Universiti Malaysia Sabah (UMS) menjadi pusat perhatian dunia pendidikan apabila berjaya menganjurkan dua persidangan akademik berprestij antarabangsa iaitu The 19th International Conference on Knowledge Management In Organization (KMO2025) dan The 13th International Workshop On Learning Technology For Education Challenges (LTEC2025), baru-baru ini.
Penganjuran persidangan itu menghimpunkan penyelidik, ahli akademik dan pengamal industri dari dalam dan luar negara bagi membincangkan secara mendalam tema yang diketengahkan iaitu “AI and Learning Technologies in Education: Innovations and Challenges from Theory to Practice”.
Tema tersebut menumpukan peranan kecerdasan buatan (AI) dalam memperkasa sistem pendidikan global menerusi pendekatan pembelajaran yang lebih bersifat inovatif, inklusif dan selari dengan perkembangan semasa dan transformasi pendidikan masa kini.
Naib Canselor UMS, Profesor Datuk Dr. Kasim Mansor berkata persidangan itu merupakan sebuah medan unggul untuk pertukaran idea dan kerjasama rentas negara yang memberi impak besar kepada masa depan teknologi pendidikan.
“Kita telah menyaksikan pertukaran ilmu, idea, dan inovasi yang luar biasa sepanjang persidangan ini. Usaha semua pihak telah berjaya mewujudkan platform terbaik untuk menyatukan dunia akademik dan industri serta mendorong perbincangan bermakna yang akan mencorak hala tuju pendidikan global.
“Sepanjang persidangan, pelbagai pembentangan kertas kerja, forum panel, bengkel serta ceramah utama telah dianjurkan, mencerminkan kepelbagaian pendekatan dan kepakaran antarabangsa dalam mendepani cabaran pendidikan abad ke-21,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan persidangan tersebut. Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UMS, Profesor Dr. Rossita Shapawi.
Kasim turut menjelaskan bahawa penggabungan AI dalam pendidikan perlu disertai dengan pendekatan beretika, berasakan nilai kemanusiaan dan menjaga akses seksama serta keselamatan data pelajar.
“Sebagai wakil institusi masing-masing, saya percaya setiap peserta akan membawa pulang inspirasi dan semangat baharu untuk memperkukuh sistem pendidikan di tempat mereka,” tambahnya.
Penganjuran KMO dan LTEC 2025 membuktikan komitmen UMS untuk terus berkembang menjadi hab pendidikan serantau yang mendukung inovasi dan kolaborasi global dalam bidang ilmu dan teknologi.
Persidangan tersebut menghimpunkan 78 peserta dari pelbagai negara termasuk Malaysia, Jepun, Taiwan, China, Thailand, Filipina, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Afrika Selatan, serta beberapa negara Eropah seperti Slovakia, Slovenia, Poland, Itali, Finland, dan Colombia.
Hadir sama ialah Profesor Emeritus Dr. Lorna Uden (Pengerusi Persidangan KMO2025 & LTEC2025), Profesor Dr. Derrick I-Hsien Ting (Pengerusi Program KMO 2025), Profesor Dr. Dario Liberona (Pengerusi Program LTEC 2025), Profesor Madya Dr. Fauziah Sulaiman dan Dr. Nurliyana Juhan (Local Co-Chair, KMO/LTEC 2025).
Majlis turut diserikan dengan penyampaian anugerah Best Paper dan Best Presenter, penutupan persidangan, serta upacara penyerahan tuan rumah kepada penganjur tahun hadapan iaitu Slovenia.