Universiti Malaysia Sabah (UMS) menerusi Bahagian Integriti UMS (BIUMS) terus menggiatkan usaha pembudayaan integriti di dalam kampus menerusi kolaborasi strategik bersama kepimpinan pelajar di UMS.
Pengarah BIUMS, Darwis Awang berkata, peranan pelajar universiti tidak terhad sebagai penerima maklumat tetapi juga perlu bertindak sebagai duta kepada perubahan budaya.
“Penglibatan pelajar dalam memperkasa integriti bukan sekadar inisiatif pentadbiran, tetapi satu tanggungjawab kolektif yang akan mencorak masa depan institusi dan negara secara amnya.
“Justeru itu, BIUMS amat mengalu-alukan pemerkasaan peranan pelajar sebagai pemantau sosial dan pemangkin budaya integriti,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis bersama kepimpinan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) dan Angkatan Mahasiswa Anti Rasuah (AMAR) di UMS.
Darwis menambah, kerjasama erat antara kepimpinan pelajar seperti MPP dan AMAR sangat penting untuk memastikan mesej integriti sampai ke akar umbi khususnya dalam kalangan mahasiswa.
“Pertemuan sebegini amat penting demi membudayakan nilai-nilai etika, kejujuran dan akauntabiliti dalam ekosistem kampus.
“Inisiatif ini mampu menyokong usaha terhadap membentuk ekosistem kampus yang bebas rasuah, telus dan beretika – sekali gus menyumbang ke arah pembentukan generasi pemimpin masa depan yang berintegriti tinggi,” ujar beliau.
Darwis turut menyampaikan pelawaan terbuka kepada MPP dan AMAR untuk menjadi rakan strategik dalam advokasi integriti dalam kalangan warga kampus khususnya mahasiswa.
Dalam pada itu, Presiden AMAR, Yuswana Rahmat dalam pertemuan tersebut menyatakan komitmen mereka untuk terus bekerjasama dengan BIUMS dalam menjayakan program kesedaran integriti di peringkat fakulti dan kolej kediaman, manakala Presiden MPP, Yusuf Naim Muhammad pula menyambut baik inisiatif tersebut sebagai satu peluang memperkasa suara mahasiswa terhadap isu ketelusan dan kebertanggungjawaban.
Pada majlis tersebut, wakil kedua-dua kepimpinan pelajar diberi penerangan mengenai BIUMS serta fungsinya sebagai penjuru kawalan utama dalam memastikan pematuhan, pengesanan pelanggaran etika, pengurusan aduan serta pemantauan tadbir urus yang telus dan profesional.
Program diakhiri dengan sesi soal jawab terbuka yang memperlihatkan minat mendalam para pelajar terhadap isu-isu integriti dan cabaran pelaksanaannya dalam konteks institusi pendidikan tinggi.