Seramai 30 pelajar Universiti Malaysia Sabah (UMS) dilantik sebagai Duta Pelajar menerusi Program CelcomDigi X UMS Student Ambassador: S.A.F.E Internet Awareness bagi meningkatkan kesedaran keselamatan internet, etika penggunaan teknologi serta pencegahan penipuan digital dalam kalangan komuniti setempat.
Program hasil kolaborasi strategik antara CelcomDigi Berhad dan Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Perakaunan (FPEP) UMS itu turut melibatkan Persatuan Mahasiswa Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Perakaunan (PMPEP), selaras usaha memperkukuh jaringan universiti–industri–komuniti.
Dekan FPEP UMS, Prof. Madya Dr. Mohd. Rahimie Abd. Karim berkata, penglibatan pihak industri seperti CelcomDigi merupakan satu usaha murni berteraskan tanggungjawab sosial korporat dalam membentuk masyarakat yang harmoni, maju dan stabil, khususnya melalui pemerkasaan literasi digital serta keselamatan internet.
“Program ini dirangka secara sistematik dan tersusun bagi memastikan impak yang signifikan kepada kumpulan sasar, terutama dalam mendepani ancaman keselamatan siber dan penipuan digital yang semakin membimbangkan seiring perkembangan teknologi masa kini.
“Para pelajar yang dilantik akan menerima latihan menggunakan modul khas yang disediakan oleh CelcomDigi merangkumi aspek keselamatan internet, penggunaan teknologi secara beretika serta langkah-langkah pencegahan scam,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian program tersebut di The Hotelab, FPEP UMS baru-baru ini.
Menurut Rahimie, Duta Pelajar yang terpilih seterusnya akan terlibat secara langsung dalam pelaksanaan program khidmat komuniti secara berfasa melibatkan kampung serta sekolah rendah dan menengah di sekitar UMS.
Tambahnya, pendekatan tersebut bukan sahaja membolehkan pemindahan ilmu berlaku secara berkesan, malah melahirkan pelajar yang berpengetahuan, berkeyakinan dan berkeupayaan berperanan sebagai ejen penyebaran kesedaran digital kepada rakan sebaya serta komuniti setempat.
“Ini selaras dengan agenda Sustainable Development Goals (SDG), khususnya dalam aspek pendidikan berkualiti, pembinaan komuniti mampan serta perkongsian strategik pelbagai agensi.
“Dari sudut pelajar, program ini menjadi platform pembangunan diri melalui peningkatan kemahiran insaniah seperti komunikasi, kepimpinan dan kerja berpasukan, di samping memupuk kesedaran terhadap tanggungjawab sosial,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada CelcomDigi atas komitmen menjayakan program tersebut dan menyifatkannya sebagai selari dengan aspirasi UMS “The Brain of Borneo”.
“Adalah diharapkan segala ilmu, pengalaman dan nilai yang diperoleh melalui program ini dapat dimanfaatkan sepenuhnya serta diaplikasikan dalam kehidupan seharian, sekali gus menjadi pemangkin kepada pembentukan masyarakat digital yang lebih selamat, beretika dan bertanggungjawab,” ujar beliau.
Pada majlis tersebut, Rahimie turut menyampaikan watikah pelantikan Duta Pelajar kepada wakil pelajar, Azura selaku pengarah program tersebut.
Turut hadir pada majlis itu Ketua HRBP Komersial CelcomDigi, Samuel Danker; Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni FPEP, Prof. Madya Dr. Jakaria Dasan; Presiden Majlis Perwakilan Pelajar UMS, Allen Paul Justinus Situ; dan Presiden Persatuan Mahasiswa FPEP, Aviell Sevone Ah Kiong.


