UMS - MAMPU Bangunkan Projek EA dan BDA, Tingkatkan Perkhidmatan Digital

 

Universiti Malaysia Sabah (UMS) menggunakan khidmat perundingan MAMPU dalam pembangunan enterprise architecture (EA) dan analitis data raya, atau juga dikenali sebagai Big Data Analytics (BDA) di UMS.

Menurut Naib Canselor UMS, Profesor Datuk Dr. Kasim Mansor, pembangunan EA dan BDA di UMS adalah selaras dengan pelaksanaan inisiatif data raya seperti yang dinyatakan dalam Rancangan Malaysia Kesebelas (RMK-11).

Katanya, pelaksanaan EA dan BDA di UMS amat penting bagi memastikan kualiti perkhidmatan digital universiti dapat ditingkatkan serta memastikan perancangan dan pembuatan keputusan pada masa hadapan adalah berlandaskan data.

“UMS komited menyokong Teras Strategik 2, Pelan Strategik Pendigitalan Agensi Sektor Awam 2021-2025 dengan mewujudkan agenda pendigitalan ke dalam Pelan Strategik UMS 2023-2027 melalui Key Result Area (KRA) 7, Digital Transformation yang bermatlamat untuk menyediakan infrastruktur digital yang mampan, perkhidmatan digital yang inklusif, dan pengurusan data yang komprehensif.

“Sehubungan dengan itu, kerjasama dengan khidmat perundingan daripada Bahagian Perundingan ICT, MAMPU dalam pembangunan EA dan BDA adalah langkah tepat dalam menyokong strategik inisiatif KRA 7 UMS.

“Dengan tersedianya EA UMS ini, pihak pengurusan berharap ia akan dapat mempercepatkan dan meningkatkan lagi proses transformasi digital di UMS,” ujarnya.

Tambah Kasim, transformasi digital yang menyeluruh merangkumi domain bisnes, data, aplikasi dan teknologi akan meningkatkan kualiti perkhidmatan digital dan memberi manfaat kepada pemegang taruh UMS.

“Begitu juga dengan pelaksanaan BDA UMS, inisiatif dan perancangan strategik yang lebih mampan akan dapat dirangka berlandaskan data dan maklumat. Secara tidak langsung, pelaksanaan BDA akan meningkatkan lagi pembudayaan keputusan berlandaskan data di UMS,” jelasnya.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Profesor Madya Dr. Raman Noordin.

Sementara itu, Pengarah Bahagian Perundingan ICT MAMPU, Nur Hidayah Abdullah berkata pihaknya menghargai kepercayaan yang diberikan oleh UMS mendapatkan khidmat perundingan MAMPU bagi projek tersebut.

“MAMPU juga ingin merakamkan ucapan syabas dan tahniah terutamanya kepada Ketua Pegawai Digital UMS, Profesor Dr. Awang Asri atas kejayaan membangunkan EA dan BDA di UMS bermula November 2022 sehingga Oktober tahun ini.

“Kerjasama MAMPU dan UMS dalam membangunkan EA dan Spesifikasi Keperluan Bisnes (BRS) BDA secara dalaman telah menyumbang kepada penjimatan kos perunding luar.

“Pembangunan EA dan BRS DBA UMS ini diharap dapat meningkatkan pendigitalan, penyepaduan proses dan infrastruktur UMS serta perkongsian data dalam kalangan universiti dan agensi kerajaan,” tambahnya.

Pembangunan EA UMS direka bentuk berteraskan pendigital perkhidmatan yang berfokus kepada pembangunan modal insan yang berpengetahuan dan berkeupayaan serta dapat meningkatkan tahap kebolehpasaran graduan yang berorientasikan keperluan industri.

IKUTI KAMI @

CAPAIAN PANTAS

  •  Direktori Kakitangan
  • Direktori Kepakaran
  • Portal Kakitangan
  •  Portal Pelajar
  •  SmartUMS
  •  E-Respon
  •  VirtualTour@UMS
  •  UMS Institutional Repository
  •  Tempahan Ruang

PAUTAN LAIN

  •  Peta UMS
  • Data Terbuka
  • Portal Kerajaan Negeri Sabah
  • Kementerian Pengajian Tinggi (KPT)
  • MAMPU
  • Portal Kerajaan Malaysia (MyGov)
  • UMS Investment Holdings Sdn. Bhd.