UMS Tekankan Prinsip Undang-Undang dalam Menangani Isu Buli di Sekolah

 

Universiti Malaysia Sabah (UMS) melalui pensyarah undang-undang Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Marja Azlima Omar, menggariskan kepentingan dua prinsip undang-undang tort, in loco parentis dan liabiliti ketat (strict liability) yang boleh digunakan dalam menangani kes buli di sekolah.

Prinsip in loco parentis, yang berasal daripada istilah Latin bermaksud “mengambil tempat ibu bapa”, meletakkan tanggungjawab undang-undang kepada guru dan pihak sekolah untuk bertindak demi kepentingan terbaik pelajar, terutamanya dalam aspek keselamatan dan pengawasan.

“Sejak dahulu lagi, pelbagai kes mahkamah telah mengukuhkan prinsip ini. Dalam konteks buli di sekolah, tanggungjawab ini meliputi penyediaan persekitaran yang selamat serta mengambil langkah proaktif bagi mencegah bahaya, kecederaan atau tragedi,” jelas Marja.

Menurut beliau, di bawah undang-undang tort, pelanggaran tanggungjawab menjaga kebajikan (duty of care) boleh dianggap sebagai kecuaian. Namun, bagi kes buli yang berulang atau diketahui sering berlaku di sesebuah sekolah, konsep liabiliti ketat juga boleh dipertimbangkan.

Liabiliti ketat membolehkan sesuatu pihak dipertanggungjawabkan atas kemudaratan yang berlaku tanpa memerlukan bukti kecuaian atau kesalahan. Dalam konteks pendidikan, ini bermakna jika kejadian buli terbukti berlaku secara berleluasa, pihak sekolah boleh dipertanggungjawabkan walaupun telah mengambil langkah penjagaan sewajarnya.

“Secara mudahnya, apabila terbukti buli berlaku di persekitaran sekolah, undang-undang boleh meletakkan tanggungjawab kepada institusi tersebut. Ini mengubah fokus daripada hanya menyalahkan pelaku kepada turut menilai sistem perlindungan dan prosedur keselamatan yang diamalkan,” tambahnya.

Marja turut menegaskan bahawa pendekatan ini selaras dengan Artikel 19 Konvensyen Mengenai Hak Kanak-kanak (CRC) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, yang telah diratifikasi oleh Malaysia.

”Artikel ini mewajibkan kerajaan untuk mengambil langkah-langkah perundangan, pentadbiran, sosial dan pendidikan bagi melindungi kanak-kanak daripada semua bentuk keganasan fizikal atau mental, kecederaan, penderaan, pengabaian atau eksploitasi.

“Komitmen antarabangsa ini memperkukuhkan lagi kewajipan sekolah untuk bertindak secara proaktif dalam memastikan keselamatan kanak-kanak di bawah jagaan mereka,” ujar beliau.

Beliau menegaskan bahawa tujuan penjelasan ini bukan untuk menuduh atau menyalahkan mana-mana sekolah secara khusus, sebaliknya untuk meningkatkan kefahaman masyarakat mengenai kerangka undang-undang dan berasaskan hak yang sedia ada bagi melindungi pelajar.

“Buli tidak boleh diterima atau dianggap sebagai tradisi. Apabila undang-undang mengiktiraf tanggungjawab menjaga kebajikan, konsep seperti liabiliti ketat dan kewajipan di bawah Artikel 19, ia memberi masyarakat alat untuk memastikan sekolah kekal sebagai ruang selamat untuk semua pelajar,” katanya.