UMS Sunset Autism Run tingkat kesedaran dan pendidikan autisme

 

Usaha meningkatkan kesedaran mengenai autisme adalah penting dan perlu diberi perhatian serius oleh semua lapisan masyarakat.

Naib Canselor UMS, Profesor Datuk Dr. Kasim Hj. Mansor berkata autisme adalah peluang untuk masyarakat memahami kepelbagaian dalam pembangunan minda manusia yang perlu diraikan, difahami dan diintegrasikan dalam setiap aspek kehidupan.

“Setiap individu tidak kira latar belakang mereka mempunyai potensi besar untuk menyumbang kepada pembangunan masyarakat jika diberikan sokongan yang sewajarnya.

“UMS sebagai sebuah institusi pendidikan tinggi yang berperanan penting dalam pembentukan minda dan penyelidikan, berasa bertanggungjawab untuk turut serta dalam usaha meningkatkan kesedaran dan pemahaman mengenai autisme.

“Kami percaya bahawa pendidikan adalah kunci utama dalam mengatasi segala kekangan dan prejudis yang mungkin wujud dalam masyarakat.

“Pada hari ini kita bukan sahaja berkumpul untuk membincangkan kepentingan kesedaran autisme, tetapi juga untuk memperkukuh komitmen kita dalam usaha ini,” ujar Kasim.

Beliau berkata demikian pada penganjuran UMS Sunset Autism Run (USAR) 2024 yang dirasmikan oleh Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Ts. Mustapha Sakmud yang diwakili oleh Pengarah Parlimen P.171 Sepanggar, Ahsim Jamat baru-baru ini.

Tambah Kasim, UMS akan terus menjadikan program-program seperti itu sebagai acara tahunan agar ia dapat memberi manfaat kepada komuniti, bukan sahaja di Sabah, tetapi juga di seluruh negara.

“Kerjasama erat antara pihak universiti, organisasi seperti Sabah Autism Society (SAS), dan masyarakat akan terus diperkukuhkan demi melahirkan sebuah ekosistem yang inklusif dan menyokong perkembangan semua individu, termasuk mereka yang hidup dengan autisme,” katanya.

USAR 2024 merupakan penganjuran kali ke-4 bersama SAS, Pusat Minda Lestari UMS, Pusat Alumni UMS serta Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Perakaunan UMS dengan sokongan agensi kerajaan dan swasta.

Turut hadir, Penaung SAS, Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau; Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UMS, Profesor Dr. Raman Noordin serta Pengerusi SAS, Jennifer Balanting.