UMS Bantu Tingkat Kefahaman Tentang Rintangan Antimikrob Kepada Pelajar Sekolah

 

Sekumpulan penyelidik Rintangan Antimikrob (AMR – Antimicrobial Resistance)  dari Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK) Universiti Malaysia Sabah (UMS) telah mengadakan program “Mengenali AMR” di Sekolah Kebangsaan (SK) Pekan dan SK Piasau, Kota Belud baru-baru ini.

Menurut Ketua Jabatan Pendidikan Perubatan FPSK, Dr Zulkhairul Naim Sidek Ahmad yang juga merupakan Ketua Projek AMR, program tersebut antara lain bertujuan untuk meningkatkan kesedaran mengenai AMR dalam kalangan murid-murid sekolah rendah tersebut.

“Program ini adalah kesinambungan dari aktiviti yang dijalankan pada penghujung tahun lalu yang menyaksikan 20 orang murid dari SK Pekan dan SK Piasau telah dilatih untuk menjadi pembimbing rakan sebaya bagi menyebarkan kesedaran berkenaan AMR.

“Kajian perubatan di seluruh dunia telah menunjukkan bahawa punca utama AMR adalah disebabkan penggunaan antibiotik secara tidak wajar.

“Justeru itu, kempen berkenaan AMR perlu dilakukan seawal yang boleh agar masyarakat khususnya generasi muda lebih cakna dan dapat meningkatkan pengetahuan tentang AMR,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah Kota Belud, Nurhanah Idek ketika merasmikan penutupan program tersebut berkata, penganjuran program tersebut adalah tepat pada masanya.

“AMR merupakan ancaman kesihatan global yang semakin membimbangkan.

“Oleh yang demikian, program seperti ini sangat memberi manfaat kepada murid-murid dan juga selari dengan agenda kesihatan negara,” ujar beliau.

Program yang diadakan selama dua hari itu mendapat penyertaan seramai 220 orang murid darjah empat hingga enam dari SK Pekan dan SK Piasau.

Untuk rekod, AMR adalah satu keadaan yang wujud apabila bakteria, virus, kulat atau parasit yang dirawat tidak lagi memberi tindak balas terhadap ubat yang digunakan, lalu menyebabkan sesuatu penyakit jangkitan semakin sukar diubati dan memerlukan antimikrob yang lebih kuat serta lebih mahal bagi menyembuhkan jangkitan tersebut.

IKUTI KAMI @

CAPAIAN PANTAS

  •  Direktori Kakitangan
  • Direktori Kepakaran
  • Portal Kakitangan
  •  Portal Pelajar
  •  SmartUMS
  •  E-Respon
  •  VirtualTour@UMS
  •  UMS Institutional Repository
  •  Tempahan Ruang

PAUTAN LAIN

  •  Peta UMS
  • Data Terbuka
  • Portal Kerajaan Negeri Sabah
  • Kementerian Pengajian Tinggi (KPT)
  • MAMPU
  • Portal Kerajaan Malaysia (MyGov)
  • UMS Investment Holdings Sdn. Bhd.