Fakulti Sains dan Teknologi (FST), Universiti Malaysia Sabah (UMS) telah melaksanakan Program Professor@school Fasa-2, di Sekolah Menegah Kebangsaan (SMK) Petagas, baru-baru ini.
Pengarah U-Science UMS, En. Zawawi Tiyunin berkata, program itu antara lain bertujuan sebagai inisiatif memperkukuh pemindahan ilmu sains kepada pelajar sekolah menengah.
“Selain itu program ini juga memberi pendedahan awal kepada konsep asas sains dan teknologi melalui pendekatan pembelajaran berasaskan pengalaman secara hands-on di dalam makmal.
“Di samping itu, ia juga bagi membantu merangsang minat pelajar terhadap bidang STEM, serta menyemai kesedaran tentang kepentingan ilmu sains dalam kehidupan seharian,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan.
Tambah Zawawi, penganjuran Professor@School itu juga mencerminkan komitmen berterusan UMS dalam memperkukuh ekosistem pendidikan STEM, memperluas jaringan kerjasama bersama komuniti sekolah, serta membina kesedaran awal terhadap sains dan teknologi dalam kalangan generasi muda.
Sementara itu, Pengetua SMK Petagas Safri Jeffri berkata seramai 68 orang pelajar menengah atas SMK Petagas terlibat dalam program tersebut.
“SMK Petagas adalah merupakan antara sekolah yang baharu, oleh itu kita memerlukan lebih banyak program-program STEM seperto Professor@School ini.
"Alhamdulillah, dengan adanya program ini dapatlah kita kongsikan aktiviti ini juga kepada para guru dan pelajar," katanya ketika merasmikan program tersebut di SMK Petagas.
Antara pengisian program adalah ceramah bertajuk “Sains dalam Kehidupan” yang disampaikan oleh Pensyarah bioteknologi dari FST UMS, Profesor Dr. Zaleha A. Aziz serta aktiviti makmal seperti Ekstraksi DNA Pisang, Padankan Nukleotida, dan Perjalanan Biji Benih.
Hadir sama, barisan ahli jawatankuasa pelajar daripada Program Bioteknologi UMS diketuai oleh Humaira Najehah, dan disokong oleh pensyarah Bioteknologi, pembantu makmal, serta guru-guru SMK Petagas.