Universiti Malaysia Sabah (UMS) terus memperkukuh agenda pembangunan keusahawanan pelajar melalui pelaksanaan Program Inkubator Aquapreneur Siswa 2024, satu inisiatif di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) yang diselaraskan oleh UMS melalui Pusat Pembangunan Kerjaya dan Keusahawanan (CEDeC) serta Institut Penyelidikan Marin Borneo (IPMB).
Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. Kasim Hj. Mansor berkata, program tersebut merupakan platform penting dalam membina ekosistem keusahawanan berasaskan inovasi dan kelestarian, selari dengan aspirasi universiti untuk melahirkan graduan yang berdaya cipta dan mampu menjadi peneraju sektor ekonomi baharu.
“Sejak dilancarkan pada Januari 2025, program ini telah melalui tiga fasa utama iaitu bootcamp praktikal aquaponik bersama IPMB, kursus perniagaan dan sesi pitching inovasi pelajar, dan kemuncaknya melalui showcase akhir inovasi Aquapreneur Siswa bagi menilai kumpulan terbaik yang berdaya saing.
“Sebanyak sembilan kumpulan pelajar daripada pelbagai fakulti termasuk Fakulti Pertanian Lestari, Fakulti Sains dan Teknologi, Fakulti Kewangan Antarabangsa Labuan serta Fakulti Komputeran dan Informatik telah mempersembahkan inovasi masing-masing yang meliputi produk, teknologi dan strategi pemasaran berasaskan konsep akuakultur moden,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis penutupan program tersebut yang disempurnakan oleh Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Ts. Mustapha Sakmud di Taman Kemajuan Kampung Likas, baru-baru ini.
Menurut beliau, pendekatan cross-discipline yang diterapkan mencerminkan identiti UMS sebagai “The Brain of Borneo”, dengan menggabungkan kekuatan akademik, penyelidikan dan keusahawanan bagi menangani cabaran sebenar masyarakat.
“Inisiatif ini seiring dengan usaha UMS menyokong pembangunan keusahawanan di Sabah, yang mempunyai potensi besar dalam sektor perikanan dan akuakultur sebagai sebahagian daripada ekonomi biru negeri.
“Melalui pelaksanaan pelbagai aktiviti keusahawanan di peringkat nasional dan antarabangsa, UMS kini mempunyai lebih 3,500 pelajar aktif berniaga semasa pengajian, manakala 17.1 peratus graduan memilih menjadi usahawan selepas tamat pengajian pada 2024,” katanya.
Beliau menambah pencapaian itu menunjukkan UMS bukan sahaja melahirkan graduan bersedia kerja (market-ready graduates), tetapi juga pencipta peluang pekerjaan (job creators) yang menyumbang kepada pembangunan ekonomi negeri dan negara secara lestari.
“Semoga usaha ini menjadi langkah penting dalam melahirkan lebih ramai usahawan inovatif berasaskan sumber semula jadi yang mampu menyumbang kepada ekonomi negeri dan negara,” ujar beliau.
Pada majlis itu, Mustapha dan Kasim turut menyaksikan pertukaran dokumen Surat Niat antara UMS dengan Bank Islam Malaysia Berhad, Pertubuhan Peruncit, Pembekal dan Peniaga Negeri Sabah (PERPENS) dan Sabah Creative Economy and Innovation Centre (SCENIC), serta menyemprunakan penyampaian Hadiah Pemenang Inkubator Aquapreneur Siswa KPT 2024 kepada lima kumpulan pemenang.


