Graduan seimbang aset negara

 

Naib Canselor Universiti Malaysia Sabah (UMS), Prof. Datuk Dr. Kasim Haji Mansor berkata, graduan yang seimbang dalam pelbagai aspek merupakan aset yang diperlukan untuk memacu kemajuan pembangunan negara selain keupayaan untuk bersaing hingga ke peringkat antarabangsa.

Menurutnya, bagi mengukur kejayaan seseorang graduan mereka hendaklah bukan sahaja cemerlang dalam bidang akademik tetapi turut cemerlang dalam kemahiran insaniah.

"Graduan juga perlu menghayati enam tonggak dasar Malaysia MADANI yang digariskan oleh Perdana Menteri Malaysia, Dato Sri Anwar Ibrahim iaitu Kemampanan, Kesejahteraan, Daya Cipta, Hormat, Keyakinan dan Ihsan.

"Agenda MADANI ini bukan sahaja menumpukan aspek penyelesaian masalah dan memenuhi keperluan semasa negara tetapi agenda ini turut menyentuh corak masa depan serta memenuhi potensi rakyat dan negara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Karnival Kokurikulum UMS Semester 2 Sesi 2022/2023 anjuran Pusat Kokurikulum dan Pemajuan Pelajar (PKPP), di sini pada Sabtu.

Menurut Dr. Kasim, penganjuran karnival itu merupakan inisiatif yang baik untuk membuka mata pelajar dalam bidang reka cipta dan inovasi serta memberi peluang kepada mereka supaya berfikir secara kreatif sejajar dengan misi UMS sebagai peneraju masyarakat berinovatif dengan slogan “Leading Towards Innovative Societies”.

"Saya yakin bahawa kursus-kursus yang ditawarkan di PKPP ini memfokuskan potensi pelajar dalam mengasah bakat dan kemahiran insaniah melalui silibus kursus yang sesuai dan program-program yang dianjurkan.

"Di samping itu, pelajar diberikan pendedahan tentang inovasi dengan bimbingan daripada jurulatih yang bertauliah melalui Karnival Inovasi," katanya.

Sementara itu, Pengarah PKPPUMS, Prof. Madya Dr. Jurry Foo berkata, pusat itu sentiasa memastikan matlamat UMS sebagai peneraju masyarakat berinovatif menjadi realiti dengan menyediakan modul pengajaran dan pembelajaran (PdP) yang berkualiti.

"Selain itu, kita juga melantik jurulatih yang kompeten mengendalikan kursus kemahiran bidang dan aktiviti kemasyarakatan," katanya.

Beliau berkata karnival itu yang melibatkan 23 kursus kokurikulum diisi dengan pelbagai acara antara lain termasuk pameran aktiviti sepanjang semester, aktiviti interaksi, permainan, pertandingan bakat, peragaan pakaian sekolah, pameran poster hasil inovasi pelajar dan derma darah.

"Karnival kali ini dimeriahkan lagi dengan penyertaan jemputan khas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tebobon dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

"Bagi kempen derma darah anjuran Kursus Paramedik II dengan kerjasama KKM, seramai 128 pelajar telah mendaftar untuk menderma dengan sebanyak 49 pain darah berjaya dikumpul iaitu melebihi sasaran yang ditetapkan," tambah Dr Jurry.

Hadir sama pada karnival tersebut, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UMS, Prof. Madya Dr. Raman Noordin serta pegawai-pegawai utama dan kanan UMS.

IKUTI KAMI @

CAPAIAN PANTAS

  •  Direktori Kakitangan
  • Direktori Kepakaran
  • Portal Kakitangan
  •  Portal Pelajar
  •  SmartUMS
  •  E-Respon
  •  VirtualTour@UMS
  •  UMS Institutional Repository
  •  Tempahan Ruang

PAUTAN LAIN

  •  Peta UMS
  • Data Terbuka
  • Portal Kerajaan Negeri Sabah
  • Kementerian Pengajian Tinggi (KPT)
  • MAMPU
  • Portal Kerajaan Malaysia (MyGov)
  • UMS Investment Holdings Sdn. Bhd.