Pelajar Perlu Rebut Peluang Yang Disediakan Kerajaan

KHAMIS, 25 FEBRUARI - Pelajar perlu bijak merebut ruang dan peluang dalam pelbagai bidang yang disediakan kerajaan.

Ahli Parlimen Labuan, Datuk Rozman Isli berkata, ini bagi memastikan pelajar dapat meneruskan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi, seterusnya memperoleh peluang pekerjaan dan pendapatan, sesuai dengan taraf kelulusan mereka.

Katanya, dalam keadaan ekonomi sekarang dan penurunan dalam industri minyak dan gas, beliau yakin Labuan boleh mengubah hala dalam menjadikan Wilayah Persekutuan Labuan sebagai Hab Pendidikan yang terkemuka di rantau ini.

“Kita sedang berusaha untuk menjadikan Wilayah Persekutuan Labuan sebagai Hab Pendidikan yang terkemuka di rantau ini. Kewujudan IPTA dan IPTS bakal merealisasikan hasrat kerajaan itu,”katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Karnival Lepasan Sekolah 2016 Peringkat Wilayah Persekutuan Labuan, di Dewan Kuliah Pusat, Universiti Malaysia Sabah, Kampus Antarabangsa Labuan (UMS-KAL) baru-baru ini. 

Karnival sehari itu dianjurkan UMSKAL dengan kerjasama pejabat Ahli Parlimen Labuan dan Yayasan Pembangunan Labuan.

Turut menjayakan karnival itu ialah City College of Business Management, UiTM Cawangan Sabah, Institut Latihan Perindustrian (ILP), Kolej Matrikulasi Labuan (KML), Fakulti Kewangan Antarabangsa Labuan (FKAL) dan Fakulti Komputeran dan Informatik (FKI).

Karnival yang julung-julung kalinya diadakan itu disertai kira-kira 200 peserta yang terdiri daripada  pelajar yang akan menduduki SPM dan STPM pada tahun ini serta pelajar lepasan sekolah dan pelajar Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP).

Turut hadir Pengarah UMS KAL, Profesor Madya Dr. Murnizam Haji Halik, Timbalan Pengarah UMSKAL selaku Pengerusi Penganjur, Prof. Madya Dr. Geoffrey Harvey Tanakinjal dan Dekan Fakulti Kewangan Antarabangsa Labuan, Prof. Madya Dr. Syed Nasirin Syed Zainol Abidin.

Hadir sama Pengetua City College, Hasliza Jusoh, Penolong Pendaftar UiTM Sabah, Aminah Aman, Kaunselor KML, Sadiah Jakob dan Ketua Program E-Dagang FKI, Soffri Yussof.

Rozman yang juga Pengerusi Perbadanan Labuan berkata, melalui karnival itu, peserta khususnya pelajar Tingkatan 5, dapat mengetahui ruang yang boleh mereka perolehi selepas tamat persekolahan.

Beliau turut mengingatkan pelajar agar tidak terlalu memilih apa-apa bidang sekalipun, namun mereka perlu sentiasa merebut peluang bagi membantu menjana pendapatan dan ekonomi negara pada masa akan datang.

Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada Pengarah Kampus dan Timbalan Pengarah UMSKAL kerana sudi menjadi tuan rumah dan bekerjasama dengan Pejabat Ahli Parlimen Labuan dan Yayasan Pembangunan Labuan menganjurkan program tersebut yang sangat bermanfaat kepada para peserta untuk mendapatkan maklumat mengenai hala tuju selepas menduduki peperiksaan berkenaan.

Katanya, berada dalam dewan yang serba canggih ini juga sepatutnya menarik minat dan meningkatkan semangat para peserta untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi termasuk ke UMSKAL.

"Saya yakin melalui penganjuran karnival ini para peserta akan mendapat pelbagai informasi termasuk saluran untuk memasuki IPT dalam dan luar negara,"katanya.

Pada program itu, pelajar juga mendapat maklumat mengenai tips mendapatkan biasiswa dan cara menghadapi temuduga.

Lebih penting melalui karnival itu, para peserta dapat berkongsi pengalaman kehidupan di kampus melalui forum / dialog yang diadakan.

Selain Rozman, Dr Murnizam, Dr Geoffrey, ahli panel Survival Campus terdiri daripada Dr Anand Rau Krishnan, Mary Monica Jionny dan Nona Masnie Mohd Nistah yang berkongsi pengalaman mengenai perjalanan mereka sebagai mahasiswa sama ada di IPT dalam negara mahupun luar negara.

Sumber: Azri Onn Othman, UMSKAL

IKUTI KAMI @

CAPAIAN PANTAS

  •  Direktori Kakitangan
  • Direktori Kepakaran
  • Portal Kakitangan
  •  Portal Pelajar
  •  SmartUMS
  •  E-Respon
  •  VirtualTour@UMS
  •  UMS Institutional Repository
  •  Tempahan Ruang

PAUTAN LAIN

  •  Peta UMS
  • Data Terbuka
  • Portal Kerajaan Negeri Sabah
  • Kementerian Pengajian Tinggi (KPT)
  • MAMPU
  • Portal Kerajaan Malaysia (MyGov)
  • UMS Investment Holdings Sdn. Bhd.