Sebanyak 65 karya kaligrafi dipamerkan pada Pameran Kaligrafi 2025 yang diadakan di Galeri Azman Hashim Universiti Malaysia Sabah (GAH-UMS) yang bermula secara rasmi semalam.
Daripada jumlah itu, 20 karya adalah sumbangan artis dari China manakala 45 lagi dihasilkan penggiat seni tanah air.
Naib Canselor UMS, Profesor Datuk Dr. Kasim Hj. Mansor berkata pameran itu menjadi platform penting yang bukan sahaja menonjolkan seni tulisan indah, malah berfungsi sebagai jambatan budaya yang menghubungkan Malaysia dan China melalui seni, warisan dan nilai sejagat.
“Pameran ini bukan sekadar mempamerkan tulisan yang cantik, tetapi mencerminkan kebijaksanaan, disiplin dan falsafah seni yang diwarisi sejak ribuan tahun.
“Setiap sapuan berus membawa kisah dan makna, menyatukan minda, emosi dan jiwa pencipta karya,” katanya ketika merasmikan pameran tersebut dalam satu acara di Auditorium Sekafi, GAH-UMS.
Beliau turut memaklumkan Pertandingan Kaligrafi 2025 akan diadakan pada 4 Oktober ini dengan penyertaan lebih 100 peserta dari sekolah rendah, sekolah menengah dan universiti.
“Pertandingan ini bukan sahaja pentas mempamerkan kemahiran teknikal, tetapi juga peluang generasi muda mentafsir warisan ini mengikut kreativiti mereka sendiri,” katanya
Kasim turut menegaskan UMS komited memupuk pendidikan holistik dengan memberi ruang kepada pelajar dan komuniti untuk meneroka identiti, membina empati serta menghubungkan masyarakat merentas budaya
“Melalui usaha Institut Konfusius, kita mengukuhkan peranan universiti sebagai institusi yang meraikan ilmu, kreativiti dan tradisi.
“Seni adalah bahasa sejagat yang membolehkan kita membina jambatan persefahaman antara budaya,” ujar beliau.
Pameran itu dibuka kepada warga UMS dan orang awam, sekali gus memberi peluang kepada pengunjung menghayati keindahan, teknik serta falsafah di sebalik setiap karya.
Hadir sama pada acara perasmian pameran tersebut Timbalan Konsul General China di Kota Kinabalu, Xue Xiaoning dan Pengarah Institut Konfusius, Dr. Chiew Tung Moi.