NDRC UMS, Universiti Pokhara Perkukuh Pengurusan Bencana Rentas Sempadan

 

Pusat Kajian Bencana (NDRC) Universiti Malaysia Sabah (UMS) memperkukuh kerjasama strategik bersama Universiti Pokhara, Nepal dalam bidang penyelidikan dan pengurusan bencana.

Menurut Pengarah NDRC UMS, Profesor Madya Dr. Carolyn Melissa Payus, kerjasama tersebut bukan hanya merangkumi pengurusan bencana alam, tetapi juga perubahan iklim, sumber air dan alam sekitar.

Katanya lawatan tersebut melibatkan sesi perbincangan dua hala dan mesyuarat kolaborasi yang memfokuskan kepada inisiatif penyelidikan bersama kedua-dua institusi.

“Lawatan kerja rasmi ini menjadi platform penting untuk berkongsi perkembangan penyelidikan semasa, meneroka peluang kerjasama baharu dan memperkukuh rangkaian akademik dalam menangani cabaran global terutamanya akibat daripada perubahan iklim, terhadap pengurusan sumber air, kelestarian alam sekitar dan daya tahan terhadap bencana alam.

“Antara kerjasama yang telah dibincangkan adalah dalam pelaksanaan Seminar Bersama yang akan melibatkan pakar-pakar dari kedua-dua institusi tersebut, di samping penyelidikan yang berkaitan pemetaan risiko bencana dan penilaian berterusan untuk tanah runtuh terutamanya melibatkan projek pembinaan jalan raya.

“Ini termasuklah potensi tinggi kerjasama dalam bidang kajian kebakaran hutan bagi menangani bencana pencemaran udara merentas sempada seperti jerebu, pembangunan sistem amaran awal bencana seperti banjir serta pertukaran kepakaran dan felo penyelidik dalam bidang yang diperlukan oleh kedua-dua institusi antaranya dalam permohonan geran antarabangsa,” katanya.

Pada lawatan tersebut, NDRC UMS turut terlibat dalam kerja lapangan di kawasan Machhapuchchhre, Daerah Kaski, Wilayah Gandaki, iaitu merupakan kawasan penempatan komuniti yang terdedah kepada risiko bencana tanah runtuh.

“Lawatan diketuai oleh Profesor Dr. Binaya Kumar Mishra dan dibantu oleh Profesor Madya Dr. Rajib Pokhrel, dari Sekolah Kejuruteraan Universiti Pokhara Nepal.

“Dalam kerja lapangan yang sama, kami turut berpeluang melihat sendiri operasi Seti Nadi Hydroelektrik yang dimajukan oleh Vision Lumbini Urja Company Ltd. yang pada awalnya tertangguh akibat daripada bencana banjir yang melanda kawasan hidroelektrik tersebut.

Tambah Carolyn, kerja lapangan juga dijalankan di kawasan sekitar Kathmandu yang terkesan akibat gempa bumi kuat bermagnitud 7.8 pada April 2015, antaranya Dharahara, Durbar Square serta Durbar Marg.

“Lawatan rasmi ini bukan sahaja memperkukuh hubungan dua hala antara UMS dan Universiti Pokhara, malah membuka ruang penyelidikan kolaboratif yang meluas dalam menangani isu-isu kemanusiaan dan pembangunan mampan.

“Kerjasama ini dijangka akan membawa kepada pelaksanaan projek penyelidikan bersama, pertukaran pelajar dan pakar penyelidik, di samping penganjuran bengkel rentas negara terutamanya dalam pengurusan pengurangan risiko bencana.

“Langkah ini sejajar dengan komitmen UMS dalam mendukung Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), khususnya inisiatif yang berkaitan dalam adaptasi perubahan iklim terhadap pembangunan komuniti yang lebih berdaya tahan bencana,” katanya.

Turut sama dalam lawatan tersebut, Pegawai Penyelidik NDRC UMS Eldawaty Madran.