencirikan keunikan. Biasanya kewujudan dan bentuk struktur lapisan ini ditanggapi dengan bersahaja dan sambal lewa. Umpamanya pandangan dan penerimaan umum mengenai institusi pendidikan di negara ini, telah diterima sebagai sebahagian dari struktur sosial. Ia diperkukuhkan mengikut peredaran zama dengan perubahan persekitaran, namun kekal dalam aspek asas. Persoalan mengapa dan kenapa pendidikan harus wujud dan diuruskan merupakan persoalan asas yang tidak dicabar status quonya, diterima secara wewenang, ditanggapi sebagai hakikat, dipegang secara mudah tanpa ada persoalan mengenainya.        

 

Mengurus

Isu besar pengurusan sektor pendidikan negara pada hari ini adalah pendekatan jangka pendek, terbatas kepada lapisan luaran, bersifat reaktif, bermusim, kurang terkendali, dan berpendekatan ad-hoc. Keributan dan kemelut berkitar mengenai kemudahan fizikal, sumber kewangan, konflik organisasi, kebajikan pemberi dan penerima pendidikan, seolah-olah isu berpanjangan yang tidak berkesudahan. Isu-isu ini hanya berada dalam lingkungan lapisan sub-sistem yang tidak menjangkau persoalan dasar. Jika dibiarkan berterusan, isu-isu dasar yang menyentuh komponen dalam lapisan yang lebih abstrak akan terkesamping. Pengurus dan penyampai pendidikan akan semakin keliru dengan dasar yang silih berganti. Hatta ada kalanya dasar dan polisi mungkin berkonflik. Keadaan ini berisiko menjadikan para pengamal dalam sektor pendidikan lesu dan tidak bermotivasi dek tekanan yang kekaburan jalan penyelesaian. Isu-su bebanan kerja, tekanan perasaan, pilihan bersara awal, dan seumpamanya merupakan gejala yang merunsingkan.

 

Kecelaruan pandangan, pertembungan nilai komersil, pemberat ekonomi, desakan pasaran dan tekanan persekitaran yang lain di satu sisi, dan tuntutan fitrah ilmu dalam ekosistem pendidikan di sisi yang lain, merupakan cabaran dalam membentuk dasar dan polisi yang tangkas. Terlalu ghairah kepada penandarasan, sistem jaminan kualiti, penarafan global dan seumpamanya mungkin berisiko kepada pertimbangan asas dan soal dasar dalam pengurusan ekosistem pendidikan. Umpamanya pertembungan antara pandangan antara pejuang Bahasa Melayu dan pandangan pendokong globalisasi bahasa Inggeris dalam industri. Begitu juga ketirisan pengisian berbentuk citra dan budaya, seperti sastera dan kekayaan Bahasa, berbanding penekanan teknologi dan hambatan industri, jika tidak terkendali akan menjejaskan pembentukan jatidiri.

 

Sebagaimana yang dijelaskan dalam huraian lapisan struktur organisasi dan institusi pendidikan di atas, penggiat industri pendidikan di negara ini perlu memikirkan isu asas dan persoalan pokok yang mendasari cabaran mengurus sektor pendidikan negara. Bukan terbatas kepada isu fizikal di lapisan luar institusi dan organisasi pendidikan, tetapi megmabil kira juga struktur abstrak di lapisan dalam yang lebih mendasar dan lestari sifatnya. Semua pihak, dari pembuat dasar dan penggubal polisi, pelaksana sehingga kepada penerima perkhdmatan perlu berlapang dada dan bersifat terbuka. Masa hadapan pendidikan generasi muda tidak boleh diperjudikan sebagai alat politik semata-mata. Masa hadapan negara dan nasib generasi muda sangat bergantung kepada wibawa pengurusan sektor pendidikan di negara ini.                      

 

https://malaysiagazette.com/2023/06/15/pengurusan-sektor-pendidikan-negara-cabaran-bertali-arus/)

-----------------------------------------

Prof. Dr. Rasid Mail

Universiti Malaysia Sabah