Universiti Malaysia Sabah (UMS) ingin memaklumkan bahawa semua kursus yang ditawarkan di Universiti Awam ini mempunyai akreditasi daripada Agensi Kelayakan Malaysia (MQA).
Semua program telah melalui penilaian dan proses akreditasi ketat seperti yang telah ditetapkan MQA, termasuk penilaian aspek kebolehpasaran graduan, kajian pasaran, kelayakan pensyarah, dan kesesuaian kurikulum.
Sehubungan dengan itu, UMS menafikan sepenuhnya tanggapan segelintir pihak yang mendakwa wujudnya ‘kursus lelong’ di institusi pengajian tinggi (IPT).
Bagi universiti ini, perkara itu tidak pernah timbul memandangkan program-program pengajian di UMS sentiasa melalui semakan berkala bagi memastikan kandungan kekal relevan dengan perkembangan industri semasa.
Proses ini menjamin bahawa graduan UMS bukan sahaja memenuhi kehendak pasaran kerja domestik, tetapi juga mampu bersaing di peringkat antarabangsa.
Ia diperkukuhkan lagi melalui hasil dapatan kajian kadar purata Kebolehpasaran Graduan (Graduate Employability, GE) UMS bagi lima tahun kebelakangan ini iaitu sebanyak 95.46% yang menyaksikan kadar GE tertinggi pada tahun 2023 dengan 98.5%.
Fakta ini sekali gus menjadi bukti kukuh bahawa graduan daripada universiti ini diterima baik oleh pasaran pekerjaan.
Seiring dengan kenyataan YB Menteri Pendidikan Tinggi serta penegasan MQA, UMS komited untuk terus menyediakan program berkualiti tinggi, melahirkan graduan kompetitif dan berdaya saing, serta menyumbang kepada pembangunan masyarakat dan negara.