Majlis Menandatangani MoU UMS–PTPTN Perkukuh Jalinan Strategik Pendidikan Tinggi

 

Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bagi memperkukuh kerjasama strategik dalam usaha memartabatkan pendidikan tinggi serta membudayakan penabungan dalam kalangan warga kampus.

Majlis yang berlangsung di Hotel Lab, Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Perakaunan (FPEP) UMS itu menyaksikan pemeteraian dokumen oleh Naib Canselor UMS, Profesor Datuk Dr. Kasim Hj. Mansor dan Ketua Eksekutif PTPTN, Ahmad Dasuki Abdul Majid yang disaksikan oleh Pendaftar UMS, Luqman Ridha Anwar dan Ketua Pegawai Operasi PTPTN Mastura Mohd Khalil.

Jelas Kasim kerjasama tersebut bukan sahaja tertumpu kepada aspek pembiayaan pendidikan, tetapi turut merangkumi pembangunan graduan, perkongsian data, promosi maklumat, pembudayaan penabungan serta program tanggungjawab sosial korporat (CSR).

“MoU ini menjadi titik tolak positif bagi hubungan strategik antara UMS dan PTPTN. Saya berharap kerjasama ini akan membawa manfaat bukan sahaja kepada pelajar dan kakitangan UMS, tetapi juga memberi impak kepada komuniti pendidikan negara secara keseluruhan,” katanya.

Sementara itu, menurut Dasuki, UMS merupakan Institusi Pendidikan Tinggi Awam (IPTA) ke-20 yang menjalin kerjasama strategik bersama PTPTN.

“Sehingga 31 Julai 2025, seramai 83,440 pelajar UMS telah menerima pembiayaan pendidikan dengan nilai pinjaman keseluruhan hampir RM1.67 bilion.

“MoU ini menjadi satu landasan penting dalam memperluas akses kepada pendidikan tinggi serta menyantuni komuniti pelajar, selaras dengan peranan PTPTN sebagai peneraju tabung pendidikan tinggi utama negara,” tambahnya

Melalui MoU ini, kedua-dua pihak bersetuju untuk memberi penekanan kepada peningkatan kemahiran dan kebolehpasaran graduan agar lebih bersedia menghadapi keperluan industri semasa.

Di samping itu, kerjasama ini turut memperkukuh hebahan maklumat serta promosi pendidikan yang lebih berkesan dan dapat memberi manfaat kepada pelajar serta komuniti kampus secara menyeluruh.

Pembudayaan Simpan SSPN juga menjadi salah satu agenda penting, dengan pelbagai program dan inisiatif untuk menggalakkan tabungan pendidikan dalam kalangan pelajar dan kakitangan.

Penyelidikan dan pembangunan idea baharu turut menjadi fokus utama bagi meningkatkan kefahaman pelajar mengenai tanggungjawab pembayaran semula pinjaman serta kepentingan pengurusan kewangan.

Antara inisiatif yang disokong termasuk myWaqafPTPTN, hasil kerjasama PTPTN dan Yayasan Waqaf Malaysia (YWM) bagi memperluas sumber dana pembiayaan untuk membantu mahasiswa memerlukan.

Majlis turut menyaksikan penyerahan sumbangan RM14,395.21 kepada pelajar Fakulti Pertanian Lestari UMS, Mohammad Nizamuddin Fransisco Antalan, di bawah Skim Bantuan Penyelesaian Pembiayaan Pendidikan PTPTN.

“Saya sangat bersyukur kerana ini adalah peluang yang tidak saya jangka akan peroleh, dan ia bukan sesuatu yang mudah. Semestinya saya berasa amat gembira dengan bantuan yang diberikan oleh PTPTN ini.

“Kemampuan setiap pelajar adalah berbeza. Saya berharap dengan adanya jalinan strategik ini, lebih ramai anak-anak Sabah yang kurang berkemampuan dapat melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi,” tambahnya.

Dengan termeterainya MoU itu, UMS dan PTPTN bertekad untuk meneruskan lebih banyak inisiatif bersama demi melahirkan modal insan yang bukan sahaja cemerlang dari segi akademik, malah celik kewangan dan berdaya saing di peringkat global.