’Kelopak Mawar’ Tulisan Penulis Muda UMS Bakal Diterbit DBP

 

Anak jati Batu Sapi Sandakan, Mohammad Azmir Misnani, melakar kejayaan tersendiri apabila kumpulan cerpen bertajuk ‘Kelopak Mawar’ diangkat sebagai Cerpen Terbaik dalam Program Adikarya 2025, sebuah program penghargaan tertinggi bagi karya projek akhir Penulisan Kreatif di Universiti Malaysia Sabah (UMS).

Kumpulan cerpen ‘Kelopak Mawar’ akan diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sabah, bersama karya-karya terbaik lain dalam Program AdiKarya 2025.

Kumpulan cerpen ini mengetengahkan tema psikologi gelap dan penderitaan batin manusia, digarap dalam gaya simbolik dan sadis berdasarkan kerangka Manual Diagnostik dan Statistik Gangguan Mental (DSM-5) yang biasa digunakan dalam bidang psikiatri.

Azmir, 22, kini sedang mengikuti Program Penulisan Kreatif, Ijazah Sarjana Muda Sastera dengan Kepujian, UMS.

Beliau membesar di Sandakan dan menjadikan pengalaman peribadi sebagai nadi kepada karya-karyanya yang penuh kejujuran, simbolisme, dan perjuangan emosi.

“Saya cuma anak kampung dari Batu Sapi. Saya menulis kerana saya tahu bagaimana rasanya bila suara kita tidak didengar. Cerpen ini untuk mereka yang bergelut dalam senyap. Kalau tulisan ini dapat menemani kesunyian seseorang, itu sudah cukup,” katanya.

Menurut Azmir, proses menyiapkan kumpulan cerpen ‘Kelopak Mawar’ bukanlah mudah, malah mengambil masa hampir enam bulan, termasuk proses penyelidikan gangguan mental berdasarkan DSM-5, penulisan naratif yang mendalam, serta penyuntingan berulang kali.

“Ada hari saya tulis satu perenggan pun tidak habis. Tapi bila datang waktu sunyi yang betul-betul gelap, saya boleh siapkan satu cerpen dalam satu malam.

“Kesemua sepuluh cerpen ini ditulis dalam fasa berbeza – waktu gembira, waktu kecewa, dan waktu saya sendiri tak pasti siapa saya,” jelasnya.

Ketika ditanya tentang siapa sasaran pembacanya, Azmir menjawab dengan jujur bahawa cerpen-cerpen ini bukan untuk semua orang.

“Saya tulis untuk mereka yang pernah rasa hilang arah, yang tak jumpa bahasa untuk menggambarkan sakit sendiri. Kalau ada pembaca yang pernah rasa macam nak putus, atau pernah rasa suara dalam kepala terlalu kuat – kumpulan cerpen ini adalah untuk mereka,” katanya.

Mengenai perancangan akan datang, Azmir bercadang untuk memperluaskan penerokaan dalam bidang penulisan kesihatan mental di peringkat penerbitan nasional dan antarabangsa.

“Saya mahu terus menulis. Saya mahu terbitkan versi buku penuh Kelopak Mawar yang lebih kemas, dengan lukisan dan catatan tambahan. Kalau diberi ruang, saya juga mahu bawa naskhah ini ke sekolah dan institusi, bukan untuk bacaan ringan, tapi sebagai bahan pemahaman jiwa,” tambahnya.

Menurut penyelia beliau, Prof. Madya Dr. Zairul Anuar Md Dawam, cerpen-cerpen Azmir adalah dilihat sebagai rakaman suara batin generasi muda yang berani mengangkat isu kesihatan mental ke dalam ruang sastera tanpa kehilangan nilai estetik atau akademik.

“Setiap karya yang dinobatkan mencerminkan keberanian, ketulenan, dan kebijaksanaan mahasiswa ASTiF dalam mempersembahkan suara masing-masing dari akar budaya hingga ke konflik batin moden.

“Saya harap Kelopak Mawar membuka ruang kepada perbualan lebih jujur tentang kesihatan mental. Kita harus belajar dengar bukan hanya apa yang orang kata, tapi juga apa yang mereka pendam,” ujar Azmir.

Majlis perasmian AdiKarya 2025 yang berlangsung baru-baru ini dirasmikan oleh Sasterawan Negeri Sabah kedua, Azmah Nordin.