UMS Perkukuh Hubungan Antarabangsa Melalui Program Intercultural Networking di Vietnam

 

Universiti Malaysia Sabah (UMS) terus memperkukuh agenda antarabangsa melalui penganjuran Intercultural Networking Expedition to Danang, Vietnam 2025 yang berlangsung dari 1 hingga 6 September lalu.

Program anjuran Kelab Perniagaan Antarabangsa, Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Perakaunan (FPEP) UMS itu antara lain adalah sebagai pendedahan kepada siswa UMS untuk melihat sendiri keadaan sebenar bidang perniagaan di peringkat global seperti di Vietnam.

Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni FPEP, Prof. Madya Dr. Jakaria Dasan dalam satu kenyataan berkata, pengalaman mobiliti luar negara walaupun singkat mampu memberi anjakan minda kepada mahasiswa.

“Pendedahan sebegini dapat memperkasa pelajar menjadi sumber manusia berkapasiti tinggi apabila bergraduat kelak, selain memberi idea berguna sekiranya mereka memilih bidang keusahawanan,” katanya.

Kemuncak program adalah aktiviti bersama Fakulti Perniagaan Antarabangsa Universiti Danang (DUE), yang menyaksikan kerjasama akademik dan persatuan mahasiswa antara kedua-dua universiti diperkukuh.

Menerusi program tersebut mahasiswa dari kedua-dua universiti mengadakan interaksi sebagai usaha pertukaran pengetahuan berkaitan budaya, pemikiran dan amalan mahasiswa antarabangsa, selain peluang untuk merancang kolaborasi jangka panjang dalam penganjuran program antarabangsa.

Dalam pada itu, Dekan FPEP, Prof. Madya Dr. Mohd Rahimie Abdul Karim menyokong penglibatan kelab pelajar dalam program bertaraf antarabangsa yang dilihat bukan sahaja menguji kebolehan mereka mengurus, malah menjadi platform membentuk kematangan diri dan meningkatkan keterlihatan UMS di peringkat global.

Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. Kasim Mansor turut senada sambil menegaskan program seumpama itu mampu meningkatkan kompetensi pelajar.

“Pendekatan ini juga adalah satu strategi berkesan untuk mempromosi kemasukan pelajar antarabangsa ke UMS.

“Penglibatan aktif mahasiswa dalam program global berimpak tinggi memberi nilai tambah kepada pembangunan pelajar serta reputasi UMS di peringkat antarabangsa,” ujar beliau.

Hadir sama pada program tersebut Timbalan Ketua Jabatan Penyelidikan dan Hubungan Antarabangsa DUE, Dr. Bui Huynh Nguyen; Timbalan Dekan Fakulti Perniagaan Antarabangsa DUE, Dr. Pung Nam Phuong; dan pengarah program merangkap presiden Kelab Perniagaan Antarabangsa FPEP, Carl Chan Teck Hong.