Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan Universitas Borneo Tarakan (UBT), Indonesia memeterai Memorandum Perjanjian (MoA) bagi memperkukuh kerjasama institusi dalam bidang mobiliti akademik, penyelidikan kolaboratif serta pertukaran pelajar dan staf, selari usaha memperkasa hubungan rentas sempadan Sabah–Kalimantan.
Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. Kasim Hj. Mansor berkata, pemeteraian MoA tersebut merupakan satu langkah konkrit ke arah memperkukuh perkongsian strategik kedua-dua institusi, khususnya dalam penganjuran seminar bersama, inisiatif berasaskan komuniti dan pembangunan ilmu yang mampan.
Menurut beliau, kerjasama berkenaan turut mencerminkan visi bersama UMS dan Universitas Borneo Tarakan untuk memajukan pengetahuan, memupuk inovasi serta menyumbang secara bermakna kepada pembangunan lestari di rantau Borneo.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada 12th International Mobility Seminar bertemakan Regional Perspectives on Sabah–Kalimantan Cross-Border Relations anjuran Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Perakaunan UMS dan UBT di Mini Auditorium Fakulti Pendidikan dan Pengajian Sukan UMS.
Mengulas lanjut, Kasim berkata Sabah dan Kalimantan bukan sahaja berkongsi kedudukan geografi yang berdekatan, malah mempunyai hubungan sejarah, budaya dan sosioekonomi yang erat.
“Justeru itu institusi pendidikan tinggi memikul tanggungjawab untuk menyumbang idea dan penyelesaian bagi menyokong pembangunan serantau yang mampan.
“Platform seperti seminar ini membolehkan pertukaran pandangan, perbincangan perbandingan serta pelaksanaan penyelidikan kolaboratif yang merentas sempadan negara.
“Siri Seminar Mobiliti Antarabangsa yang kini memasuki edisi ke-12 ini telah berjaya menghimpunkan lebih 1,500 peserta sejak diperkenalkan, sekali gus mencerminkan komitmen berterusan UMS terhadap mobiliti akademik, pengantarabangsaan dan keterlibatan global,” katanya.
Menurutnya, melalui pelbagai program mobiliti dan inisiatif bersama, UMS terus memperkukuh peranannya sebagai universiti serantau yang berhubung rapat dengan ASEAN serta komuniti akademik antarabangsa.
Pada majlis itu, Kasim mewakili UMS menandatangani dokumen MoA tersebut, manakala UBT diwakili Dekan Fakulti Ekonomi UBT, Dr. E. Mohamad Nur Utomo yang mewakili Rektor UBT, Prof. Dr. Yahya Ahmad Zain.
Beliau turut mengalu-alukan kehadiran delegasi UBT seramai 81 orang yang terdiri daripada 13 Dekan dan 68 pelajar.
Hadir sama pada majlis tersebut Pendaftar UMS, Luqman Ridha Anwar dan Dekan FPEP UMS, Prof. Madya Dr. Mohd. Rahimie Abdul Karim.


