Kolaborasi UMS Bersama Tiga Buah Universiti Di Mindanao, Filipina Perkukuh Kerjasama Pendidikan Tinggi BIMP-EAGA

 

Universiti Malaysia Sabah (UMS) telah memeterai Perjanjian Hasrat Kerjasama (LoI) bersama tiga buah universiti di Mindanao, Filipina bagi memperkukuh jalinan kolaborasi pendidikan tinggi di rantau ini.

Kolaborasi bersama tiga universiti tersebut iaitu Mindanao State University, University of Southern Mindanao dan Notre Dame University, Filipina dalam mobiliti pelajar, akademik dan penyelidikan akan memacu dalam menghasilkan modal insan yang berkualiti sekali gus mampu memberi manfaat kepada Kawasan Pertumbuhan ASEAN Timur Brunei-Indonesia-Malaysia-Filipina (BIMP-EAGA).

Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. Kasim Hj. Mansor berkata, peranan institusi pengajian tinggi merupakan antara nadi yang mampu memangkin kepada pertumbuhan sosioekonomi di rantau ini.

“Justeru itu, UMS sebagai salah sebuah menara gading di negeri ini bertekad untuk menerajui pendidikan tinggi di rantau BIMP-EAGA.

“Ini kerana melalui pendidikan akan dapat memahami sosio-kebudayaan untuk kemapanan ekonomi serantau,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika memeterai hasrat kerjasama (LoI) dengan ketiga-tiga universiti tersebut sempena lawatan kerja delegasi Perutusan Khas (Special Envoy) BIMP-EAGA Sabah yang diketuai oleh Tan Sri Pandikar Amin Hj. Mulia di Cotabato, Mindanao, Filipina.

Kasim menambah, kerjasama tersebut adalah amat penting dalam membantu meningkatkan kesedaran generasi muda berkenaan kepentingan pendidikan tinggi.

“Pendidikan adalah senjata paling kuat yang boleh digunakan untuk mengubah dunia.

“Kelestarian wilayah juga bergantung pada jenis pendidikan yang tepat,” kata Kasim.

Dalam pada itu, Pandikar Amin ketika ditemui media selepas menyaksikan pemeteraian perjanjian tersebut berkata, pendidikan merupakan kunci dalam membuka peluang serta mengatasi halangan-halangan yang dihadapi di sekitar BIMP-EAGA.

“Saya difahamkan kolaborasi ini akan melibatkan mobiliti pelajar, pertukaran akademik, perkongsian bersama geran dan penyelidikan.

“Oleh itu, saya barharap forum sehari bertajuk BIMP-EAGA: Empowering Minority Communities in the Bangsamoro Region dapat menjadi platform terbaik untuk negara anggota BIMP-EAGA membincangkan kerjasama dalam usaha menghasilkan modal insan yang berkualiti dan mampu memberi manfaat kepada rantau ini,” ujar beliau.

Untuk rekod, penubuhan BIMP-EAGA bertujuan untuk mengukuhkan kerjasama dan pertumbuhan dalam bidang pelancongan, perniagaan, pertanian, perhubungan, persekitaran, sosio-budaya serta pendidikan.

Turut menyertai Kasim dalam lawatan kerja tersebut Pengarah Institut Biologi Tropika dan Pemuliharaan (IBTP) UMS, Prof. Madya Dr. Fiffy Hanisdah Saikim.

IKUTI KAMI @

CAPAIAN PANTAS

  •  Direktori Kakitangan
  • Direktori Kepakaran
  • Portal Kakitangan
  •  Portal Pelajar
  •  SmartUMS
  •  E-Respon
  •  VirtualTour@UMS
  •  UMS Institutional Repository
  •  Tempahan Ruang

PAUTAN LAIN

  •  Peta UMS
  • Data Terbuka
  • Portal Kerajaan Negeri Sabah
  • Kementerian Pengajian Tinggi (KPT)
  • MAMPU
  • Portal Kerajaan Malaysia (MyGov)
  • UMS Investment Holdings Sdn. Bhd.