MAF 2023 Rai Kakitangan Cemerlang FKJ UMS

 

Fakulti Kejuruteraan (FKJ), Universiti Malaysia Sabah (UMS), meraikan kakitangannya yang menunjukkan prestasi cemerlang dalam menyampaikan perkhidmatan melalui penganjuran Majlis Aspirasi Fakulti Kejuruteraan 2023 (MAF2023) baru-baru ini.

Majlis yang berlangsung di Le Meridian, Kota Kinabalu itu merupakan inisiatif FKJ dalam mengiktiraf dan menghargai kakitangannya yang telah menunjukkan komitmen dan dedikasi dalam aspek seperti pentadbiran, pengurusan akademik, pengurusan hal ehwal pelajar dan pengurusan penyelidikan dan inovasi.

Naib Canselor UMS, Profesor Datuk Dr. Kasim Hj. Mansor berkata, penganjuran majlis tersebut adalah satu tanda bahawa pengurusan fakulti amat menghargai dan mengiktiraf kakitangannya yang berprestasi cemerlang dalam melaksanakan tugas yang telah diamanahkan.

“Percayalah bahawa setiap pencapaian kakitangan dalam semua peringkat merupakan satu kebanggaan untuk universiti dan sentiasa dititikberatkan oleh pengurusan UMS.

“Saya berharap agar majlis ini akan meniup semangat kakitangan untuk terus menyumbang secara cemerlang dan memperkasakan lagi diri untuk meraih lebih banyak kejayaan pada masa akan datang,” katanya dalam ucapan ketika merasmikan majlis tersebut.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa UMS, Profesor Dr. Shahril Yusof.

Tambah beliau, usaha warga FKJ yang komited untuk mengekalkan budaya kerja cemerlang akan membawa martabat fakulti ke peringkat yang lebih tinggi.

Terdahulu, Dekan FKJ, Profesor Madya Ts. Dr. Ismail Saad dalam ucapannya menekankan MAF2023 bukan setakat memberi penghargaan tetapi memberi aspirasi.

“Ini supaya semua kakitangan sentiasa berlumba-lumba dalam mencapai sesuatu cita-cita sehingga berjaya yang boleh menyumbang kepada FKJ khususnya dan UMS amnya dalam pelbagai bidang.

“Kakitangan yang memberikan perkhidmatan mutu dan penghasilannya melebihi daripada keperluan tanggungjawab biasa bagi jawatannya wajar diberikan penghargaan dan pengiktirafan.

“Perkhidmatan yang diberikan boleh menjadi contoh dan ikutan serta memberi pengaruh yang menggerakkan kecerdasan pekerja dan daya usaha staf yang lain,” katanya

Pada majlis tersebut, sejumlah 64 penghargaan dan lima anugerah khas disampaikan kepada para penerima mengikut lima kategori.

Lima kategori tersebut adalah kategori Pengurusan dan Pentadbiran, Penghargaan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Penghargaan Akademik dan Antarabangsa, Penghargaan Penyelidikan dan Inovasi, dan Anugerah Khas FKJ.

Hadir sama pada majlis tersebut Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi, Profesor Ir. Dr. Rosalam Sarbatly dan Ketua Pustakawan UMS, Md Sazali Md Salleh.

IKUTI KAMI @

CAPAIAN PANTAS

  •  Direktori Kakitangan
  • Direktori Kepakaran
  • Portal Kakitangan
  •  Portal Pelajar
  •  SmartUMS
  •  E-Respon
  •  VirtualTour@UMS
  •  UMS Institutional Repository
  •  Tempahan Ruang

PAUTAN LAIN

  •  Peta UMS
  • Data Terbuka
  • Portal Kerajaan Negeri Sabah
  • Kementerian Pengajian Tinggi (KPT)
  • MAMPU
  • Portal Kerajaan Malaysia (MyGov)
  • UMS Investment Holdings Sdn. Bhd.