Lebih 1,000 Peluang Pekerjaan Ditawarkan Di Karnival Kerjaya MyFuture Jobs @ MOHE Zon Borneo

 

Karnival Kerjaya MyFuture Jobs @ MOHE Zon Borneo yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) menawarkan lebih 1000 peluang pekerjaan pelbagai jawatan untuk diisi anak-anak tempatan khususnya graduan di institut pengajian tinggi (IPT).

Karnival yang dirasmikan oleh Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Ts. Mustapha Sakmud itu merupakan anjuran Kementerian Pendidikan Tinggi dengan melibatkan kolaborasi strategik antara Universiti Malaysia Sabah (UMS), Jabatan Pengurusan Sumber Manusia (JPSM) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) Negeri Sabah.

Menurut Mustapha, penganjuran karnival tersebut merupakan usaha kerajaan yang berterusan dalam memastikan pencari kerja termasuk golongan rentan mendapat peluang pekerjaan dari pelbagai sektor sekali gus menangani isu pengangguran dan kehilangan pekerjaan yang dialami oleh rakyat Malaysia.

“Dalam situasi masa kini, kerjasama antara sektor kerajaan, sektor swasta, pemain industri dan institusi pendidikan adalah kunci untuk mencapai matlamat kita dalam mengembangkan sumber manusia yang berkualiti khususnya di Sabah.

“Segenap daripada kita perlukan kesatuan dalam tindakan demi menangani isu kebolehpasaran graduan ini.

“Justeru, platform seperti karnival kerjaya, sesi dialog di antara industri dan akademia serta siri kolaborasi program seperti ini haruslah dilaksanakan secara berkala,” katanya.

Beliau turut memaklumkan, menurut Statistik melalui Sistem Kajian Pengesanan Graduan (SKPG) yang dikeluarkan KPT pada tahun 2022, jumlah graduan siswazah yang menganggur dicatatkan seramai 29,099 graduan, iaitu menurun sebanyak 12,368 graduan berbanding tahun sebelumnya iaitu 41,467 graduan.

“Kadar pengangguran siswazah pada 2022 menurun sebanyak 4.7 peratus kepada 9.8 peratus berbanding 14.5 peratus pada tahun sebelumnya, manakala bagi negeri Sabah, Kadar Belum Kerja Graduan turut mencatatkan penurunan pada tahun 2022 sebanyak 7.6% kepada 14.2% berbanding tahun 2021 sebanyak 21.8%.

“Ini menunjukkan hasil usaha bersama pelbagai pihak, tahap kebolehpasaran graduan semakin meningkat sementara peluang pekerjaan juga semakin bertambah terutama pada era pasca pandemik,” katanya.

Mustapha menambah, IPT awam mahupun swasta perlu memastikan usaha menyediakan graduan berkualiti, bersifat global dan sentiasa relevan dilaksanakan sebaiknya agar dapat memasuki pasaran kerja tempatan dan juga berupaya menembusi pasaran kerja antarabangsa.

“Graduan juga perlu didedahkan dan mempunyai kemahiran berfikir secara kritis, kepimpinan, kerja berpasukan dan mempunyai karakter global.

“Dunia pekerjaan dengan ketidaktentuan ekonomi hari ini amat mencabar, untuk itu para graduan perlu bersedia untuk bersaing demi pekerjaan dan masa depan,” ujar beliau.

Sejumlah 23 majikan dari pelbagai sektor terlibat dalam menjayakan karnival tersebut.

Pada majlis itu, Mustapha turut menyerahkan sijil tawaran bekerja kepada beberapa siswazah yang berjaya dan menyerahkan sijil penghargaan kepada rakan kolaborasi daripada JPSM dan PERKESO Sabah.

Hadir sama pada majlis tersebut Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UMS, Prof. Dr. Shahril Yusof dan dan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UMS, Prof. Madya Dr. Raman Noordin.

IKUTI KAMI @

CAPAIAN PANTAS

  •  Direktori Kakitangan
  • Direktori Kepakaran
  • Portal Kakitangan
  •  Portal Pelajar
  •  SmartUMS
  •  E-Respon
  •  VirtualTour@UMS
  •  UMS Institutional Repository
  •  Tempahan Ruang

PAUTAN LAIN

  •  Peta UMS
  • Data Terbuka
  • Portal Kerajaan Negeri Sabah
  • Kementerian Pengajian Tinggi (KPT)
  • MAMPU
  • Portal Kerajaan Malaysia (MyGov)
  • UMS Investment Holdings Sdn. Bhd.