Penerbit UMS Rangkul 3 Anugerah di Anugerah Buku Negara 2015

ISNIN, 30 NOVEMBER - Penerbit UMS sekali lagi mengharumkan nama Universiti Malaysia Sabah (UMS) di Anugerah Buku Negara (ABN) 2015 apabila merangkul 3 anugerah di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur baru-baru ini.

Penerbit UMS telah dipilih menerima salah satu daripada anugerah utama iaitu Anugerah Perdana Penerbit Terbaik (Agensi Kerajaan).

Dua anugerah lagi yang dimenangi adalah kategori Buku Umum Terbaik (Kategori Peradaban) melalui buku berjudul, “Sejarah Amalan Pengurusan Kewangan dan Perkembangan Praktik Perakaunan di Borneo Utara 1881-1963” yang ditulis oleh Prof. Dr. Rasid Mail, Prof. Madya Dr. Raman Nordin dan Md. Saffie Abdul Rahim.  

Anugerah buku terbaik kedua adalah melalui Buku Umum Terbaik (Kategori Khazanah Warisan) yang berjudul, “Kimanis: Negeri Tua, Tanah Keramat” karya suntingan Baszley Bee Ag. Basrah, Eko Prayitno Joko dan Zainuddin Baco.

Pemilihan ini telah dibuat oleh Panel Penilai Profesional ABN 2015 yang telah dipengerusikan oleh Profesor Datuk Wira Dr. Abdul Latif Abu Bakar, yang juga merupakan Ketua 1, GAPENA.

Kriteria yang telah diambil kira dalam pemilihan ini antara lainnya termasuk kualiti penerbitan dan jumlah terbitan.

Anugerah Utama telah disampaikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan anugerah bagi kategori lain disampaikan oleh Menteri Pendidikan Malaysia, Dato’ Seri Mahdzir Khalid. Pengarah Penerbit UMS, Prof. Madya Dr Asmady telah mewakili UMS untuk menerima anugerah tersebut.

Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. Mohd Harun Abdullah berkata, beliau sangat teruja dan berbangga dengan pencapaian cemerlang yang diraih Penerbit UMS pada tahun ini.

“Tahun lalu menang dua anugerah dan tahun ini menang tiga anugerah. Ini membuktikan bahawa UMS menghasilkan bahan-bahan penulisan yang berkualiti tinggi untuk rujukan dan bahan bacaan masyarakat,” kata beliau menerusi laman Facebook yang dimuat naik semasa majlis berlangsung.

“3 trofi yang dimenangi sempena Anugerah Buku Negara 2015 telah menambah koleksi pencapaian UMS dalam bidang penerbitan dan penulisan,” katanya lagi.

ABN 2015 dianjurkan oleh Yayasan Pembangunan Buku Negara, sebuah organisasi bukan kerajaan (NGO) yang ditubuhkan selaras dengan hasrat kerajaan untuk mengembangkan lagi budaya membaca supaya seluruh masyarakat Malaysia sentiasa mendepani maklumat, ilmu dan pengetahuan.

Penganjuran ABN terbuka kepada semua karyawan, penerbit dan penggiat industri buku untuk diberi pengiktirafan dan insentif sewajarnya.

Untuk tahun 2015, lebih dari 30 kategori telah dipertandingkan.

Majlis ABN ini juga turut diadakan bersempena dengan Ekspo Buku Malaysia yang berlangsung pada 25-29 November 2015 di PWTC yang dianjurkan oleh Yayasan Pembangunan Buku Negara dengan kerjasama Universiti Kuala Lumpur, GAPENA, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan Perpustakaan Negara Malaysia. -CD

Sumber: Anicius Justin Adeh, Pegawai Penerbitan, Penerbit UMS

IKUTI KAMI @

CAPAIAN PANTAS

  •  Direktori Kakitangan
  • Direktori Kepakaran
  • Portal Kakitangan
  •  Portal Pelajar
  •  SmartUMS
  •  E-Respon
  •  VirtualTour@UMS
  •  UMS Institutional Repository
  •  Tempahan Ruang

PAUTAN LAIN

  •  Peta UMS
  • Data Terbuka
  • Portal Kerajaan Negeri Sabah
  • Kementerian Pengajian Tinggi (KPT)
  • MAMPU
  • Portal Kerajaan Malaysia (MyGov)
  • UMS Investment Holdings Sdn. Bhd.