Contohi Sifat Rasulullah s.a.w Demi Kemakmuran Sejagat

RABU, 24 FEBRUARI – Sifat mulia Rasulullah s.a.w yang sentiasa berbaik sangka sesama umat serta kejayaan Baginda dalam menyatupadukan masyarakat perlu dicontohi umat Islam pada masa kini demi menjaga keharmonian negara.

Naib Canselor Universiti Malaysia Sabah (UMS), Prof. Datuk Dr. Mohd Harun Abdullah berkata kejayaan Rasulullah menyatupadukan kaum di Kota Madinah perlu dilihat dalam konteks yang lebih luas.

“Jika dilihat dengan latar belakang masyarakat di negara kita yang terdiri daripada berbilang bangsa dan agama, maka sudah pasti perpaduan amat penting dalam menjaga keharmonian Malaysia, lebih-lebih lagi dalam kita mendepani cabaran dan anasir luar yang cuba meracuni pemikiran masyarakat, memecahbelahkan rakyat Malaysia.

“Justeru, marilah kita sama-sama mengamalkan sikap bertoleransi dan berlapang dada, insya-Allah segala pembangunan negara yang dirancang dapat dicapai jika semuanya bersatu padu,” katanya dalam ucapan perasmian sempena Majlis Sambutan Maulidur Rasul Peringkat UMS di Dewan Resital, UMS.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UMS, Prof. Madya Dr. Ismail Ali.

Menurutnya lagi, dalam konteks persekitaran di universiti, semua kakitangan perlulah bersatu padu berganding bahu memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada para pelajar dan menyumbang bakti kepada masyarakat di sekeliling.

“Tanpa persefahaman dan perpaduan, sukar bagi UMS mencapai Petunjuk Prestasi Utama (KPI) yang telah ditetapkan,” ujarnya lagi.

Pada majlis itu, projek amal (CSR) Kumpulan Al Jawwad telah terpilih sebagai projek CSR terbaik sempena sambutan tersebut, sekali gus menerima hadiah wang tunai berjumlah RM2,000 sumbangan Pusat Zakat Sabah yang disampaikan oleh Dr. Ismail.

Kumpulan tersebut  yang terdiri daripada Fakulti Sains dan Sumber Alam, Pusat Persediaan Sains dan Teknologi, Institut Penyelidikan Marin Borneo, Institut Penyelidikan Bioteknologi dan Institut Biologi Tropika dan Pemuliharaan menjalankan CSR dengan membaik pulih surau di Kg. Lentuong, Karambunai, membina empangan mini untuk surau tersebut, serta sumbangan naskhah Al-Quran serta alat-alat keperluan untuk kegunaan surau tersebut.

Lebih 500 warga UMS yang hadir pada majlis tersebut turut berkesempatan untuk mendengar ceramah perdana yang disampaikan oleh Pencetus Ummah (PU) Azihal Bangsawan. -MA-

Foto: Musaab Umair

IKUTI KAMI @

CAPAIAN PANTAS

  •  Direktori Kakitangan
  • Direktori Kepakaran
  • Portal Kakitangan
  •  Portal Pelajar
  •  SmartUMS
  •  E-Respon
  •  VirtualTour@UMS
  •  UMS Institutional Repository
  •  Tempahan Ruang

PAUTAN LAIN

  •  Peta UMS
  • Data Terbuka
  • Portal Kerajaan Negeri Sabah
  • Kementerian Pengajian Tinggi (KPT)
  • MAMPU
  • Portal Kerajaan Malaysia (MyGov)
  • UMS Investment Holdings Sdn. Bhd.