IBTP UMS Terus Usaha Memperkasa Penglibatan Komuniti Dalam Pemuliharaan Biodiversiti

 

Universiti Malaysia Sabah (UMS) melalui Institut Biologi Tropika dan Pemuliharaan (IBTP) terus memperkasakan usaha dalam melibatkan semua pihak termasuk industri dan komuniti dalam aspek pemuliharaan biodiversiti.

Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UMS, Prof. Ir. Dr. Rosalam Sarbatly berkata, ini adalah sejajar dengan peranan penting IBTP membantu UMS dalam penyelidikan biodiversiti.

“Sepanjang 27 tahun penubuhannya IBTP telah melaksanakan pelbagai program ke arah memberi kesedaran kepada pelbagai pihak akan kepentingan memelihara dan memulihara biodiversiti.

“Justeru itu, usaha memperkasa penglibatan komuniti untuk bersama-sama melaksanakan tanggungjawab masing-masing dalam pemuliharaan biodiversiti adalah penting sebagai satu kesinambungan terhadap usaha IBTP selama ini,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan ketika mewakili Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. Kasim Mansor merasmikan Karnival IBTP dan Sambutan Hari Biodiversiti Sedunia Peringkat IBTP di Bangunan IBTP, UMS.

Terdahulu, Pengarah IBTP, Prof. Madya Dr. Fiffy Hanisdah Saikim memaklumkan IBTP sentiasa mengambil inisiatif untuk memberi kesedaran tentang kepentingan biodiversiti kepada manusia sejagat dan seterusnya menambahkan pengetahuan tentang kepelbagaian flora dan fauna melalui pelbagai aktiviti yang dirancang.

“Selain aktiviti-aktiviti yang dijalankan dalam karnival ini, IBTP juga pada kali ini melantik Unduk Ngadau Kaamatan 2023, Carol Abbey Gail sebagai Duta Konservasi.

“Pelantikan ini dilihat mampu membantu usaha IBTP dalam menghebahkan mesej dan menyuntik kesedaran dalam kalangan masyarakat berkaitan kepentingan pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar demi kelangsungan kepelbagaian hidupan alam sekitar untuk keseimbangan ekosistem bumi.

“IBTP turut mengalu-alukan dan melantik SMK Taman Tun Fuad sebagai sekolah angkat IBTP yang pertama sebagai usaha membangkitkan kesedaran berkaitan biodiversiti terutamanya dalam kalangan pelajar,” ujar beliau.

Pelbagai aktiviti menarik diadakan sepanjang Karnival IBTP yang berlangsung selama tiga hari antaranya pameran daripada pelbagai agensi dan NGO, Young Scientist at Work, Ceramah Biodiversiti, Spelling Bee, Pertandingan Melukis dan Mewarna, Aktiviti Upcycling, Pertunjukan Fesyen, Tayangan Video dan sebagainya.

Pada majlis perasmian karnival tersebut juga IBTP telah menerima sumbangan tajaan berjumlah RM3,000 daripada Junior Chamber International (JCI) Moyog bagi aktiviti berdasarkan penyelidikan iaitu Bengkel PCM untuk Pembangunan Lestari ke arah Tindakan Kerangka Hijau Pemegang Taruh Masyarakat.

Selain itu, IBTP turut menerima sumbangan daripada AEC Logistic Sdn. Bhd. untuk aktiviti dan penyelidikan BORNEENSIS Living Lab berjumlah RM3,200.

Hadir sama pada majlis tersebut Naib Presiden JCI Sabah, Keffrey Teoh; Naib Presiden JCI (Moyog), Fradie Siau Kang Wei; Pengetua SMK Taman Tun Fuad, Halija Hj. Jonggang; Pengerusi Unduk Ngadau Kaamatan Peringkat Negeri 2023, Joanna Datuk Kitingan; dan Timbalan Ketua Pegawai Sains Kanan IBTP, Ahmad Sudin.

IKUTI KAMI @

CAPAIAN PANTAS

  •  Direktori Kakitangan
  • Direktori Kepakaran
  • Portal Kakitangan
  •  Portal Pelajar
  •  SmartUMS
  •  E-Respon
  •  VirtualTour@UMS
  •  UMS Institutional Repository
  •  Tempahan Ruang

PAUTAN LAIN

  •  Peta UMS
  • Data Terbuka
  • Portal Kerajaan Negeri Sabah
  • Kementerian Pengajian Tinggi (KPT)
  • MAMPU
  • Portal Kerajaan Malaysia (MyGov)
  • UMS Investment Holdings Sdn. Bhd.