Program Rentas Borneo 2023 Jayakan 10 Projek Pemindahan Ilmu

 

Program Rentas Borneo 2023 yang berlangsung di Kampung Long Pasia, Sipitang selama lima hari melibatkan 10 projek pemindahan ilmu berjaya dilaksanakan warga Universiti Malaysia Sabah (UMS), baru-baru ini.

Bertemakan “To Long Pasia”, program ini dianjurkan Kelab Sukarelawan Pacuan Empat Roda UMS (UMS 4WDVC) dengan kerjasama Hospital UMS menerusi KPT Prihatin Komuniti Sejahtera (KRIS) serta Jabatan, Akademi, Fakulti, Pusat dan Institut di UMS.

Menurut Naib Canselor UMS, Profesor Datuk Dr. Kasim Hj. Mansor, program Rentas Borneo merupakan program tahunan yang melibatkan komuniti di luar bandar.

“Saya berasa sangat berbangga kerana penyertaan program ini melibatkan warga universiti selain ahli bersekutu Kelab Sukarelawan Pacuan Empat Roda UMS.

“UMS bukan hanya di bandar sahaja, tetapi kami bergerak ke kawasan-kawasan pedalaman mencurahkan ilmu kepada komuniti-komuniti tempatan agar tidak ketinggalan dalam arus pemodenan,” katanya ketika merasmikan program tersebut di Kg. Long Pasia, Sipitang.

Jelas Datuk Kasim, melihat kepada angka penyertaan peserta terhadap program ini telah menunjukkan bahawa ramai peserta berminat terhadap program pemindahan ilmu yang diharapkan memberi impak yang tinggi kepada komuniti Long Pasia.

Katanya, UMS sebagai salah satu universiti awam di negeri Sabah yang mempunyai kepakaran dalam disiplin ilmu seharusnya menerajui dan mampu memacu aktiviti ke arah mempertingkat dan memperkasakan komuniti desa yang jauh dari arus pembangunan dengan cara mengadakan program pemindahan ilmu dalam pelbagai disiplin ilmu seperti ini.

“Antara projek yang dijalankan sempena program ini ialah pemindahan ilmu pendidikan kesihatan, perubatan dan pergigian yang diterajui oleh Hospital UMS serta Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan.

“Program pemindahan ilmu pemasangan sistem solar e-Desa Long Pasia dan teknologi kompos pula diterajui Fakulti Kejuruteraan dengan kerjasama Fakulti Pertanian Lestari.

“Sementara pemindahan ilmu teknologi akuakultur dan teknologi filtrasi air pula diterajui oleh Institut Penyelidikan Marin Borneo dan Institut Penyelidikan Bioteknologi.

Menurut Datuk Kasim lagi, pemindahan ilmu kesenian dan budaya Malaysia Madani diterajui Galeri Azman Hashim dan Akademi Seni dan Teknologi Kreatif serta pendidikan berkenaan sukan dan riadah yang dikendalikan Pusat Sukan UMS.

Katanya, pemindahan ilmu teknologi ICT dan komputer, kesedaran alam sekitar dan biodiversiti serta keselamatan dan masyarakat dikendalikan oleh Jabatan Teknologi Maklumat dan Komunikasi, Institut Biologi Tropika dan Pemuliharaan dan Bahagian Keselamatan UMS.

“Program murni ini perlu didokumentasikan melalui penerbitan buku, foto atau video bertujuan untuk dijadikan sebagai bahan rujukan serta segala dapatan dan sumber data boleh dipersembahkan melalui pameran dengan bantuan Galeri Azman Hashim UMS untuk tujuan tatapan pelajar dan masyarakat umum.

“Justeru, program seperti ini haruslah dijalankan secara berkala agar komuniti-komuniti desa tidak ketinggalan dari segi pemindahan ilmu yang bermanfaat kepada mereka dan semoga dengan pemindahan ilmu ini dapat meningkatkan lagi taraf hidup komuniti desa dan menjadikan komuniti desa, komuniti yang pentingkan ilmu dan sentiasa mahu maju ke hadapan.

Untuk rekod, seramai 100 peserta yang terdiri daripada kakitangan UMS dan ahli bersekutu UMS 4WDVC terlibat dalam program Rentas Borneo 2023 “To Long Pasia”.

Turut hadir, Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa UMS, Profesor Dr. Shahril Yusof yang juga Presiden UMS 4WDVC; Pengerusi Rentas Borneo 2023, Profesor Datuk Dr. D Kamarudin D Mudin; Ketua Kampung Long Pasia, Yakub bin Sim serta Guru Besar SK Long Pasia, Micheal Opai.

IKUTI KAMI @

CAPAIAN PANTAS

  •  Direktori Kakitangan
  • Direktori Kepakaran
  • Portal Kakitangan
  •  Portal Pelajar
  •  SmartUMS
  •  E-Respon
  •  VirtualTour@UMS
  •  UMS Institutional Repository
  •  Tempahan Ruang

PAUTAN LAIN

  •  Peta UMS
  • Data Terbuka
  • Portal Kerajaan Negeri Sabah
  • Kementerian Pengajian Tinggi (KPT)
  • MAMPU
  • Portal Kerajaan Malaysia (MyGov)
  • UMS Investment Holdings Sdn. Bhd.