FPSK UMS: 20 Tahun Mengasimilasi Pendidikan Perubatan dan Sains Kesihatan kepada Komuniti

 

Oleh Talib Abdullah Shani, Ketua Pentadbiran FPSK UMS

 

Misi dan visi Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK), Universiti Malaysia Sabah (UMS) adalah untuk menjadi pusat asimilasi dan penyebaran pengetahuan, penemuan dan inovasi dalam bidang perubatan dan sains kesihatan melalui aktiviti pengajaran, pembelajaran, penyelidikan dan perkhidmatan kesihatan kepada komuniti.

Kini, FPSK telah menelusuri 20 tahun pelaksanaan misi dan visi tersebut, khususnya di Negeri Sabah. Naratif kewujudan dan kecemerlangan FPSK selama 20 tahun tersebut telah dipersembahkan dan disempurnakan pelancarannya oleh Naib Canselor UMS, YBhg. Prof. Datuk Dr. Kasim Hj. Mansor sempena Majlis Faculty Appreciation Night 2023 (FAN 2023) di Sabah International Convention Centre (SICC), Kota Kinabalu, Sabah pada 17 Jun 2023.

FAN 2023 merupakan acara tahunan sebagai platform mengiktiraf dan menghargai pencapaian warga Fakulti sepanjang tahun 2022 di samping mengeratkan lagi silaturahim antara pelajar dan kakitangan Fakulti. Majlis tahunan ini membawa tema “Tradisi Memperkukuh Institusi”.

Naib Canselor UMS dalam ucapan perasmiannya menzahirkan rasa gembira beliau melihat perkembangan dan impak kewujudan FPSK kepada Universiti dan masyarakat di Negeri Sabah khasnya. Menurutnya, FPSK telah mampu melaksanakan misi dan visi penubuhannya melalui pelbagai pencapaian sejak tahun 2003.

“Sepanjang 20 tahun lalu, Fakulti ini telah mampu mencapai pelbagai kemajuan yang ketara, khususnya melalui penghasilan graduan perubatan dan sains kesihatan yang kini berjumlah 1,733 orang. Mereka yang bergelar alumni ini telah bertebaran menabur khidmat kepada masyakarat dan negara, malah ada yang berkhidmat di luar negara”.

Tambah beliau lagi, FPSK turut menjuarai program community engagement khususnya di luar bandar yang telah terlaksana sejak tahun 2006 lagi, iaitu melalui program extra kurikulumnya yang dikenali sebagai PUPUK atau Perkongsian Universiti Keluarga Dalam Kesejahteraan Komuniti, CMP (Community Medicine Posting) dan Program Promosi Kesihatan.

Sehingga Jun 2023, seramai 2,438 komuniti dan 54 perkampungan luar bandar Sabah telah menerima manfaat melalui kedua-dua program tersebut. Pengisian utama program tersebut adalah memberikan khidmat pemeriksaan kesihatan percuma di samping program motivasi pendidikan melibatkan mahasisiwa Fakulti dengan anak-anak kampung yang terlibat.

“Sesungguhnya pencapaian ini amatlah signifikan kepada aspirasi Kerajaan Negeri Sabah pada masa kini, iaitu membangun modal insan dan kesejahteraan rakyat melalui Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ),” katanya.

Selain aspek kecemerlangan khidmat komuniti, FPSK juga telah membuktikan pencapaian cemerlang dalam bidang penyelidikan, di mana sebanyak 305 penyelidikan telah dihasilkan oleh pensyarah FPSK sejak tahun 2003 yang telah mendapat pelbagai anugerah dan pengiktirafan sama ada di peringkat Universiti, kebangsaan hinggalah antarabangsa. Lanjutan daripada hasil penyelidikan tersebut, sejumlah 770 telah dibukukan melalui penerbitan terindeks dalam Scopus. Sumbangan dan pencapaian penyelidikan ini telah memberi impak kepada perkembangan ilmu perubatan dan sains kesihatan di rantau ini amnya dan Negeri Sabah khasnya.

Jumlah kakitangan akademik dan pakar perubatan dan sains kesihatan juga telah mengalami peningkatan yang dinamik. Sehingga Jun 2023, seramai 141 kakitangan akademik di mana 76 daripadanya adalah pensyarah pakar perubatan dan sains kesihatan. Manakala, untuk kakitangan pentadbiran dan sokongan, juga telah bertambah kepada 60 orang. Melalui kekuatan sumber manusia tersebut, FPSK telah berjaya menjalin kerjasama strategik dengan pelbagai agensi berkepentingan dalam bidang perubatan dan sains kesihatan, termasuk dari luar negara.

Pencapaian terbaru fakulti dari aspek kepakaran perubatan adalah pada 12 Januari 2023, di mana seorang pakar perubatan bius otak iaitu Dr. Yeap Boon Tat telah bersama pasukan doktor pakar dari Hospital Queen Elizabeth2 (HQE2) dan Hospital Sungai Buloh, Selangor berjaya buat julung kalinya melaksanakan pembedahan otak pesakit dalam keadaan sedar penuh atau dikenali sebagai “awake craniotomy” di Sabah.

Naib Canselor UMS juga mengucapkan syabas dan tahniah kepada pelajar FPSK yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik, tetapi juga bukan akademik seperti aktiviti extra curicullum, kemasyarakatan, kepimpinan organisasi pelajar, sukan dan lain-lain lagi. Pencapaian pelajar dalam kedua - dua bidang akademik dan bukan akademik tersebut telah diraikan dalam majlis tersebut di atas.

Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan UMS akan terus mengorak langkah mempastikan misi dan visi penubuhannya terus memberi impak yang signifikan dalam pembangunan Universiti dan negara, khususnya untuk masyarakat di Negeri Sabah. Untuk itu, Prof. Dr. Mohammad Saffree Jeffree, Dekan Fakulti dalam ucapan aluannya di majlis tersebut telah menggariskan beberapa strategi bagi menyahut saranan Perdana Menteri Malaysia semasa program Temu Anwar di Dewan Canselor UMS pada 31 Mei 2023 agar UMS menjadi ‘champion’ membantu membangunkan komuniti di Negeri Sabah, iaitu:

(1) Memperluaskan khidmat kepakaran klinikal di kalangan pensyarah perubatan Fakulti melalui program outreach komuniti di kampung-kampung sekitar UMS dan seluruh Sabah.

(2) Mempergiatkan aktiviti penyelidikan dengan skop kajian difokuskan kepada permasalahan kesihatan masyarakat di Sabah. Contohnya kajian berkaitan isu kesihatan yang lazim berlaku seperti penyakit berjangkit, obesiti, diabetes atau hipertensi. Kajian ini boleh memberikan perspektif berguna tentang cara menangani masalah kesihatan dalam komuniti.

(3) Meningkatkan program pendidikan perubatan dan kesihatan khususnya kepada komuniti tentang cara mencegah penyakit, mengurus penyakit kronik dan mengamalkan amalan cara hidup sihat.

(4) Merancakkan kerjasama dengan organisasi tempatan yang berorientasikan komuniti, NGO dan agensi Kerajaan seperti Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) untuk menangani jurang kesihatan dalam komuniti. Kerjasama ini boleh membawa kepada pembangunan program kesihatan masyarakat, inisiatif outreach dan aktiviti lain yang berkaitan dengan kesihatan.

(5) Memperkasa kepimpinan dan advokasi kepada komuniti dengan mempromosikan dasar kesihatan, melibatkan diri sebagai ahli komuniti, dan menyokong pembaharuan penjagaan kesihatan selari Kertas Putih Kesihatan Malaysia.

Selain itu, dari segi akses pendidikan tinggi dalam bidang perubatan dan sains kesihatan khususnya kepada pelajar luar bandar Sabah kategori B40, FPSK dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Sabah, Bahagian Biasiswa Negeri Sabah dan agensi lain di dalam dan luar Universiti sedang giat melaksanakan gerak kerja untuk melaksanakan suatu lagi projek bersifat CSR (Community Social Responsibility) iaitu Program Sejahtera Masyarakat Melalui Pendidikan Profesional atau ringkasnya PROSPEK.

Misi PROSPEK adalah untuk menjadikan setiap keluarga B40 mempunyai seorang anak yang berprofesion dalam bidang perubatan dan sains kesihatan, sesuai dengan slogan projek ini iaitu ‘Merobah Destini Famili’. Pilot project untuk program ini akan dilancarkan pada bulan Oktober 2023 akan datang.

Selamat menyambut ulang tahun ke-20, 20 Tahun FPSK mengasimilasi pendidikan perubatan dan sains kesihatan kepada komuniti. Semoga terus Bertekad Cemerlang, Memandu Bangsa Memaju Negara.

UMS Santuni Komuniti Edu-Tourism Kg Sayap Kota Belud

26 Februari 2024

Oleh Dr. Jakaria Dasan, Pengarah Pusat Komunikasi Korporat UMS menerusi...

Ciri-ciri dan Kompetensi Mengurus Krisis

02 Januari 2024

Oleh Dr. Jakaria Dasan, Pengarah Pusat Komunikasi Korporat Krisis timbul...

Persiapan Ke Arah Pendigitalan Pendidikan

18 Oktober 2023

[SUARA SARAWAK, 18 OKTOBER 2023] PENDIGITALAN pendidikan semakin mendapat perhatian...

UMS Terus Ke Hadapan Membina Kecemerlangan Ilmu

25 September 2023

Lawatan singkat Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda...

IKUTI KAMI @

CAPAIAN PANTAS

  •  Direktori Kakitangan
  • Direktori Kepakaran
  • Portal Kakitangan
  •  Portal Pelajar
  •  SmartUMS
  •  E-Respon
  •  VirtualTour@UMS
  •  UMS Institutional Repository
  •  Tempahan Ruang

PAUTAN LAIN

  •  Peta UMS
  • Data Terbuka
  • Portal Kerajaan Negeri Sabah
  • Kementerian Pengajian Tinggi (KPT)
  • MAMPU
  • Portal Kerajaan Malaysia (MyGov)
  • UMS Investment Holdings Sdn. Bhd.