Warga Universiti Malaysia Sabah (UMS) menzahirkan solidariti terhadap perjuangan pembebasan negara Palestin menerusi Perhimpunan Free Palestine Alumni UMS yang diadakan di Dewan Canselor, UMS.
Perhimpunan yang menampilkan lima Alumni UMS yang telah menyertai Misi Kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF), iaitu Heliza Helmi, Sul Aidil, Johan Muhammad, Khairul Yunus dan Nadir Al-Nuri dihadiri lebih 500 warga staf dan pelajar UMS, serta orang awam.
Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. Kasim Hj. Mansor dalam ucapannya berkata, kehadiran kelima-lima alumni UMS itu bukan sekadar memeriahkan majlis, tetapi melambangkan keberanian, keikhlasan dan pengorbanan.
“Mereka sanggup meninggalkan keluarga, menempuh risiko keselamatan dan cabaran emosi demi membela maruah dan hak rakyat Palestin.
“Mereka ini adalah kebanggaan UMS, dan semangat mereka mencerminkan roh universiti ini, iaitu berilmu, berjiwa besar, dan berperikemanusiaan.
“Semangat Sumud yang dibawa iaitu ketahanan, ketabahan dan semangat untuk terus teguh walau diuji demi kebenaran dan kemanusiaan, harus menjadi inspirasi kepada seluruh warga UMS,” katanya.
Kasim turut menyeru agar masyarakat terus mendoakan keamanan untuk subur di bumi Palestin.
“Mudah-mudahan, apabila keamanan itu tiba, pelajar-pelajar dari Palestin akan datang ke UMS bukan sebagai pelarian perang, tetapi sebagai duta ilmu, kedamaian dan kemanusiaan.
“Semoga UMS terus menjadi universiti yang bukan sahaja unggul dalam akademik, tetapi juga berjiwa besar dalam memperjuangkan erti kemanusiaan — The Brain of Borneo, with a Heart for Humanity,” ujar beliau.
Acara perhimpunan tersebut turut menampilkan deklamasi puisi oleh Dr. Mashor Awang Long, tayangan montaj khas Palestin, persembahan lagu kemanusiaan oleh Heliza Helmi, serta perkongsian pengalaman menjayakan misi kemanusiaan GSF oleh kelima-lima alumni UMS.
Bacaan doa dan Qunut Nazilah turut mengiringi laungan takbir dan “Free Palestine” sebagai tanda solidariti terhadap perjuangan pembebasan dan usaha kemanusiaan di bumi Gaza, Palestin.


