UMS Perkenal Program Pensijilan Kepimpinan dan Governan Eksekutif, Inisiatif Membangun Pemimpin Masa Hadapan

 

Universiti Malaysia Sabah (UMS) memperkenalkan Program Pensijilan Kepimpinan dan Governan Eksekutif sebagai satu inisiatif penting dalam usaha meningkatkan kemahiran kepimpinan dalam kalangan pemimpin organisasi, persatuan, politik, perniagaan, dan eksekutif.

Program ini dibangunkan oleh Bahagian Kepimpinan dan Pembangunan Bakat (BKEPT) dengan kerjasama Pusat Pendidikan Fleksibel (UMSFLEC) serta tenaga pakar yang berpengalaman dalam bidang kepimpinan dan governan.

Menurut Pendaftar UMS, Luqman Ridha Anwar, program ini antara lain bertujuan untuk meningkatkan kemahiran kepimpinan dengan membantu peserta membangunkan kemahiran kepimpinan strategik yang dapat membawa organisasi mereka ke tahap yang lebih tinggi.

“Selain itu, program ini juga adalah inisiatif universiti dalam melahirkan pemimpin masa hadapan dengan memupuk kebolehan berfikir secara kritis dan bertindak secara proaktif bagi memastikan kelangsungan organisasi dan persatuan.

“Para peserta juga akan dilatih untuk menjadi pemimpin yang lebih fleksibel dalam menangani pelbagai cabaran dan situasi dalam organisasi mereka,” katanya.

Tambahnya lagi, program ini menyasarkan peserta dalam kalangan eksekutif tinggi seperti Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Ketua Pegawai Kewangan (CFO), Ketua Pegawai Operasi (COO), dan Pengarah Urusan; Pengurusan Kanan, Pemimpin Pasukan atau Persatuan; Pengarah Lembaga atau Ahli Lembaga Pengarah organisasi; Usahawan atau Pemilik Perniagaan; Pengurus Berprestasi Tinggi yang dikenal pasti berpotensi untuk memegang peranan kepimpinan lebih tinggi; dan Pemimpin Dalam Peralihan yang sedang beralih ke peranan eksekutif baharu.

“Walau bagaimanapun untuk kohort pertama, program ini akan menyasarkan peserta dalam kalangan pemimpin parti – parti politik di seluruh Negeri Sabah.

“Program ini dicadangkan berlangsung selama enam bulan dengan enam modul, di mana setiap modul akan dijalankan sebulan sekali selama dua hari, iaitu 14 jam.

“Namun, bagi pelaksanaan pertama pada tahun 2025, program akan dijalankan secara intensif selama 12 hari dengan enam modul dan jumlah jam pengajaran sebanyak 84 jam, bermula dari 14 April hingga 26 April 2025.

“Modul-modul yang ditawarkan antaranya Fundamentals of Leadership, Leadership Skills, Navigating Choices: The Art and Science of Leadership Decisions, Conflict Management, Leadership In Diversity: Navigating Multicultural Environments, dan Crisis Managment,” katanya.

Maklumat lanjut berkaitan program ini bolehlah berhubung dengan Jamli Ikhwan di talian 010-8879886, e-mel Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya.