Pengumuman Daripada: Pusat Komunikasi Korporat
PENGENALAN SLOGAN "UMS: THE BRAIN OF BORNEO" SEBAGAI SEBAHAGIAN DARIPADA AKTIVITI PENJENAMAAN SEMULA
Dengan segala hormatnya perkara di atas dirujuk.
2. Pusat Komunikasi Korporat (PKK) ingin memaklumkan bahawa Universiti Malaysia Sabah (UMS) secara rasmi memperkenalkan slogan "UMS: The Brain of Borneo" sebagai sebahagian daripada inisiatif penjenamaan semula universiti seperti yang diumumkan sempena perutusan Hari Raya Aidilfitri oleh Naib Canselor UMS, YBhg. Profesor Datuk Dr. Kasim Hj. Mansor, JP yang disiarkan di dalam YouTube rasmi UMS iaitu UMSNets pada 30 Mac 2025.
3. Slogan ini mencerminkan komitmen UMS sebagai pusat kecemerlangan ilmu, inovasi, dan kepimpinan di Borneo serta di peringkat antarabangsa. Inspirasi bagi slogan ini adalah selari dengan visi yang digariskan oleh Menteri Pendidikan Tinggi, yang menekankan peranan universiti sebagai "The Brain of the Nation" dalam menjana pembangunan ilmu dan masyarakat. Dengan memperkasakan identiti UMS sebagai "The Brain of Borneo", kita menonjolkan keunikan institusi ini dalam membentuk pemikiran dan kepimpinan yang berdaya saing.
4. Sebagai sebahagian daripada aktiviti penjenamaan semula ini, slogan "UMS: The Brain of Borneo" akan digunakan secara meluas dalam bahan komunikasi rasmi universiti, termasuk laman web, media sosial, dokumen korporat serta acara rasmi. Ini juga akan menjadi satu penyataan jenama (brand statement) yang memperkukuh kehadiran UMS di peringkat antarabangsa serta meningkatkan daya tarikan universiti kepada pelajar dan rakan strategik global.
Cara Mengintegrasikan Slogan Ini:
(1) Menggunakan tanda pagar (hashtag) rasmi di media sosial seperti #UMStheBrainofBorneo atau #BrainofBorneo dalam hantaran berkaitan UMS.
(2) Memasukkan slogan dalam bahan promosi seperti poster, video dan laman web universiti.
(3) Mempromosikan slogan dalam program akademik, penyelidikan, pelajar dan penglibatan industri serta komuniti.
(4) Menggalakkan warga universiti dan alumni menggunakan slogan ini dalam perkongsian kejayaan mereka di media sosial.
5. Sehubungan itu, PKK menyeru seluruh warga UMS untuk mendukung usaha ini dengan menghayati dan mengintegrasikan slogan ini dalam semua aktiviti akademik, penyelidikan, pelajar dan libat sama industri serta komuniti. Sekiranya pihak YBhg. Prof./Datuk/Dr./Tuan/Puan mempunyai pertanyaan lanjut berkenaan slogan ini, sila hubungi En. Mohd. Ezni Hezri Mohd Yusop, Timbalan Pengarah PKK.
Kerjasama semua pihak amat dihargai dalam memastikan kejayaan inisiatif ini.
Sekian, terima kasih.
DR. RIZAL ZAMANI IDRIS
Pengarah
Pusat Komunikasi Korporat (PKK)