UMS ANJUR SEMINAR INDUSTRI KREATIF 2015

RABU, 9 DISEMBER - Universiti Malaysia Sabah (UMS) melalui Fakulti Kemanusiaan, Seni dan Warisan (FKSW) bersama-sama dengan Unit Penyelidikan Warisan Borneo (BohRU), Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), Persatuan Penggiat-penggiat Filem Sabah (FILEMS) dan Majlis Profesor Negara (Kluster Sejarah, Warisan dan Sosiobudaya) akan menganjurkan Seminar Industri Kreatif Sabah pada 15 Disember 2015, bertempat di Dewan Resital, UMS bermula jam 8.00 pagi hingga 5.00 petang.

Dekan FKSW, Profesor Dato’ Mohd. Hamdan Hj Adnan memberitahu, seminar tersebut bertujuan untuk mendedahkan para peserta seminar tentang perkembangan terbaru yang berlaku dalam bidang industri kreatif terutama di Sabah.

Katanya, melalui seminar tersebut para peserta akan dapat menimba ilmu dan pengalaman daripada mereka yang telah lama berkecimpung dalam bidang industri kreatif.

“Antara panel yang dijemput  adalah Ketua Pengarah FINAS, Dato’ Kamil Othman yang akan menyampaikan ceramah berkaitan dengan perfileman dan masyarakat serta Pengarah Ekosistem dan Kandungan Kreatif FINAS, Puan Faridah Jaffar yang akan menerangkan peranan Pitching Centre dan Ekosistem Kandungan Kreatif,” katanya.

Selain itu, seminar tersebut turut menjemput Pengerusi Creative Content Industry Guild (CCIG), Dato’ Jurey Latif Rosli untuk menerangkan kepentingan profesionalisme dalam kalangan penggiat  industri kreatif dan bagaimana CCIG memainkan peranan mereka untuk mengiktiraf kepakaran penggiat industri kreatif.

“Kami juga menjemput Tentera Gulang yang merupakan usahawan yang telah berjaya dalam perniagaan yang berkaitan industri kreatif iaitu percetakan digital. Sebagai usahawan yang bermula dari bawah, pengalaman Tentera yang akan membicarakan explorasi perniagaan dalam industri kreatif ini amat berguna kepada semua para penggiat industri kreatif untuk memulakan perniagaan sendiri,” jelasnya.

Malah, kata Hamdan lagi, pensyarah muzik UMS yang merupakan seorang penyanyi, komposer dan produser tempatan yang aktif dalam menghasilkan album bagi pasaran Sabah iaitu Andrew Poninting atau lebih dikenali sebagai Apai juga akan berkongsi pengalaman dan pengetahuan berkenaan bidang muzik di Sabah dan cabaran yang dihadapi oleh industri tersebut.

Seminar industri kreatif yang akan dirasmikan oleh Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia, YB Senator Datuk Seri Panglima Dr. Mohd. Salleh Tun Said Keruak itu dijangka akan disertai oleh kira-kira 400 peserta yang terdiri daripada para pelajar dan para penggiat industri kreatif di Sabah.

Seminar ini diharap akan menjadi titik mula kepada perkembangan industri kreatif di Sabah sebelum bermulanya tahun 2016 yang diharapkan akan memberi lebih banyak perkembangan positif terhadap kemajuan industri kreatif di Sabah.

Bagi penggiat seni yang berminat untuk mengikuti seminar sehari ini, boleh berhubung dengan Roslinda Petrus (088-320000 samb. 2213) atau Michael (088-320000 samb. 2733).

IKUTI KAMI @

CAPAIAN PANTAS

  •  Direktori Kakitangan
  • Direktori Kepakaran
  • Portal Kakitangan
  •  Portal Pelajar
  •  SmartUMS
  •  E-Respon
  •  VirtualTour@UMS
  •  UMS Institutional Repository
  •  Tempahan Ruang

PAUTAN LAIN

  •  Peta UMS
  • Data Terbuka
  • Portal Kerajaan Negeri Sabah
  • Kementerian Pengajian Tinggi (KPT)
  • MAMPU
  • Portal Kerajaan Malaysia (MyGov)
  • UMS Investment Holdings Sdn. Bhd.