UMS, Universitas Negeri Malang, Indonesia Anjur Forum Rangka Penyelidikan Bersama Mengenai Acar Bawang Putih Hijau

 

Universiti Malaysia Sabah (UMS) bersama Universitas Negeri Malang, Indonesia telah menganjurkan satu Forum Group Discussion (FGD) bagi projek penyelidikan bersama mengenai acar bawang putih hijau yang berpotensi dalam meningkatkan kesihatan dan mencegah penyakit.

FGD yang membincangkan tajuk penyelidikan “Kajian Kestabilan Sebatian Bioaktif dalam Acar Bawang Putih Hijau yang Digoreng Vakum bagi Mengurangkan Risiko Sindrom Metabolik” itu berlangsung di Universitas Negeri Malang baru-baru ini dan dihadiri oleh penyelidik dari kedua-dua universiti.

Antara penyelidik yang terlibat Prof. Dr. Titi Mutiara Kiranawati, Prof. Dra. Nunung Suryati, dan Cassandra Permata Nusa dari Universitas Negeri Malang, manakala UMS diwakili Timbalan Dekan (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) Fakulti Sains Makanan dan Pemakanan, Dr. Jumardi Roslan.

Menurut Jumardi, perbincangan tersebut memberi tumpuan kepada perumusan metodologi penyelidikan, strategi analisis, serta kajian berkaitan kestabilan sebatian bioaktif dalam Acar Bawang Putih Hijau yang diproses menggunakan kaedah goreng vakum.

“Antara topik utama yang dibincangkan termasuk peranan sebatian bioaktif dalam meningkatkan kesihatan, khususnya dalam pencegahan sindrom metabolik seperti obesiti, hipertensi, dan diabetes mellitus.

“Selain aspek saintifik, perbincangan turut menekankan peluang untuk penerbitan bersama di peringkat antarabangsa, pemerkasaan usaha komersialisasi produk, serta pembentukan jalinan kerjasama jangka panjang dalam bidang penyelidikan makanan dan pemakanan.

“Inisiatif ini dijangka dapat menghasilkan inovasi makanan fungsian berasaskan bahan tempatan yang bukan sahaja mempunyai nilai nutrisi tinggi, malah memberi manfaat kepada kesihatan masyarakat,” katanya dalam satu kenyataan.

Tambah beliau, usaha penyelidikan tersebut juga sejajar dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) Ke-3 iaitu Kesihatan Baik dan Kesejahteraan, yang menekankan usaha meningkatkan tahap kesihatan serta kualiti hidup untuk semua.

“Melalui pembangunan makanan fungsian daripada sumber tempatan, kajian ini bertujuan menyumbang kepada pencegahan penyakit tidak berjangkit serta menyokong gaya hidup sihat yang lestari.

“Hasil yang diharapkan merangkumi penerbitan saintifik di peringkat antarabangsa, penghasilan prototaip makanan inovatif, serta sumbangan praktikal dalam meningkatkan kualiti hidup melalui pilihan makanan yang selamat, berkhasiat dan berfungsi,” katanya.

Ujarnya lagi, kerjasama strategik antara kedua-dua universiti bukan sahaja memperkukuh jaringan akademik serantau, malah membuka peluang kepada pelajar pascasiswazah untuk turut terlibat dalam aktiviti penyelidikan rentas negara.