Kakitangan dan pelajar Universiti Malaysia Sabah (UMS) meneruskan amalan bergotong-royong bagi melaksanakan ibadah korban sempena sambutan Hari Raya Aidiladha di UMS.
Menurut Pegawai Hal Ehwal Islam Kanan, Pusat Islam UMS, Mohammad Fazri Abdul Hamid, pada tahun ini seramai 21 peserta korban terlibat dalam ibadah korban di UMS.
“Sejumlah empat ekor lembu dikorbankan secara bergotong-royong di Perkarangan Masjid UMS, iaitu tiga ekor lembu daripada peserta korban, manakala seekor lembu disumbangkan oleh pihak RHB Bank.
“Lebih 30 petugas korban dalam kalangan kakitangan UMS, antaranya dari wakil Kesatuan Kakitangan UMS (KEKAUMAS) terlibat membantu dalam menjayakan kerja-kerja penyembelihan dan melapah lembu korban.
“Manakala lebih 20 petugas staf dan pelajar UMS termasuk wakil dari Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) terlibat dalam melaksanakan pengagihan daging korban serta penyediaan jamuan di Dapur Rahmah UMS,” katanya.
Beliau turut memaklumkan daging korban kemudiannya diagihkan kepada kakitangan UMS dan pelajar-pelajar di kolej kediaman luar UMS, serta dimasak sebagai jamuan tengah hari yang disediakan di Masjid UMS.
Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. Kasim Hj Mansor dan Pengarah Wilayah RHB Bank Wilayah Sabah, Stephen Chin turut berkesempatan menyantuni petugas ibadah korban serta meninjau aktiviti korban yang dilaksanakan pada sebelah pagi.