Jaciah Bantu Sabah Muncul Naib Juara Piala Tun Sharifah

Oleh Salbinous Saribun

Jaciah Bola Naib JuaraRABU, 12 OGOS – Staf Bahagian Keselamatan Universiti Malaysia Sabah (UMS), Jaciah Jumilis (gambar-berdiri lima dari kanan) menjadi watak penting membawa Skuad Bola Sepak Wanita Sabah muncul Naib Juara pada kejohanan Piala Tun Sharifah Rodziah 2015.

Kejohanan yang berlangsung selama tujuh hari di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menyaksikan kehebatan beliau mengemudi rakan-rakan sepasukan lain apabila diberi kepercayaan selaku kapten pasukan.

Hasilnya, pada perlawanan peringkat kumpulan, pasukan Sabah membaham Negeri Sembilan dengan 16 jaringan tanpa balas, membenam Pulau Pinang 7-0, menewaskan Sarawak 3-0  sebelum mengalahkan Selangor 5-0, untuk Sabah selesa berada di kedudukan teratas.

Jaciah sekali lagi beraksi cemerlang pada perlawanan separuh akhir apabila bersama-sama rakan sepasukan lain mengawal asakan pasukan Polis Di-Raja Malaysia (PDRM) yang terlebih dahulu menghasilkan jaringan sebelum Sabah menyamakan kedudukan 1-1.

PDRM dilihat hampir mengesahkan tempat ke final apabila berjaya menyumbat satu lagi gol sebelum pasukan Sabah sekali lagi menyamakan kedudukan menjadikan keputusan seri 2-2 sehingga tamat perlawanan.

Pada penentuan sepakan penalti, tuah lebih memihak kepada Sabah apabila menang 4-2 sekali gus bertemu pasukan Persatuan Bola Sepak India Malaysia (MIFA) di peringkat akhir.

Pada perlawanan itu, Jaciah bersama pemain-pemain lain terpaksa berhempas pulas dalam permainan yang cukup sengit umpama buku bertemu ruas.

Kedua-dua pasukan sering berbalas serangan dan akhirnya kedudukan terikat  dengan jaringan 1-1 sehingga tiupan wisel penamat.

Namun, nasib tidak memihak kepada pasukan Sabah kali ini apabila tewas pada penentuan sepakan penalti.

Jaciah ketika dihubungi media UMS kemudiannya melahirkan rasa gembira atas pencapaian itu dan berterima kasih kepada pihak universiti atas sokongan yang sentiasa diberikan.

“Selain berusaha untuk terus berkhidmat dengan baik sebagai anggota keselamatan UMS, saya juga berazam untuk terus mengharumkan nama  universiti di peringkat nasional dan persada antarabangsa,” ujarnya yang juga pemain skuad bola sepak wanita negara.

Bahagian Media dan Citra

IKUTI KAMI @

CAPAIAN PANTAS

  •  Direktori Kakitangan
  • Direktori Kepakaran
  • Portal Kakitangan
  •  Portal Pelajar
  •  SmartUMS
  •  E-Respon
  •  VirtualTour@UMS
  •  UMS Institutional Repository
  •  Tempahan Ruang

PAUTAN LAIN

  •  Peta UMS
  • Data Terbuka
  • Portal Kerajaan Negeri Sabah
  • Kementerian Pengajian Tinggi (KPT)
  • MAMPU
  • Portal Kerajaan Malaysia (MyGov)
  • UMS Investment Holdings Sdn. Bhd.