PPPH UMS, MUIS Bincang Kerjasama Strategik Bagi Memperkasa Industri, Ekosistem Halal di Sabah

 

Kerjasama strategik di antara Pusat Perkhidmatan dan Penyelidikan Halal (PPPH) di bawah Fakulti Sains Makanan dan Pemakanan (FSMP)  Universiti Malaysia Sabah (UMS) bersama hab halal Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) mampu menyumbang kepada perkembangan hab halal di Sabah.

Perkara ini dinyatakan oleh Pengarah PPPH, Dr. Noorakmar Abd Wahab ketika mengetuai delegasi UMS mengadakan kunjungan hormat ke pejabat MUIS baru-baru ini.

Delegasi UMS seramai lima orang disambut oleh wakil dari hab Halal Sabah yang diketuai oleh Ketua Pegawai Eksekutif MUIS, Ramlan Awang Ali.

Menurut Noorakmar, kunjungan tersebut antara lain membincangkan kerjasama dengan hab halal MUIS dalam hal-hal yang berkaitan dengan perkhidmatan halal, dengan mengambil kira peranan PPPH selaku penyedia latihan halal (PLH) yang diiktiraf oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) di Sabah.

“PPPH bersedia memainkan peranan dalam memberikan latihan dan kursus yang diperlukan oleh pengusaha makanan sama ada di peringkat kotej, kecil dan sederhana dan perusahaan besar.

“Justeru, perbincangan ini adalah permulaan terbaik untuk satu usaha ke arah kerjasama yang lebih strategik dan bersasar antara kedua-dua pihak sebagai meneruskan kesinambungan kepada satu Memorandum Persefahaman yang telah dimeterai antara UMS dan MUIS sebelum ini,” katanya.

Beliau turut memaklumkan, beberapa kertas cadangan yang berkaitan aktiviti penyelidikan juga telah disampaikan kepada MUIS, termasuk potensi kerjasama dalam penganjuran Simposium Halal yang dijangka akan diadakan pada bulan Ogos 2024 di Sutera Harbour, Kota Kinabalu.

“Dengan adanya tenaga pakar di PPPH, penyelidikan bersama dari segi analisis halal dan pengetahuan berkenaan halal dapat dilaksanakan dan seterusnya dapat memberi maklumat mengenai landskap halal yang diperlukan oleh MUIS.

“PPPH dan MUIS jika bergerak bersama mampu mewujudkan sinergi positif dalam memperkasakan industri dan seterusnya ekosistem halal di Sabah,” katanya.

Noorakmar turut menzahirkan penghargaan kepada MUIS yang sentiasa memberi sokongan kepada PPPH dalam menjalankan aktiviti penyelidikan dan perkhidmatan halal.

“Diharapkan kerjasama yang berterusan di antara UMS dan MUIS akan memberi manfaat kepada Negeri Sabah dalam menjadi hab halal terutama dalam penghasilan makanan yang bukan hanya halal tetapi juga toyyiban,” ujar beliau.

Hadir sama dalam kunjungan hormat tersebut Dekan FSMP, Prof. Madya Dr. Hasmadi Mamat dan ahli-ahli kumpulan penyelidik halal iaitu Mohd Hazim Mohd Yusof, Dr. Nor Qhairul Izzreen Mohd Noor, dan Dr. Yanty Noorzianna Abdul Manaf.

IKUTI KAMI @

CAPAIAN PANTAS

  •  Direktori Kakitangan
  • Direktori Kepakaran
  • Portal Kakitangan
  •  Portal Pelajar
  •  SmartUMS
  •  E-Respon
  •  VirtualTour@UMS
  •  UMS Institutional Repository
  •  Tempahan Ruang

PAUTAN LAIN

  •  Peta UMS
  • Data Terbuka
  • Portal Kerajaan Negeri Sabah
  • Kementerian Pengajian Tinggi (KPT)
  • MAMPU
  • Portal Kerajaan Malaysia (MyGov)
  • UMS Investment Holdings Sdn. Bhd.