UMS Rentas Sempadan, Anjur Pertukaran Kuliah Online Bersama UPI

 

Universiti Malaysia Sabah (UMS) terus meluaskan budaya perkongsian ilmu serantau dengan menganjurkan pertukaran kuliah (lecture exchange) bagi program Pendidikan Awal Kanak-Kanak (PAKK) bersama Universitas Pendidikan Indonesia (UPI).

Ketua Program PAKK, Fakulti Pendidikan dan Pengajian Sukan (FPPS) UMS, Dr. Juppri Bacotang berkata program tersebut bertujuan berkongsi kepakaran para pensyarah UMS dan UPI berkaitan topik-topik khusus bagi kursus yang ditawarkan pada semester semasa.

Katanya antara kuliah yang disampaikan adalah berkaitan pendidikan abad ke-21, pedagogi PAKK, Pengurusan Pusat PAKK, kualiti guru PAKK, isu semasa PAKK dan perkembangan awal kanak-kanak.

“Ini merupakan program pertukaran kuliah yang pertama dianjurkan oleh Program Pendidikan Awal Kanak-kanak (PAKK) bersama universiti lain khususnya universiti luar negara.

“PAKK FPPS juga bercadang untuk meneruskan program ini bersama UPI pada masa akan datang, serta melibatkan lebih banyak lagi universiti dalam dan luar negara,” katanya.

Juppri berkata program tersebut juga memberi peluang kepada para pensyarah dalam menyampaikan kuliah kepada para pelajar secara interaktif dan menekankan komunikasi dua hala.

“Seramai 500 pelajar serta 14 pensyarah terlibat dalam pertukaran kuliah kali ini dengan masing-masing menyampaikan kuliah dengan sangat berkesan,” tambahnya.

Sementara itu, Ketua Prodi Program Studi Pendidikan Guru Pendidikan Awal Usia Dini (PGPAUD), Fakultas Ilmu Pendidikan (FIP) UPI, Dr. Yeni Rachmawati berkata program seumpama itu amat signifikan bagi memberi ruang kepada para pelajar untuk menimba ilmu daripada pelbagai sumber dan kepakaran.

“Program ini juga dapat meneroba perbandingan kurikulum dan amalan dalam PAKK yang ditekankan di Malaysia dan Indonesia.

“UPI berharap kerjasama dengan UMS ini dapat diteruskan lagi pada masa hadapan, bukan sahaja dalam aspek akademik, malah dalam aspek penyelidikan, penerbitan, perundingan, dan khidmat masyarakat.

“Program ini banyak memberi manfaat kepada pelajar dan pensyarah, dan perkongsian pintar ini dapat memastikan kualiti pendidikan awal kanak-kanak di Nusantara yang lebih mampan dan berkualiti,” ujarnya.

Menurut salah seorang pelajar PAKK UMS, Syah Azreeq Sahminan, program tersebut bukan sahaja memfokuskan kepada akademik pelajar sahaja, malah dapat menyokong pembangunan sahsiah pelajar dalam aspek kepimpinan, keyakinan dan pengurusan program.

“Program ini dapat mengasah bakat saya menjadi moderator yang melibatkan penceramah dari luar negara. Ini merupakan pengalaman pertama saya menjadi moderator bagi program seumpama ini, dan saya sangat bersyukur kerana dapat melaksanakannya dengan baik dan lancar.

“Selain itu juga, melalui program ini kami sebagai peserta dapat mempelajari pelaksanaan pendekatan projek dalam pendidikan awal kanak-kanak yang membantu mereka mengaitkan pembelajaran dengan pengalaman dunia sebenar, meningkatkan motivasi dan keterlibatan aktif mereka dalam pembelajaran.

“Pendekatan projek juga sangat penting kerana dapat membantu kanak-kanak belajar dengan lebih aktif dan seronok. Melalui projek, kanak-kanak juga dapat berfikir secara kritis, menyelesaikan masalah dan bekerja dengan rakan-rakan,” katanya.