
Naib Canselor UMS Prof. Datuk Dr. Mohd. Harun Abdullah berkata graduan yang bakal dirai itu adalah tambahan kepada jumlah alumni UMS yang kini mencecah 55,787 orang.
“Populasi ini, kian membesar dan merupakan elemen yang sangat signifikan kepada UMS yang boleh berperanan sebagai duta dan juga agen kecemerlangan, yang akan menyebar dan memperkasa nama baik alma mater UMS dan juga bandar raya Kota Kinabalu.
“Graduan-graduan inilah akan membentuk barisan belia yang menjadi tonggak harapan negara, yang akan menerajui kepimpinan masa depan untuk mencapai visi dan wawasan negara,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan pada Majlis Perarakan Berjubah Graduan UMS di Perkarangan Bangunan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK).
Ujar Datuk Harun, persediaan dari segi intelektual yang diperoleh sepanjang pengajian di universiti perlu digunakan sebaiknya oleh para graduan demi menjana keutuhan dan keampuhan seluruh aspek pembangunan negara, sama ada dari sudut ekonomi, politik mahupun sosial.
“Segala pengetahuan dan pengalaman harus dijadikan sebagai landasan dan pedoman dalam merealisasikan wawasan negara seiring dengan tanggungjawab kita dalam mendukung moto universiti ‘Bertekad Cemerlang’.
“Pada zaman kompetitif dimana persaingan menjadi semakin sengit, kita harus sentiasa peka dan bersikap responsif dengan perubahan semasa agar tidak jauh ketinggalan,” tambahnya lagi.
Pada majlis itu, setiap wakil daripada 65 program akademik yang ditawarkan di UMS masing-masing menerima Kunci daripada Mayor Bandaraya, Datuk Abidin Madingkir sebagai simbolik penerimaan mereka sebagai sebahagian daripada warga bandar raya Kota Kinabalu.