Malaysia sasar sifar kes kusta menjelang 2030

 

Kementerian Kesihatan (KKM) menyasarkan sifar kes kusta tempatan baharu menjelang tahun 2030.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, berkata setakat 4 Mei lalu, negara masih mencatatkan 66 kes kusta di seluruh negara termasuk 24 kes di Sabah.

"Aktiviti mengesan serta memberi rawatan awal membabitkan kes kusta secara bersasar di lapangan perlu dipertingkatkan sebagai langkah untuk mencapai sasaran.

"Antara pendekatan KKM adalah menerusi pelaksanaan pemberian rawatan Profilaksis Single Dose Rifampicin kepada kontak rapat dan komuniti berisiko.

"Ia seiring saranan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sebagai langkah pencegahan dan penularan penyakit kusta," katanya.

Dr Dzulkefly berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Majlis Sambutan Hari Malaria, Tibi dan Kusta Sedunia 2024 Peringkat Kebangsaan di Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Malaysia Sabah (UMS).

Sementara itu, Dr Dzulkefly menyarankan masyarakat untuk melibatkan diri dalam aktiviti yang boleh mewujudkan kesedaran mengenai penyakit berjangkit seperti malaria, tibi dan kusta.

Menurutnya, persekitaran positif dan memberikan sokongan kepada pesakit atau individu yang terkesan dengan penyakit berjangkit amat diperlukan supaya kualiti hidup pesakit dapat dipertingkatkan.

"Stigma dan diskriminasi haruslah dihentikan dan sasaran 'Hentikan Tibi menjelang tahun 2035' dan 'Sifar Kes Kusta Baharu Tempatan' dapat dicapai," katanya.