Penganjuran Karnival Kokurikulum Universiti Malaysia Sabah (KARKUMS) yang menjadi acara wajib di setiap penghujung semester pengajian mampu membantu para pelajar meningkatkan potensi diri dengan kemahiran-kemahiran insaniah.
Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. Kasim Hj. Mansor berkata, karnival anjuran Pusat Kokurikulum dan Pemajuan Pelajar (PKPP) itu bukan sekadar acara rutin, tetapi platform penting bagi para pelajar untuk menzahirkan potensi diri melalui pelbagai aktiviti kesukarelawan, kesenian, sukan, kebudayaan dan kepimpinan yang telah dipelajari sepanjang semester.
“Kesemua elemen ini akan membentuk jati diri pelajar UMS yang seimbang dari segi intelek, emosi dan sosial.
“Ini menjadi cerminan kejayaan pelaksanaan Kursus Kokurikulum Berkredit yang menyokong pembangunan insaniah dan sahsiah pelajar secara menyeluruh, selari dengan misi UMS dalam melahirkan graduan holistik, berdaya saing dan bertanggungjawab kepada masyarakat,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan sempena perasmian KARKUMS Semester 2 Sesi 2024/2025 di Dewan Canselor UMS.
Teks ucapan beliau disampaikan oleh Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UMS, Prof. Madya Dr. Raman Noordin.
Beliau menambah, kemahiran insaniah perlu diasah dalam kalangan pelajar bagi membentuk keupayaan untuk berkomunikasi dengan berkesan, bekerjasama dalam kumpulan, serta memimpin dengan penuh tanggungjawab dan empati.
“Kemahiran ini juga membantu pelajar mengurus emosi dan tekanan dengan lebih baik, sekali gus meningkatkan ketahanan diri dalam menghadapi cabaran akademik dan kehidupan harian.
“Kemahiran seperti etika kerja, disiplin dan sikap profesional turut meningkatkan kebolehpasaran pelajar apabila memasuki alam pekerjaan kelak.
“Saya percaya, pelajar yang memiliki kemahiran insaniah cenderung menjadi individu yang lebih seimbang dari segi intelek dan emosi serta berintegriti tinggi dalam tindakan dan keputusan mereka, yang menjadi asas penting dalam pembentukan sahsiah dan kepimpinan yang unggul,” katanya.
Pada majlis tersebut, Raman menyempurnakan pelancaran Kelab Rakan PKPP dan pelancaran Buku ESG yang menggambarkan perjalanan aktiviti Kokurikulum pelajar UMS yang menekankan nilai alam sekitar, sosial dan tadbir urus.
Beliau turut berkesempatan menyaksikan demonstrasi penyelamatan oleh Kor Siswa Sukarelawan Pertahanan Awam, persembahan nyanyian dan tarian tradisional, persembahan Busana Tradisional Borneo, dan pelbagai pameran berkaitan kursus kokurikulum.
Hadir sama pada majlis tersebut Pengarah PKPP, Prof. Madya Dr. Jurry Foo; Dekan Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Datuk Dr. Mohd. Yusof Ibrahim; Pengarah Pusat Pengurusan Penyelidikan, Prof. Dr. Jumat Sulaiman; dan Pengarah KARKUMS, Nisha Natasyah Sofiansah.