UMS Guna Pentaksiran Alternatif, Tangani Cabaran Isu Berkaitan Pemakanan

 

Fakulti Sains Makanan dan Pemakanan (FSMP), Universiti Malaysia Sabah (UMS) telah menganjurkan ‘NutriFest 2025: Where Nutrition Meets Entrepreneurship!’ sebagai satu bentuk pentaksiran alternatif bagi kursus Pengurusan Penjagaan Kesihatan di fakulti itu.

Pensyarah penyelaras kursus, Dr. Khor Ban Hock berkata program itu antara lain bertujuan melatih pelajar tahun tiga Program Pemakanan untuk menggabungkan pengetahuan pemakanan dengan kemahiran keusahawanan melalui penghasilan dan penjualan produk makanan yang sihat dan inovatif.

“Selain itu, pelajar turut diberi peluang untuk mengaplikasikan teori dalam situasi sebenar dengan merancang pembangunan produk, analisis nilai pemakanan, strategi pemasaran dan jualan, serta interaksi bersama pelanggan.

“Di samping itu, ia juga bagi membentuk pelajar menjadi ahli pemakanan yang berjiwa usahawan selaras dengan keperluan industri masa kini,” katanya.

Sementara itu menurut Ketua Program Pemakanan, Dr. Noor Atiqah Aizan Abdul Kadir, inisiatif penganjuran NutriFest 2025 membuktikan bahawa ahli pemakanan bukan sekadar memberi nasihat diet, tetapi juga mampu mencipta, menghasilkan dan memasarkan makanan sihat yang lazat kepada komuniti.

“Pelajar bukan hanya menyiapkan tugasan, tetapi menjalankan projek sebenar yang memberi impak kepada komuniti. Ini melatih mereka menjadi profesional pemakanan yang mampu menyumbang dalam pelbagai sektor termasuk keusahawanan,” katanya.

Antara produk inovatif yang dihasilkan oleh pelajar termasuk biskut oat rendah gula yang sesuai untuk individu yang ingin mengawal pengambilan gula serta Nutribowl, iaitu hidangan lengkap berkonsepkan Pinggan Sihat Malaysia yang direka untuk mendidik pengguna tentang pengambilan makanan seimbang.

Program ini turut mendapat sokongan rakan industri iaitu Ahli Dietetik Alpro Pharmacy, Zeesha Gloria Rayner Gusimi sebagai juri industri yang memberi maklum balas tentang potensi pasaran produk.

Turut hadir sebagai juri ialah Pensyarah Program Perkhidmatan Makanan FSMP UMS, DK Rafidzah AK Mohiddin yang menilai kualiti penyediaan makanan dan aspek pengurusan perkhidmatan oleh pelajar.