UMS Menang 5 Anugerah Filem

RABU, 02 DISEMBER - Universiti Malaysia Sabah (UMS) melalui Program Teknologi Seni Visual (PTSV), Fakulti Kemanusiaan, Seni dan Warisan (FKSW) berjaya memenangi 5 buah anugerah filem dalam penyertaan sulung mereka di Festival Kandungan Kreatif Pelajar Malaysia kali ke-12 yang dianjurkan Universiti Malaysia Kelantan (UMK) dan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) pada 28 hb November 2015 baru-baru ini.

Penyertaan melalui dua buah filem iaitu filem pendek bertajuk Slayer dan dokumentari bertajuk Angkiluang yang kedua-duanya diarahkan oleh Mohd Syaiful Reezal Harith ketika berada di tahun akhir pengajian itu ternyata menghasilkan sesuatu yang bermakna apabila kedua-dua buah filem tersebut berjaya merangkul hadiah utama dan hadiah sampingan yang dipertandingkan.

Filem Slayer yang bergenre fiksyen sains dengan pembikinannya menggunakan teknik janaan komputer ternyata telah menarik minat para juri yang mengadili filem tersebut apabila berjaya menggondol empat buah anugerah iaitu skrip terbaik, pelakon terbaik, grafik terbaik dan anugerah Inovasi Sematik & Simbiosis.

Manakala dokumentari Angkiluang yang memaparkan pahlawan Murut dan mempunyai kelainan dari aspek struktur penceritaan yang menggabungkan dokumentari dan drama telah menggondol hadiah utama sebagai dokumentari terbaik keseluruhan.

Menurut Syaiful, beliau melahirkan kesyukuran kerana kedua-dua buah karyanya berjaya mendapat perhatian daripada juri yang menyaksikan karyanya menggondol beberapa hadiah utama.

“Kedua-dua filem ini dihasilkan dengan semangat untuk menghasilkan karya filem yang berbeza dan diterima oleh audiens dengan mennjadikan teknik penggunaan imej janaan komputer dan sumber cerita rakyat negeri Sabah sebagai keistimewaan berbanding dengan filem-filem lain.”

“Sebelum ini, filem Slayer pernah memenangi hadiah Kesan Visual Terbaik di Mini Filem Festival ke-11 anjuran Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) dan kemenangan di festival ini bagi kategori grafik terbaik membuktikan bahawa filem yang bercirikan janaan komputer mempunyai keistimewaan tersendiri,” katanya ketika dihubungi.

Menceritakan penghasilan kedua-dua buah filem tersebut, Syaiful memberitahu bahawa cabaran paling utama adalah bajet yang menyebabkan beliau harus berfikir lebih kreatif dan banyak melakukan proses pembikinan terutama proses pascaproduksi seperti penyuntingan dan kesan khas secara bersendirian.

Malah katanya, bantuan rakan-rakan sepengajian yang bersama-sama turut membantu menjadi krew produksi telah mengatasi cabaran kekurangan bajet yang dihadapi.

Filem pendek Slayer merupakan projek kumpulan yang dihasilkan dengan kos RM2,000.00 banyak menggunakan elemen grafik dan janaan komputer yang dihasilkan sendiri oleh Syaiful.

Manakala filem dokumentari Angkiluang pula merupakan projek tahun akhir beliau dengan kos produksi sebanyak RM4,000.00.

“Saya beruntung kerana rakan-rakan dan para pensyarah banyak membantu saya untuk memperbaiki hasil karya ini sehingga membolehkan kedua-dua buah filem ini berjaya disiapkan dan seterusnya memenangi anugerah dalam festival filem pelajar,” katanya gembira.-CD

Sumber: Prof. Madya Dr Zairul Anuar Md Dawam, FKSW

IKUTI KAMI @

CAPAIAN PANTAS

  •  Direktori Kakitangan
  • Direktori Kepakaran
  • Portal Kakitangan
  •  Portal Pelajar
  •  SmartUMS
  •  E-Respon
  •  VirtualTour@UMS
  •  UMS Institutional Repository
  •  Tempahan Ruang

PAUTAN LAIN

  •  Peta UMS
  • Data Terbuka
  • Portal Kerajaan Negeri Sabah
  • Kementerian Pengajian Tinggi (KPT)
  • MAMPU
  • Portal Kerajaan Malaysia (MyGov)
  • UMS Investment Holdings Sdn. Bhd.