Kokurikulum UMS Platform Memperteguh Kemahiran Insaniah

karnival kokumISNIN, 25 MEI - Hasrat Universiti Malaysia Sabah (UMS) mengukuhkan kemahiran insaniah siswa siswi menerusi program dan aktiviti yang menerapkan elemen kemasyarakatan selari dengan saranan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) terbukti memberikan faedah jangka panjang.

Penganjuran Mini Karnival Kokurikulum semester 2, sesi 2014/2015 yang dianjurkan Pusat Kemajuan dan Pemajuan Pelajar (PKPP) UMS merupakan acara kemuncak bagi siswa siswi yang mengikuti kursus kokurikulum selain daripada menjadi platform penilaian akhir setiap kursus yang diambil.

Menurut Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. Mohd Harun Abdullah, pengurusan tertinggi universiti sentiasa menyokong aktiviti yang melibatkan siswa siswi kerana yakin usaha ini dapat menyumbang kepada pembentukan mahasiswa yang holistik, bukan sahaja hebat dari segi akademik tetapi juga hebat dari segi kemahiran insaniahnya.

“Program seperti ini membolehkan pelajar mengaplikasikan nilai seperti kemahiran bekerja berpasukan, berkomunikasi secara berkesan, menyelesaikan masalah dan banyak lagi,” katanya di hadapan kira-kira 600 siswa siswi UMS. Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa, Prof. Dr. D Kamarudin D Mudin di Laman Graduan, Dewan Canselor UMS.

Beliau turut berbangga dengan komitmen dan usaha bersungguh-sungguh PKPP memenuhi hasrat universiti dalam melahirkan siswa siswi yang holistik dan cemerlang melalui pendidikan seimbang dan mampu menyumbang kepada pembangunan masyarakat dan negara.

“Modal insan yang kita harapkan seharusnya memiliki jati diri yang positif, mempunyai prinsip hidup yang jelas, mematuhi peraturan dan disiplin, rajin berusaha serta bertanggungjawab,” katanya lagi.

Selain itu, beliau turut menegaskan yang menerusi program dan aktiviti kokurikulum juga dapat melahirkan generasi kini dan generasi akan datang yang cemerlang dalam aspek kognitif, efektif iaitu bersifat kerohanian dan emosi serta psikomotor.

“Modal insan yang cemerlang inilah yang akan menerajui kepimpinan negara yang lebih progresif dan maju. Lantaran itu, diharapkan kehidupan masyarakat kita akan lebih selesa, harmoni dan aman makmur.

“Nasihat saya agar siswa siswi dapat menyeimbangkan ilmu dan kemahiran dunia serta akhirat baik dari segi intelek, kerohanian, akhlak, budi pekerti serta tatalaku sejajar dengan harapan negara melalui pembinaan modal insan yang berketerampilan, seimbang dan harmonis,” katanya.

Pada Mini Karnival tersebut, beberapa acara riadah, aktiviti dan persembahan dianjurkan seperti ekspedisi berbasikal, senamrobik, persembahan tarian tradisional dan moden, persembahan alat muzik, nyanyian, pertunjukan khas UMS Sejati Paramedik, pidato serta pameran.

Untuk rekod, PKPP, UMS menawarkan sebanyak 40 kursus kokurikulum pada semester ini yang melibatkan seramai kira-kira 900 pelajar. –CD


Sumber Foto: Pusat Kemajuan dan Pemajuan Pelajar
Bahagian Media dan Citra

IKUTI KAMI @

CAPAIAN PANTAS

  •  Direktori Kakitangan
  • Direktori Kepakaran
  • Portal Kakitangan
  •  Portal Pelajar
  •  SmartUMS
  •  E-Respon
  •  VirtualTour@UMS
  •  UMS Institutional Repository
  •  Tempahan Ruang

PAUTAN LAIN

  •  Peta UMS
  • Data Terbuka
  • Portal Kerajaan Negeri Sabah
  • Kementerian Pengajian Tinggi (KPT)
  • MAMPU
  • Portal Kerajaan Malaysia (MyGov)
  • UMS Investment Holdings Sdn. Bhd.