Universiti Malaysia Sabah (UMS) mencapai satu lagi kejayaan membanggakan apabila 15 saintis universiti itu tersenarai dalam kelompok dua peratus teratas Saintis Terbaik Dunia 2025.
Pengiktirafan tersebut mengukuhkan reputasi UMS sebagai institusi penyelidikan yang semakin berpengaruh di peringkat antarabangsa berdasarkan analisis sitasi global oleh Universiti Stanford dengan kerjasama Elsevier.
Pencapaian itu diumumkan pada Majlis Anugerah Penyelidikan UMS (APUMS) 2025 yang dirasmikan oleh Tuan Yang Terutama Tun Datuk Seri Panglima (Dr.) Musa Haji Aman, Yang di-Pertua Negeri Sabah merangkap Canselor UMS, baru-baru ini.
Naib Canselor UMS, Profesor Datuk Dr. Kasim Hj. Mansor berkata dengan tersenarainya 15 saintis itu, ia membuktikan bahawa hasil penyelidikan UMS bukan sahaja dirujuk secara meluas, tetapi turut memberi impak global merentas pelbagai bidang.
“Kedudukan ini mengesahkan bahawa penyelidikan UMS dihormati dan diiktiraf oleh komuniti akademik antarabangsa. Ia adalah satu pencapaian bersejarah bagi universiti.
“Selain kejayaan tersebut, UMS turut mengekalkan penarafan lima bintang MyRA dengan skor 92 peratus bagi tahun 2024 dan mencatat perolehan dana penyelidikan sebanyak RM69.18 juta melalui 1,029 geran sejak 2022, termasuk 77.6 peratus disumbangkan melalui geran luar.
“Pencapaian ini mencerminkan keyakinan agensi pembiayaan terhadap keupayaan penyelidik UMS,” katanya.
UMS juga terus memperkukuh ekosistem penyelidikan dan inovasi melalui pengiktirafan Institut Penyelidikan Marin Borneo (IPMB) sebagai Pusat Kecemerlangan Tinggi (HiCoE) pertama di Borneo, penubuhan tiga syarikat start-up penyelidikan di bawah Dasar Start-Up & Spin-Off (SUSO), serta pembangunan 30 Makmal Hidup (Living Labs) yang menghubungkan penyelidikan berimpak dengan komuniti di seluruh Sabah.
APUMS 2025 menobatkan beberapa penerima anugerah utama, antaranya Anugerah Khas Naib Canselor yang diberikan kepada Timbalan Naib Cannselor (Akademik dan Antarabangsa) UMS, Profesor Dr. Rossita Shapawi atas sumbangan cemerlang dalam kepimpinan dan penyelidikan strategik.
UMS turut mengumumkan pencapaian MyRA enam bintang yang diraih oleh dua institusi penyelidikan universiti, iaitu IPMB dan Institut Penyelidikan Bioteknologi (IPB).
Dua kategori utama turut meraikan tokoh penyelidik berprestasi tinggi, iaitu Anugerah Penyelidik Cemerlang Penyelidik Malim (Kategori Sains dan Teknologi) yang diberikan kepada Profesor Dr. Rayner Alfred, serta Anugerah Penyelidik Cemerlang Penyelidik Malim (Kategori Sains Sosial) yang dianugerahkan kepada Profesor Dr. Rasid Mail.


