UMS Perkenal Program Baharu Penulisan Kreatif

 

Universiti Malaysia Sabah (UMS) memperkenalkan program akademik baharu iaitu Program Ijazah Sarjana Muda Penulisan Kreatif dengan Kepujian sebagai inisiatif baharu universiti itu dalam memperkasa dunia penulisan melalui pendidikan formal yang menekankan aspek kreatif, kritis dan aplikatif.

Dekan Akademi Seni dan Teknologi Kreatif (ASTiF) UMS, Profesor Madya Dr. Zairul Anuar Md. Dawam berkata program baharu itu diperkenalkan mengikut arus perkembangan terkini dalam menggalakkan apresiasi sastera di Borneo.

Katanya pengenalan program baharu itu juga merupakan salah satu usaha untuk meningkatkan kesedaran dan penghayatan masyarakat terhadap kepentingan bidang sastera.

’’Ambilan pertama untuk progam Ijazah Sarjana Muda Penulisan Kreatif dengan Kepujian ini akan bermula pada sesi akademik Semester 1, 2025/2026 yang akan bermula pada Oktober 2025 dengan tempoh pengajian selama tujuh semester.

’’Kita sasarkan untuk kumpulan pelajar pertama adalah seramai 50 orang.

’’Pelajar-pelajar lepasan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan setaraf boleh mula menghantar permohonan ke ASTiF UMS di alamat e-mel Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya., atau melayari laman web ASTif di https://www.ums.edu.my/astif/,’’ katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Perasmian Program AdiKarya 2025 anjuran ASTiF d UMS, baru-baru ini.

Majlis perasmian Program AdiKarya 2025 disempurnakan oleh Sasterawan Negeri Sabah ke-2, Azmah Nordin.

Program AdiKarya 2025 merupakan program penilaian dan pengiktirafan ASTiF UMS kepada karya penulisan daripada penulis-penulis muda yang terdiri daripada semua pelajar tahun akhir program pengkhususan penulisan.

AdiKarya 2025 bertujuan memberi peluang kepada para pelajar untuk menghasilkan karya berdasarkan idea atau penyelidikan bagi menyumbang kepada bidang penulisan yang berkualiti sebelum memulakan latihan industri dan bergraduasi.

Azmah berkata AdiKarya diharap dapat mengembangkan bakat semua pelajar dalam menghasilkan karya yang berkualiti dan terus dapat memberi semangat kepada pelajar lain dalam mengembangkan karya seni demi memperkasakan kehadiran seni khususnya di wilayah Borneo.

’’Saya percaya bahawa usaha-usaha penyelaras, pensyarah, ahli jawatankuasa dan juga semua pelajar yang dinilai sepanjang proses merancang perjalanan AdiKarya ini akan membuahkan hasil yang baik dan manfaat untuk kita semua.

’’Mudah-mudahan, sokongan dan perhatian yang kita tunjukkan bersama dalam majlis ini tidak hanya memberi manfaat kepada para pelajar dan pensyarah, tetapi ia juga memberi kesan yang lebih besar bagi perkembangan industri seni di negeri ini.

’’Semoga program ini menjadi titik permulaan untuk memperkasakan lagi bidang seni dalam mencorak kejayaan yang lebih cemerlang pada masa akan datang,’’ katanya.

Pada majlis penyampaian anugerah AdiKarya 2025, Tesis Terbaik dimenangi oleh Rezwanry Henry dengan tajuk ‘Cerita Rakyat Etnik Sungai Making Kampung Sagoun – Sebuah Pendekatan Strukturalisme’, manakala kategori Cerpen Terbaik dimenangi oleh Mohammad Azmir Misnani dengan kumpulan cerpen bertajuk ‘Kelopak Mawar’.

Anugerah Novel terbaik pula dimenangi oleh Rabiatul Adawiyah Arubin dengan tajuk ‘Di Penghujung Jalan’, manakal Puisi Terbaik dimenangi oleh Salihuddin Asanji dengan tajuk ‘Puisi Sejarah – Bumi Sabah’.

Adikarya 2025 juga turut menganugerahkan Podcast dan e-Karya Terbaik yang dimenangi oleh Muhammad Hisyamuddin Aras dengan tajuk ‘Nikmat Tidak Berpenghujung’.

Hadir sama dalam majlis tersebut Penyelaras Program Adikarya, Dr. Mashor Awang Long; barisan pensyarah ASTiF Profesor. Madya Dr. Sim Chee Cheang, Dr. Nursuhaila Sulaiman, Fatin Najla Omar, Hajijah Lamiri serta penggiat sastera tanah air.