Bertempat di Dewan Canselor UMS, taklimat tersebut disampaikan oleh Pengarah Pusat Pengurusan Strategik dan Akademik (PPSA), UMS, Prof. Dr. Marcus Jopony.
Taklimat ini antara lain bertujuan untuk berkongsi maklumat berkenaan pengurangan peruntukan belanja mengurus (OPEX) bagi tahun 2016 dan formula pendanaan baharu, dua aspek penting untuk Universiti Awam(UA) mulai tahun 2016.
Taklimat tersebut adalah selaras dengan keperluan untuk berkongsi status semasa dan senario akan datang berkaitan belanjawan universiti sebagai persediaan kepada warga kerja UMS untuk bersedia dan mengharungi cabaran serta memikul tanggungjawab yang bakal dihadapi mulai tahun ini.
Dalam pada itu, Naib Canselor UMS, Prof. Dr. Mohd Harun Abdullah dalam ucapan dasarnya sempena majlis taklimat tersebut menjelaskan, walaupun universiti berdepan dengan kekangan kewangan, namun UMS akan terus komited untuk melaksanakan tanggungjawab sebagai peneraju pendidikan tinggi yang disanjung, serta menjayakan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) yang telah ditetapkan Kementerian Pendidikan Tinggi.
“Untuk itu, saya menyeru semua warga UMS untuk berubah dan mengubah, baik dari aspek minda, sikap, tabiat mahupun amalan bekerja.
“Marilah kita berganding bahu untuk berusaha ke arah kelestarian kewangan, lonjakan produktiviti dan kecemerlangan Universiti Malaysia Sabah,” ujarnya. -MA-
Foto oleh: Ramdan Saleh Nain