UMS Anjur Seminar Martabatkan Industri Penjagaan Negara

 

Universiti Malaysia Sabah (UMS) menganjurkan seminar “Beyond Care: Empowering Caregivers” bagi memartabatkan industri penjagaan negara yang berlangsung di Galeri Majlis, Bangunan Canselori UMS, baru-baru ini.

Ia dianjurkan bersama oleh Pusat Pendidikan Fleksibel UMS dan Jabatan Pembangunan Bakat UMS yang telah dirasmikan oleh Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. Kasim Mansor.

Menurut Kasim, universiti kini bukan hanya menyampaikan ilmu teori, tetapi turut berperanan melahirkan tenaga kerja mahir yang seimbang dari aspek pengetahuan, kemahiran dan nilai insan.

“Kita sedang berhadapan dengan pelbagai cabaran demografi termasuk penuaan penduduk, penyakit kronik, serta keperluan penjagaan untuk golongan warga emas dan OKU.

“Golongan penjaga atau caregiver semakin penting, oleh itu universiti mempunyai peranan strategik untuk memperkasakan mereka,” ujar beliau semasa perasmian tersebut.

Penganjuran seminar ini dilihat sejajar dengan dasar negara seperti Dasar Warga Emas Negara, Dasar Orang Kurang Upaya (OKU) dan dasar kesihatan awam.

Kasim turut memuji peranan Pusat Pendidikan Fleksibel UMS yang proaktif menawarkan program pensijilan dalam bidang penjagaan bagi memperluaskan akses Kepada latihan kemahiran.

“UMS ingin tampil bukan sahaja sebagai pusat pendidikan formal, malah sebagai pusat rujukan komuniti dan inovasi sosial.

“Kita mahu menjadi pemacu kepada pembangunan industri penjagaan negara” katanya lagi.

Cabaran dalam membina ekosistem penjagaan yang lebih mampan dan berdaya saing telah menghimpunkan ahli akademik, pengamal industri penjagaan dalam seminar ini.

Kasim turut menegaskan bahawa ilmu yang ditawarkan di universiti harus menjangkau pasaran kerja semata-mata untuk membentuk masyarakat penyayang serta berempati selaras dengan prinsip Malaysia Madani.

“Saya berharap seminar ini menjadi titik permulaan kepada jaringan lebih meluas dalam membangunkan bidang penjagaan sebagai satu industri kondusif,’’ katanya.