Naib Canselor Universiti Malaysia Sabah (UMS), Profesor Datuk Dr. Kasim Mansor menyifatkan program Inspirasi Varsiti 2025: Selangkah ke Menara Gading (SEMEGA) sebagai satu pentas pembangunan kepimpinan mahasiswa yang mengangkat nilai empati sosial, komunikasi efektif dan kecekapan pengurusan sebagai ciri utama pemimpin masa depan.
Dalam ucapan perasmiannya sempena Majlis Watikah Pelantikan Jawatankuasa SEMEGA, beliau menyifatkan program tersebut bukan sekadar program tahunan mahasiswa, namun merupakan sebuah latihan kehidupan sebenar yang akan mempersiapkan mereka dalam mendepani cabaran dunia luar.
“Program SEMEGA bukan sekadar program biasa, ia memberi ruang kepada mahasiswa untuk menjadi pemimpin yang berjiwa masyarakat, membina rasa tanggungjawab, serta membentuk nilai kepimpinan yang berteraskan etika,” katanya.
Kasim turut menegaskan bahawa pelajar universiti hari ini tidak lagi dinilai melalui pencapaian akademik semata-mata, tetapi juga melalui kualiti kepimpinan yang holistik meliputi keupayaan komunikasi, empati sosial serta pengurusan organisasi yang menyeluruh.
“Watikah yang disampaikan dalam majlis ini merupakan simbol kepercayaan yang diberikan universiti terhadap kebolehan pelajar dalam memimpin dengan nilai, bekerja dengan etika, dan untuk berfikir melangkaui batasan.
“Ia bukan sekadar persediaan untuk program, tetapi adalah latihan bagi mendepani realiti dunia pekerjaan dan dunia sebenar yang penuh cabaran,” ujarnya.
Majlis anjuran Jabatan Hal Ehwal Akademik dan Perwakilan Pelajar Sesi 2024/2025 itu telah berlangsung di Dewan Auditorium Pascasiswazah UMS, baru-baru ini.
Turut hadir, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UMS, Prof. Madya Dr. Raman Noordin; Pengarah Jabatan Hal Ehwal Pelajar UMS, Azmi Jumat serta Presiden Majlis Perwakilan Pelajar UMS, Yusuf Naim Muhammad Idris Lutfi.