Oleh Salbinous Saribun

JUMAAT, 16 OKTOBER – Mohd Taufik Nordin dilantik sebagai Presiden Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Universiti Malaysia Sabah (UMS) sesi 2015/2016 setelah tersenarai sebagai salah seorang pemenang Kerusi Umum pada Pemilihan MPP yang diumumkan malam tadi.
Pelajar Fakulti Psikologi dan Pendidikan (FPP) itu dilantik sebagai peneraju kerusi pimpinan mahasiswa UMS ketika pembentukan kabinet diadakan sebaik proses pengiraan undi selesai.
Taufik yang berasal dari Kunak, Sabah ketika ditemui kemudiannya berkata, sebagai peneraju MPP yang baharu, beliau bukan sahaja akan berfokuskan kepada tanggungjawab menjaga kebajikan mahasiswa semata-mata.
“Seperti yang saya perjuangkan dalam manifesto, saya juga akan memfokuskan kepada beberapa perkara termasuk aspek meningkatkan kemahiran insaniah melalui pelbagai program selaras dengan motto UMS, Bertekad Cemerlang,” katanya.
Beliau yang meraih sebanyak 2,508 undi, menerima watikah lantikan daripada Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. Mohd Harun Abdullah dalam satu majlis pagi tadi.
Barisan kepimpinan MPP baharu yang turut menerima watikah ialah Timbalan Presiden, Asmah Kadir; Setiausaha Agung, Sitti Rahina Ibrahim; Setiausaha Kehormat, Mas Adibah Abdul Raffar dan Bendahari MPP, Jessica Chin Yen Yen.
Penyampaian watikah itu juga menyaksikan Amos Peter dan Muhammad Fahmi Ahmad masing-masing dilantik sebagai Naib Presiden MPP untuk UMS Kampus Antarabangsa Labuan (KAL) dan UMS Kampus Cawangan Sandakan.
Foto: Musaab Umair