PPIB UMS Jenamakan Semula Bilik Mesyuarat, Hargai Jasa Pengasas

 

Pusat Penataran Ilmu dan Bahasa (PPIB) Universiti Malaysia Sabah (UMS) menjenamakan semula Bilik Mesyuarat Utama pusat tersebut sebagai Bilik Mesyuarat Ahmat Adam, sempena nama pengasas PPIB, Profesor Emeritus Datuk Dr. Ahmat Adam.

Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UMS, Profesor Dr. Shahril Yusof berkata, program itu antara lain bertujuan sebagai inisiatif PPIB dalam mengiktiraf dan menghargai jasa dan sumbangan pengasas serta pemimpin PPIB.

Katanya, pemilihan penjenamaan bilik mesyuarat tersebut dipilih dengan sangat teliti sebagai mencerminkan nilai-nilai kebersamaan dan keharmonian yang diharapkan akan diterapkan dalam setiap perbincangan pada masa akan datang.

“Bilik Mesyuarat Ahmat Adam akan menjadi tempat di mana idea-idea cemerlang bersatu, keputusan dibuat dengan bijak dan kolaborasi berkembang. Diharapkan agar ruang ini akan menjadi tempat di mana segala perbincangan berlangsung dengan penuh hormat, kejujuran, dan kefahaman.

“Di samping itu, penjenamaan bilik ini juga untuk memperingati perjalanan PPIB sebagai sebuah organisasi yang menggambarkan usaha bersama dalam membina hubungan yang kukuh dan mewujudkan persekitaran kerja yang harmoni.

“Semoga PPIB berkomitmen untuk terus memperkukuhkan hubungan ini demi mencapai matlamat dan visi bersama,” katanya.

Dalam majlis itu juga, Dekan PPIB, Prof. Madya Dr. Lai Yew Meng turut membacakan ucapan khas daripada Profesor Emeritus Datuk Dr. Ahmat Adam yang pencen dari UMS pada tahun 2006 bagi menzahirkan rasa penghormatan dan penghargaan yang besar kepada UMS dan PPIB.

“Hidup ini adalah ibarat sebuah perjalanan, bukannya sebuah destinasi. Ia penuh dengan pengajaran, seksaan jiwa, kegembiraan, perayaan, dan saat-saat istimewa yang akan menghala ke arah destinasi kita, tujuan kita dalam kehidupan.

“Saya pun tidak menduga kepemimpinan saya suatu masa dahulu di PPIB telah dihargai dan dirakamkan dengan menamakan bilik mesyuarat pusat ini dengan nama saya.

“Sesungguhnya, sewaktu saya mengendalikan pengurusan PPIB serta cuba memperkukuhkan konsep ilmu yang menyangkut padanya, saya tidak akan berupaya mengerjakannya tanpa sokongan dan dukungan padu kawan-kawan sekalian,” ujarnya.

Beliau turut berharap agar PPIB akan terus menyebarkan ilmu yang memanfaatkan bukan sahaja kepada para pelajar UMS tetapi semua orang yang mencintai ilmu pengetahuan yang berteraskan kemanusiaan dan kesejagatan pemikiran yang berunsur kesarjanaan.

“Di hari tua saya sekarang yang kini saya lalui, saya pun cuba sedaya yang mungkin untuk meneruskan budaya penataran (yakni ertinya “upgrading”) ilmu dan pengembangan bahasa dan sastera kebangsaan, dengan harapan sumbangan saya yang tak seberapa ini akan memanfaatkan masyarakat dan negara yang tercinta,” katanya.

Hadir sama, Timbalan Dekan (Pascasiswazah dan Hubungan Antarabangsa), Profesor Madya Dr. Mohd. Azri Ibrahim; Timbalan Dekan (Penyelidikan, Inovasi dan Khidmat Komuniti) PPIB, Dr. Kavitha A/P Ganesan serta Ketua Pentadbiran PPIB, Alna Tugon

IKUTI KAMI @

CAPAIAN PANTAS

  •  Direktori Kakitangan
  • Direktori Kepakaran
  • Portal Kakitangan
  •  Portal Pelajar
  •  SmartUMS
  •  E-Respon
  •  VirtualTour@UMS
  •  UMS Institutional Repository
  •  Tempahan Ruang

PAUTAN LAIN

  •  Peta UMS
  • Data Terbuka
  • Portal Kerajaan Negeri Sabah
  • Kementerian Pengajian Tinggi (KPT)
  • MAMPU
  • Portal Kerajaan Malaysia (MyGov)
  • UMS Investment Holdings Sdn. Bhd.