Program Latihan Kebakaran Tingkat Kecekapan Siswa UMS Hadapi Kecemasan

 

Pelaksanaan Program Latihan Kebakaran di Kolej Kediaman Lestari, Universiti Malaysia Sabah (UMS) Kampus Sandakan baru-baru ini mampu memberi kesedaran dan kefahaman siswa-siswi tentang keselamatan kebakaran.

Menurut Pengetua Kolej Kediaman Lestari, Borhan Abdul Haya @ Yahya, program anjuran Jawatankuasa Kebajikan Mahasiswa (JAKMAS) dan Jawatankuasa Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) kolej kediaman itu dapat membantu meningkatkan pengetahuan dan kecekapan pelajar dalam menghadapi situasi kecemasan secara berhemah dan berdisiplin.

“Program ini memberi pendedahan awal kepada peserta tentang langkah keselamatan dan tatacara menyelamatkan diri semasa kebakaran, selain menjadi platform pembelajaran bagi JAKMAS menimba ilmu dalam merancang program berimpak tinggi.

“Melalui inisiatif ini, kami berharap dapat memupuk semangat bekerjasama dan mendorong pelajar untuk lebih peka terhadap aspek keselamatan diri serta komuniti sekeliling,” katanya.

Beliau turut memaklumkan kolaborasi antara komuniti universiti dan pihak bomba mampu memberikan manfaat jangka panjang dalam membina budaya keselamatan kampus yang mapan.

“Program ini turut membantu mengukuhkan kefahaman pelajar mengenai sistem tindak balas kecemasan yang betul dan tersusun.

“Dengan kerjasama yang berterusan, kita dapat memastikan kesinambungan usaha ini demi kemajuan dan kesejahteraan bersama,” ujar beliau.

Program Latihan Kebakaran tersebut melibatkan penyertaan pelajar-pelajar UMS Sandakan dan merupakan sebahagian daripada inisiatif tahunan JAKMAS dan JKKP Kolej Kediaman Lestari dalam memperkukuh kesedaran keselamatan dalam kalangan warga kolej.

Program tersebut turut mendapat sokongan kerjasama daripada Balai Bomba dan Penyelamat Daerah Sandakan, Pusat Rawatan Warga (PRW) UMS, Bahagian Keselamatan UMS Sandakan, dan Syarikat Stabil Primajaya yang merupakan syarikat pembekal yang membekalkan peralatan latihan dan mengaktifkan sistem penggera kebakaran.